Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KALIEF BROWDER : Mangsa Penjara yang Teraniaya

Kalief Browder

    Kalief Browder dilahirkan pada 29 Mei 1993 bertempat di The Bronx, New York. Dia merupakan anak angkat kepada seorang wanita bernama Venida Browder. Harus diketahui, Venida mempunyai 34 orang jumlah anak sepanjang hidupnya di mana jumlah itu adalah termasuk anak asuhan, anak angkat dan juga anak kandungnya. Pada tahun 2009 iaitu sewaktu Kalief berusia 16 tahun, dia yang didapati bersalah dalam satu kes kecurian telah diberikan hukuman percubaan.

    Kisah sebenar bermula pada awal pagi 15 Mei 2010 apabila Kalief bersama seorang rakan lelakinya sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri sebuah parti. Sewaktu dalam perjalanan tersebut, tiba-tiba ada kereta polis yang telah mendekati mereka berdua. Apa yang berlaku kemudian, pihak polis melakukan pemeriksaan terhadap Kalief dan rakannya. Pemeriksaan itu dibuat susulan pihak polis mendapat aduan daripada seorang lelaki warganegara Mexico bernama Roberto Bautista yang mendakwa beg galasnya yang mengandungi iPad Touch, kamera, kad kredit dan wang tunai berjumlah $700 telah hilang dicuri. Tambah Roberto lagi, kejadian kecurian tersebut berlaku pada dua minggu sebelumnya.

    Sebaik Kalief dan rakannya yang dikenalpasti oleh Roberto sebagai pencuri, maka mereka berdua pun terus ditahan oleh pihak polis. Penangkapan yang dibuat tanpa sebarang bukti kukuh. Kalief berkali-kali cuba meyakinkan kepada pihak polis bahawa dia tidak bersalah, namun pengakuannya tidak dilayan sama sekali. Kalief yang kemudian dibawa ke balai polis telah disoal siasat selama 17 jam lamanya sebelum dia menerima pertuduhan melakukan rompakan, kecurian dan serangan. Walaupun ada proses ikat jamin, Kalief tidak boleh dibebaskan kerana dia masih berada dalam tempoh percubaan. Sementara itu, rakannya pula dibenarkan untuk beredar pergi.

Kalief diserang pegawai penjara.

    Kalief yang masih belum disabitkan kesalahan seterusnya telah dihantar ke Pulau Rikers yakni salah satu tempat penjara paling ganas dan berbahaya di Amerika Syarikat. Di situ, Kalief terpaksa bergelut dengan emosi dan fizikal untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di penjara yang serba ganas. Dia yang tidak menyertai sebarang kumpulan bukan saja selalu diancam bunuh oleh banduan lain, malah turut mendapat layanan buruk dan sering dikasari oleh pegawai penjara. Kebiasaannya hidup dalam penjara di Amerika  Syarikat, hanya ada dua pilihan iaitu sertai mana-mana geng atau hidup tanpa sebarang perlindungan. Bayangkan, Kalief hidup dalam penjara dengan keadaan tertekan selama hampir tiga tahun memandangkan perbicaraan kesnya yang sering tertangguh. Selama berada dalam penjara, dia yang banyak menghabiskan masa dikurung secara bersendirian serta berasingan dilaporkan pernah beberapa kali melakukan percubaan untuk membunuh diri.

    Bagi melindungi diri daripada menjadi mangsa dalam penjara, Kalief berusaha keras untuk membesarkan badannya dengan senaman bina badan seperti tekan tubi. Semua itu bagaimanapun langsung tidak menjamin keselamatannya. Antara beberapa insiden dahsyat yang pernah menimpa Kalief semasa dipenjarakan di Pulau Rikers adalah diserang belasan banduan lain hanya kerana dia menumbuk seorang ketua geng dalam penjara tersebut. Selain itu, Kalief juga pernah diserang oleh pegawai penjara dalam situasi tangannya bergari.

    Walaupun Kalief ada ditawarkan rundingan pertuduhan, dia menolak keras kerana berpegang teguh dengan prinsipnya yang mengaku tidak bersalah dalam kes rompakan Roberto. Berkenaan dengan Roberto Bautista, lelaki itu telah kembali pulang ke Mexico. Maka agak sukar kes perbicaraan untuk diteruskan tanpa dirinya. Kalief akhirnya dibebaskan pada 29 Mei 2013 berikutan kegagalan pihak pendakwaan yang gagal untuk mendapatkan sebarang saksi serta pada masa sama kekurangan bukti. Menyedihkan apabila Kalief yang telah dipenjarakan selama 1126 hari tidak menerima sebarang permohonan maaf daripada mana-mana pihak. Biarpun sudah keluar dari penjara, Kalief tetap dilanda trauma sehingga menyebabkannya mengalami kemurungan. Hinggalah bulan Jun 2015, Kalief yang berusia 22 tahun telah ditemui tergantung membunuh diri di rumah ibunya. Tahun 2019, pihak bandar New York diarahkan untuk membayar wang pampasan sebanyak $3.3 juta kepada keluarga Kalief.

newonnetlflix.info

    Kisah Kalief yang menjadi mangsa ketidakadilan sistem perundangan di Amerika Syarikat ini boleh ditonton menerusi dokumentari terbitan penyanyi rap terkenal iaitu Jay Z yang berjudul Time : The Kalief Browder Story.

1 ulasan for "KISAH KALIEF BROWDER : Mangsa Penjara yang Teraniaya"

  1. Kesiannye lahai🥺..undang² manusia ni mmg tak adil..naye la si kalief ni..jd mangsa tuduhan tak berasas..

    BalasPadam