KISAH JEAN-CLAUDE ROMAND : Doktor Palsu Pembunuh
Jean-Claude bersama isterinya |
Tahun 2019, nama seorang lelaki bernama Jean Claude Romand yang kini berusia 67 tahun kembali menjadi sebutan orang ramai apabila dia dibebaskan dari penjara selepas dipenjara selama 26 tahun atas kesalahan membunuh isteri, anak dan ibu bapanya sendiri. Walau bagaimanapun, Jean kekal dipantau menerusi pengawasan elektronik selama dua tahun dan dikehendaki untuk tinggal di kawasan yang diluluskan oleh badan kehakiman.
Pada tahun 1974, Jean yang juga merupakan seorang pelajar perubatan telah gagal dalam ujian tahun pertamanya di sekolah perubatan Lyon. Dia bagaimanapun telah merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan ibu bapanya. Apa yang berlaku kemudian, Jean mencanang cerita kepada semua kenalannya bahawa dia berjaya menamatkan pelajaran dan sah bergelar sebagai seorang doktor. Mengenai rumah tangganya, Jean telah berkahwin pada tahun 1980. Dia mempunyai dua orang anak hasil perkahwinan tersebut.
Jean-Claude Romand bersama isteri dan anak-anaknya |
Selama 18 tahun, keluarga dan rakan-rakan Jean menyangka dia adalah seorang doktor perubatan serta penyelidik professional yang berkhidmat untuk Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang berpusat Geneva. Adakalanya, Jean memberitahu keluarganya dia terpaksa pergi ke luar negara atas urusan kerja sebelum kembali pulang ke rumah dengan membawa hadiah. Hakikat sebenar, Jean pergi memandu di kawasan sempadan Perancis-Switzerland dan kemudian melawat bangunan WHO untuk membaca maklumat. Selain itu, Jean juga menginap di hotel yang berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Geneva. Di situ, dia akan membaca jurnal perubatan dan melakukan bacaan tentang negara-negara luar.
Berkenaan dengan sumber perbelanjaan Jean, semua itu datang daripada hasil jualan rumah dan wang pemberian isterinya. Malah Jean juga mengambil kesempatan dengan mengajak kenalannya untuk melabur wang mereka ke dalam pelaburan asing yang tidak wujud sama sekali.
Ibu bapa Jean-Claude Romand |
Hinggalah penghujung tahun 1992, salah seorang pelabur telah menagih semula wangnya daripada Jean. Ini berikutan pelabur tersebut sudah mengetahui status sebenar Jean yang sebenarnya bukan pekerja WHO. Awal tahun 1993, Jean yang bimbang rahsia gelapnya terbongkar telah memukul isterinya hingga mati dengan menggunakan kayu penggelek. Selepas itu, Jean pergi mengejutkan dua orang anaknya yang sedang tidur. Mereka bertiga kemudian bersarapan dan menonton kartun bersama-sama. Saat dua orang anak kecil tersebut tidur, Jean melepaskan tembakan ke arah mereka berdua dengan senanpang. Pada hari sama, Jean pergi menuju pula ke rumah ibu bapanya yang terletak kira-kira 80 kilometer. Ibu bapa Jean dan seekor anjing belaan mereka mati akibat ditembak oleh Jean. Selesai pembunuhan, Jean pulang semula ke rumahnya. Kali ini, Jean membakar rumahnya serta pada masa sama dia menelan pil tidur secara berlebihan. Jean bagaimanapun sempat diselamatkan oleh pihak bomba yang tiba untuk memadamkan api kebakaran. Dia yang seterusnya disoal siasal telah membuat pengakuan tentang semua pembunuhan tersebut.
Sementara itu, bekas abang ipar Jean iaitu Emmanuel Crolet menentang keputusan berhubung pembebasan Jean. Menerusi satu wawancara Emmanuel di radio, dia berkata,
"Perkataan bebas itu sukar untuk didengar. Bagi saya, Jean sudah pun menang."
Catat Ulasan for "KISAH JEAN-CLAUDE ROMAND : Doktor Palsu Pembunuh"