Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH JACOB MATTHEW MORGAN : Lelaki Autisme yang Dituduh Membunuh Adiknya Sendiri

Jacob Matthew Morgan

    Pada tahun 2015, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun iaitu Jacob Matthew Morgan yang juga merupakan pengidap autisme telah dituduh membakar rumah sendiri hingga menyebabkan adik lelakinya terkorban. Selepas dibicarakan, Jacob menerima hukuman penjara selama 15 tahun.

    Jacob adalah anak kepada pasangan suami isteri yang bernama Myke Hill dan Julie Morgan. Jacob juga mempunyai seorang adik lelaki berusia 14 bulan iaitu Joshua Hill. Harus diketahui, Jacob merupakan anak kepada perkahwinan terdahulu Julie. Perkara ini bermaksud bahawa Myke dan Joshua adalah anggota keluarga tirinya. Mereka sekeluarga tinggal di rumah jenis trailer.

    Walaupun bukannya adik beradik kandung, Jacob dikatakan begitu menyayangi Joshua. Dia akan menjaga dan meluangkan masa untuk bermain bersama dengan adik tirinya itu sebaik saja pulang dari sekolah. Tentang Jacob, dia mempunyai masalah autisme. Selain itu, Jacob juga didiagnos mengidap ADHD (Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif) dan disleksia (masalah perkembangan pembacaan).

Jacob bersama adiknya, Joshua

    Kisah bermula pada lewat malam 5 Mac 2015 apabila Myke dan Julie keluar dari rumah kerana ada urusan penting yang perlu dilakukan. Maka, tinggallah Jacob dan Joshua bersendirian di rumah. Apa yang berlaku kemudian, rumah mereka telah terbakar. Jacob bernasib baik kerana sempat untuk menyelamatkan diri, namun malang buat Joshua yang telah terkorban dalam kebakaran tersebut. Menyentuh jiwa, Jacob cuba untuk memasuki semula ke dalam rumah bagi menyelamatkan Joshua. Walau bagaimanapun, dia telah dihalang oleh para jiran berikutan api kebakaran rumahnya yang marak. Hanya selepas ketibaan pihak bomba, barulah api kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya.

    Tidak lama kemudian, Myke, Julie dan Jacob telah pergi ke balai polis untuk membuat laporan tentang kejadian kebakaran itu. Myke dan Julie disoal siasat bersama-sama manakala Jacob pula secara bersendirian di dalam bilik yang berlainan. Myke dan Julie direkodkan keterangan mereka selama sejam. Lain ceritanya dengan Jacob apabila dia telah disoal siasat selama lima jam. Sepanjang sesi soal siasat terhadap Jacob, tiada rakaman audio serta video yang dibuat. Malah, Julie juga tidak dibenarkan untuk menemani Jacob. Selesai sesi soal siasat, pihak polis telah membuat satu pendedahan yang benar-benar mengejutkan Myke dan Julie. Jacob membuat pengakuan secara bertulis yang berjela panjang di mana isi kandungannya dia melakukan kebakaran tersebut dengan sengaja adalah bertujuan untuk mencederakan Joshua. Sukar untuk Myke dan Julie mempercayai perkara itu memandangkan Jacob mempunyai masalah menulis dan membaca. Susulan pengakuan yang dibuat oleh Joshua tersebut, maka dia pun ditahan untuk dihadapkan ke perbicaraan.

    Sewaktu perbicaraan kes, pihak pendakwa berhujah bahawa Jacob suka bermain api dan membakar sesuatu dalam rumahnya sejak seminggu sebelum kejadian. Titik kebakaran disyaki bermula daripada dua tempat iaitu ruang tamu dan selimut di dalam bilik tidur Joshua. Jacob dipercayai telah menyalakan api lilin untuk memulakan kebakaran. Dalam keterpaksaan, Jacob akhirnya mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan kebakaran dan pembunuhan. Dia sempat memberitahu,

    “Saya sayangkan adik saya. Setiap hari saya sayangkan dia, dia adalah kawan baik saya. Membunuhnya adalah seperti membunuh sebahagian daripada saya. Dialah satu-satunya adik yang saya pernah miliki...”

    Pada akhirnya, Jacob telah diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara selama 15 tahun. Sebaik mendengar hukuman yang diterimanya, Jacob menangis teresak-esak. Sementara itu, Myke dan Julie terpaksa akur dengan keputusan juri. Hingga pada hari ini, mereka berdua percaya Jacob bukan pembunuh kerana dia adalah seoranga abang yang benar-benar menyayangi adiknya. Berkemungkinan besar, Jacob yang kurang upaya telah dimanipulasi serta dipaksa untuk membuat pengakuan sewaktu disoal siasat.

2 ulasan for "KISAH JACOB MATTHEW MORGAN : Lelaki Autisme yang Dituduh Membunuh Adiknya Sendiri"

  1. Sedihnyaaa 😭😭😭😭

    BalasPadam
  2. Sedihnya .. 😭😭😭😭 semoga dia dlm lindungan Dan rahmat Allah selalu

    BalasPadam