KISAH PEMBUNUHAN KELUARGA SHAFIA : Antara Maruah dengan Nyawa
Dari kiri : Geeti, Sahar, Zainab dan Rona |
Keluarga Shafia berasal dari negara Afghanistan. Tahun 1980,
Mohammad Shafia telah berkahwin dengan seorang wanita bernama Rona Mohammad
Omar. Beberapa tahun selepas perkahwinan, pasangan tersebut tidak memperolehi
sebarang zuriat kerana Rona telah disahkan tidak boleh untuk mengandung susulan
mengalami masalah rahim. Disebabkan itu, Shafia pun membuat keputusan untuk
berkahwin lain dengan mengahwini seorang lagi wanita pilihannya iaitu Tooba
Yahya pada tahun 1989. Hasil perkahwinan kedua tersebut, Shafia dan Tooba telah
dikurniakan seramai tujuh orang anak. Harus diketahui bahawa Shafia, Rona dan Tooba
tinggal serumah. Menyedihkan apabila Rona diperlakukan seperti orang gaji oleh
Shafia dan Tooba. Malah dia dikehendaki untuk menuruti segala perintah Tooba. Walaupun
Rona dilayan seperti hamba abdi dan sering dipukul hanya kerana perkara yang
remeh temeh, dia tetap sentiasa bersabar. Didera mental dan fizikal secara
berterusan, semua itu tidak menghalang Rona untuk rapat dengan semua anak Tooba
yang sudah dianggapnya sebagai anak kandung sendiri. Pernah juga Rona cuba
menuntut cerai daripada Shafia. Namun apa yang berlaku, Shafia mengugut untuk
membunuh Rona.
Dari kiri : Shafia, Tooba dan Hamed |
Pada tahun 1992, keluarga Shafia berpindah ke Australia untuk sementara sebelum berhijrah ke Dubai. Selepas perniagaannya semakin berjaya, Shafia kemudian membawa keluarganya untuk menetap di Kanada. Shafia adalah seorang bapa tegas dan mengongkong kehidupan semua anak-anaknya terutama yang perempuan. Kehidupan seharian anak-anak perempuan Shafia hanyalah pergi balik sekolah. Mereka semua bukan setakat didera secara emosi dan fizikal, bahkan turut dikongkong sepenuhnya dengan tidak dibenarkan berkawan atau keluar dari rumah sesuka hati. Paling dilarang adalah untuk mengikut budaya barat termasuklah menjalinkan hubungan percintaan dengan lelaki bukan pilihan keluarga. Hamed iaitu anak kedua Shafia telah diberikan kepercayaan oleh bapanya untuk memantau segala kegiatan adik beradiknya samaada di dalam mahupun di luar sekolah.
Dalam diam-diam, Zainab (lahir tahun 1989) selaku anak
sulung Shafia telah menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki satu sekolahnya
yang bernama Ammar. Begitu juga dengan seorang lagi anak Shafia bernama Sahar
(lahir tahun 1991) yang turut melakukan perkara sama iaitu bercinta dengan Ricardo,
lelaki berdarah Latin. Cumanya, Sahar lagi nakal dengan berani mati untuk
membuka tudung semasa berada di waktu persekolahan. Apabila Hamed mengetahui
tentang hubungan serta perbuatan terlarang yang dilakukan oleh Zainab dan
Sahar, dia bertindak melaporkan perkara tersebut kepada Shafia. Akibatnya, Zainab
dan Sahar dikurung di rumah selama berbulan-bulan. Walau bagaimanapun, cinta
antara Zainab bersama Ammar tetap utuh. Hingga satu hari, mereka berdua telah
melarikan diri dengan niat untuk berkahwin. Tooba kemudian memujuk Zainab
supaya kembali pulang ke rumah dengan memberitahu bahawa hubungannya bersama
Ammar sudah pun direstui. Lagi menggembirakan Zainab, dia telah disuruh keluarganya
untuk berkahwin dengan Ammar. Malangnya, kegembiraan Zainab tidak berpanjangan kerana
dipaksa bercerai pada hari sama pernikahan mereka berdua. Sementara itu, Geeti
(lahir tahun 1995) yang juga merupakan anak keempat Shafia turut bermasalah.
Dia dikatakan kerap ponteng sekolah dan ada terlibat dalam kegiatan mencuri.
Geeti dipercayai membuat perangai sedemikian kerana memberontak dengan
kehidupan yang bagaikan neraka di rumahnya.
Zainab bersama kekasihnya, Ammar |
Enam minggu selepas penceraian Zainab iaitu pada bulan Jun 2009, semua anggota keluarga Shafia telah pergi bercuti ke Niagara Falls, Ontario. Mereka pergi ke lokasi berkenaan dengan menaiki dua buah kereta secara berasingan. Sehari sebelum hari percutian tersebut, Shafia telah membeli kereta jenis Sentra Nissan berwarna hitam untuk dinaiki oleh Rona, Zainab, Sahar dan Geeti. Pulang dari percutian, empat orang anak beranak itu tiba-tiba dilaporkan hilang. Laporan polis tentang kehilangan tersebut telah dibuat Shafia dan Tooba. Berdasarkan keterangan awal, semua mangsa keluar seawal jam 2 pagi dari hotel tempat penginapan mereka sebelum pulang ke rumah. Shafia dan Tooba menjadi cemas selepas semua mangsa gagal untuk dikesan sama sekali. Bertindak atas laporan itu, pihak polis pun bergegas melakukan operasi pencarian mangsa.
Kehilangan Rona, Zainab, Sahar dan Geeti telah mendapat
mendapat liputan luas oleh pihak media. Sewaktu Shafia dan Tooba diwawancara
tentang kehilangan anak-anak mereka, mereka berdua menangis teresak-esak kerana
tidak dapat menahan sebak. Namun apa yang tidak diketahui oleh Shafia dan
Tooba, mereka berdua sebenarnya dicurigai oleh pihak polis. Ia berikutan keluarga
Shafia sebelum ini pernah membuat laporan polis tentang penculikan Zainab yang kononnya
didalangi oleh Ammar. Kes tersebut bagaimanapun dianggap selesai selepas Zainab
sendiri membuat pengakuan kepada pihak polis bahawa dia pergi melarikan diri
dari rumahnya untuk bersama Ammar adalah secara sukarela.
Toronto Star |
Bulan Julai 2009, mayat Rona, Zainab, Sahar dan Geeti akhirnya ditemui di dalam kereta Nissan Sentra hitam yang telah tenggelam dalam sebuah terusan. Mayat mereka berempat didapati berada dalam keadaan tidak memakai tali pinggang. Menerusi pemeriksaan awal, sepertinya tiada salah seorang pun daripada mereka yang cuba untuk berenang keluar dari kereta bagi menyelamatkan diri. Mengambil kira keadaan di lokasi, adalah sesuatu mustahil untuk kereta terjatuh dengan sendiri ke dalam terusan itu. Hasil bedah siasat, semua mangsa tersebut dipercayai telah pengsan sebelum kereta mereka sengaja ditenggelamkan.
Siasatan demi siasatan yang dijalankan oleh pihak polis,
mereka mendapati kerosakan pada bahagian depan kereta Lexus SUV milik Shafia
dengan kerosakan bahagian belakang Nissan Sentra yang dinaiki mangsa adalah
sepadan. Ini bermaksud telah berlakunya tolakan antara kedua-dua kereta
tersebut di mana kereta Lexus SUV menolak Nissan Sentra dari arah belakang.
Pada mulanya, Shafia, Tooba dan Hamed menafikan sebarang penglibatan mereka
dalam kes. Namun hasil rakaman intipan perbualan tiga anak beranak terbabit sewaktu
dalam kereta telah mendedahkan segala-galanya. Shafia berkata bahawa pembunuhan
itu adalah tentang pengkhianatan. Lagi dahsyat, Shafia melabel Rona, Zainab,
Sahar dan Geeti sebagai wanita murahan yang telah memalukan keluarga. Kata
Shafia lagi, maruah keluarga mereka adalah lagi penting.
Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes tahun 2012, Shafia, Tooba dan Hamid yang didapati bersalah telah dijatuhkan hukuman penjara selama seumur hidup. Mereka bertiga hanya layak mendapat parol selepas 25 tahun di penjara.
Kisah yang sangat menyedihkan dan tidak berperikemanusiaan.
BalasPadam