Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH JOLLY JOSEPH : Peracun Sianida Dari Kerala

Jolly Joseph

    Jolly atau nama sebenarnya iaitu Jolly Amma Joseph dilahirkan pada tahun 1972 di Vazhavara daerah Idduki, Kerala, India. Selepas tamat sekolah menengah, dia yang digambarkan sebagai seorang peramah dan berfikiran terbuka telah melanjutkan pelajarannya di sebuah kolej swasta. Tahun 1997, Jolly mengahwini lelaki pilihannya yang bernama Roy Thomas. Hasil perkahwinan itu, mereka berdua telah dikurniakan seorang anak lelaki pada tahun 1999 yang dinamakan sebagai Romo.

    Kira-kira setahun selepas kelahiran Romo, Jolly menyatakan hasratnya bagi menyambung pelajaran untuk menjadi seorang cikgu. Keluarga mentuanya kemudian bersetuju untuk menjaga Romo. Kebiasaannya, Jolly akan keluar dari rumah pada waktu pagi untuk pergi belajar dan akan pulang ke rumah pada lewat petang. Namun Jolly sebenarnya tidak pernah pun pergi ke mana-mana kolej perguruan. Lokasi sebenar yang ditujunya pada waktu tersebut masih lagi kekal menjadi misteri. Cuma apa yang dapat dipastikan waktu berkenaan, Jolly telah menjadi rapat dengan sepupu Roy iaitu M.S. Mathew yang juga merupakan pengusaha kedai barangan emas.

    Bulan September 2002, Jolly dipercayai meracun ibu mentuanya yang bernama Annamma hingga mati dengan menggunakan racun sianida. Dia dipercayai melakukan pembunuhan tersebut selepas mula dikongkong oleh ibu mentuanya itu. Berikutan punca kematian Annamma yang didedahkan akibat sakit jantung, maka Jolly terus mengambil alih peranan sebagai ketua keluarga. Tidak lama selepas kejadian tersebut, Jolly sekali lagi melakukan pembohongan dengan dakwaan dia kononnya telah mendapat pekerjaan sebagai seorang cikgu di sebuah institut teknologi. Jolly bagaimanapun dilaporkan benar-benar sering mengunjungi institusi itu tanpa diketahui tujuannya yang sebenar. Selain itu, Jolly juga mendesak bapa mentuanya untuk menjual tanah milik keluarga mereka yang seluas 2 ekar. Hasil jualan tanah tersebut kemudian diambil oleh Jolly bagi melangsaikan hutang suaminya. Tahun 2004, anak kedua Jolly bersama Roy iaitu Roland telah selamat dilahirkan.

    Pada bulan September 2008, Tom Thomas yakni bapa mentua Jolly mati selepas memakan ubi kayu rebus. Jolly yang dipercayai sebagai satu-satunya individu yang ada bersama Tom sewaktu kejadian tersebut berlaku mendakwa punca kematian bapa mentuanya adalah disebabkan serangan jantung. Tiga tahun berikutnya, giliran Roy pula mati selepas memakan nasi dan kari yang dimasak oleh Jolly. Dia telah ditemui mati dalam bilik air yang berkunci.

    Kematian aneh secara berturut-turut dalam keluarga Roy telah menyebabkan bapa saudaranya yang bernama Mathew Manjadiyil tampil untuk menuntut penjelasan. Dia meminta pihak berkuasa melakukan proses bedah siasat terhadap Roy. Hasil laporan bedah siasat kemudian mendapati terdapat racun sianida di dalam badannya. Sebaik saja perkara itu didedahkan, Jolly menjelaskan suaminya telah membunuh diri akibat masalah hutang. Jolly jelas bernasib baik apabila pihak polis yang menyebelahinya tidak melakukan siasatan lanjut. Tentang Mathew, dia mati secara mengejut pada bulan April 2014 selepas meminum air kopi beracun sianida yang dihidangkan oleh Jolly. Kira-kira sebulan setelah kematian Mathew, Jolly berhubungan rapat dengan seorang lelaki yang juga merupakan sepupu kepada Roy iaitu Shaju Zachariah. Dia menggunakan kesempatan ini untuk meracun mati anak lelaki Shaju yang berusia dua tahun, Alphine. Jolly sekali lagi terlepas selepas menggunakan alasan bahawa Alphine mati akibat penyakit asma yang dihidapinya sejak dari bayi lagi. Tahun 2016, Jolly telah memberikan segelas minuman kepada Sily Shaju, ibu Alphine. Sily mati serta merta setelah meneguk air minuman tersebut. Apa yang mengejutkan selepas itu adalah Jolly telah berkahwin dengan Shaju. Perkara ini jelas menimbulkan rasa curiga dalam kalangan keluarga Thomas yang mendesak pihak polis untuk menyiasat semula kes dengan lebih terperinci. Hasil siasatan mendapati kematian Annamma, Tom, Roy, Mathew, Alphine dan Sily sebelum ini adalah pembunuhan terancang Jolly.

    Kesudahan kes, Jolly yang ditahan telah membuat pengakuan tentang pembunuhan berantainya. Turut ditahan adalah M.S. Mathew dan Prajikumar yang didakwa sebagai pembekal racun sianida kepada Jolly. Kes yang masih lagi dalam perbicaraan ini begitu rumit susulan kekurangan bukti forensik  memandangkan jarak pembunuhan pertama dengan yang keenam adalah selama 14 tahun. Terdapat kelemahan yang begitu ketara dalam sistem perundangan di mana Jolly kekal berselindung di sebalik karakter pembunuhnya. Dia merupakan seorang wanita bijak yang mampu memanipulasikan keadaan hingga membolehkannya daripada ditangkap oleh pihak polis untuk satu tempoh masa yang panjang. Seperkara yang harus diketahui bahawa hanya mayat Roy saja yang pernah dibedah siasat daripada semua mangsa. Berhubung motif sebenar pembunuhan Jolly, berkemungkinan besar untuk mendapatkan harta.

    Tahun 2019, Jolly telah dilaporkan membuat percubaan membunuh diri. Mujur sajalah dia sempat untuk diselamatkan. Dia dikatakan berbuat sedemikian agar dapat meraih simpati. Dalam perkembangan lain pada tahun sama, nama pelakon terkenal Mohanlal disebut oleh pihak media sebagai pelakon utama yang bakal membintangi filem kisah benar Malayalam akan datang adaptasi dari kisah Jolly.

Catat Ulasan for "KISAH JOLLY JOSEPH : Peracun Sianida Dari Kerala"