Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

LIMA KISAH PENDAKIAN YANG BERAKHIR DENGAN KEMATIAN


    5. JOLEE CALLAN

    Gambar sebelah kiri di atas merupakan gambar seorang gadis berusia 18 tahun iaitu Jolee Callan yang sedang menikmati pemandangan di puncak sebuah gunung. Namun, siapa sangka gambar tersebut adalah gambar terakhir Jolee sebelum dia ditembak mati oleh bekas teman lelakinya sendiri.

    Beberapa bulan sebelum itu, Jolee dilaporkan telah berpisah dengan teman lelakinya yang bernama Loren Bunner. Joleee bagaimanapun dikatakan sudah move on dengan perpisahan tersebut. Perkara sebaliknya berlaku terhadap Loren yang enggan untuk menerima hakikat telah bertindak mengganggu Jolee secara berterusan. 

    Hinggalah pada bulan Ogos 2015, Loren telah mengajak Jolee untuk keluar pergi mendaki atas dasar sebagai kawan. Jolee menerima pelawaan tersebut walaupun dengan rasa berat hati. Menjelang hari pendakian, keadaan adalah baik-baik saja pada awalnya. Malah Loren sempat memuat turun  gambar Jolee yang sedang duduk di dalam keretanya dengan kapsyen, 

    "On our way to go hiking <3"

    Selepas mengambil gambar bekas teman wanitanya di puncak pendakian tersebut, Loren terus menembak kepala Jolee dari arah belakang. Mayat Jolee kemudian ditolak jatuh dari tebing sebelum Loren bertindak menelefon talian kecemasan untuk membuat pengakuan tentang pembunuhan tersebut. Menurut laporan tertentu, Loren dikatakan membunuh Jolee agar tiada sesiapapun yang boleh memiliki teman wanitanya itu. Bahkan, Loren juga ada meminta rakannya untuk membunuh teman lelaki baru Jolee yang bernama Matt. Pengakhiran untuk kes ini adalah Loren menerima hukuman penjara selama 52 tahun.



    4. ABIGAIL WILLIAMS & LIBERTY GERMAN
   
    Liberty German (14 tahun) dan Abigail Willims (13 tahun) telah dilaporkan hilang pada 13 Februari 2017 sewaktu pergi mendaki di kawasan Monon High Bridge Tail. Mayat Liberty dan Abigail kemudian ditemui pada hari berikutnya di dalam hutan yang terletak tidak jauh dari tempat laluan pendakian mereka. Tiada siapa tahu apa yang berlaku, namun apa pasti mereka berdua telah dibunuh. Selain itu, satu-satunya petunjuk penting dalam kes ini adalah gambar serta rakaman suara misteri yang ditemui di dalam telefon milik Liberty. Gambar berkenaan adalah gambar seorang lelaki tidak dikenali yang sedang mengekori Liberty dan Abigail dari arah belakang. Berhubung dengan rakaman suara pula, kedengaran suara seorang lelaki yang menyebut “Down the hill”. Hingga pada hari ini, pembunuh sebenar Liberty dan Abigail masih gagal untuk ditangkap.



    3. LISSANE FROON DAN KRIS KEMMERS

    Pada 15 Mac 2014, dua orang pelajar warganegara Belanda iaitu Kris Kremers (21 tahun) dan Lissane Froon (22 tahun) telah menaiki penerbangan dari Amsterdam menuju ke Costa Rica. Dua sahabat baik itu kemudian menuju ke Panama untuk melakukan kerja-kerja sukarelawan di sebuah sekolah. Lebih kurang dua minggu berikutnya, Kris dan Lissane telah pergi mendaki di sekitar kawasan yang dinamakan sebagai La Pianista. Apa yang berlaku selepas itu, mereka berdua gagal untuk dihubungi. Operasi pencarian Kris dan Lissane telah dijalankan selama berminggu-minggu. 

    Hinggalah 19 Jun 2014, tulang milik Kris dan Lissane ditemui di sebuah kawasan yang tidak jauh dari sungai. Ini termasuklah penemuan bahagian kaki kiri Lissane yang masih melekat di dalam kasut butnya dan juga tulang pelvis Kris. Berkenaan kaki kiri Lissane itu, pasukan forensik mendapati potongan tulangnya adalah dalam keadaan bersih tanpa sebarang kesan darah. Tiada juga tanda-tanda tembakan, gigitan, dipijak mahupun dicakar. Ada sesetengah pihak beranggapan mereka berdua telah mati akibat kemalangan yang tidak disengajakan. Ada juga yang berpendapat sebaliknya. Seperkara yang perlu diketahui, perkara yang menjadi misteri dalam kes ini adalah penemuan beg galas dan foto kamera yang diambil oleh Kris serta Lissane pada waktu sebelum kematian mereka.

    Kisah penuh tentang kes ini boleh dibaca di sini



    2. LOUISA VESTERAGER JESPERSEN & MAREN UELAND
    
    Pada hujung tahun 2018, dua sekawan wanita iaitu Louisa Vesterager Jesperson dan Maren Ueland yang juga merupakan pelajar sebuah universiti telah pergi mendaki di sebuah pergunungan Atlas Maghribi. Apa yang berlaku kemudian, mereka berdua mati dibunuh oleh sekumpulan lelaki pengikut ISIS. Lagi kejam apabila kepala Louisa dan Maren telah dipenggal secara hidup-hidup atau dalam bahasa mudahnya, disembelih. Malah video pembunuhan mereka berdua yang sangat mengerikan itu juga menjadi tular di media sosial seperti laman Facebook, Twitter dan Reddit.

    Mayat Louisa dan Maren telah ditemui oleh sekumpulan pelancong dari Perancis. Pihak polis tidak mengambil masa lama untuk menahan para suspek selepas pihak polis berjaya menjumpai kad pengenalan milik salah seorang daripada mereka yang telah tercicir di khemah.



    1. DYATLOV PASS

    Kisahnya bermula pada 25 Januari 1959 apabila sekumpulan pendaki berpengalaman yang terdiri daripada penuntut universiti memulakan perjalanan ekspedisi mereka untuk menuju ke sebuah kawasan pergunungan salji. Kumpulan pendaki yang diketuai oleh Igor Dyatlov itu terdiri daripada lapan orang lelaki dan dua orang wanita. Mengikut rancangan asal kumpulan Dyatlov tersebut, mereka sepatutnya pulang semula pada 11 Februari ataupun akan mengalami sedikit kelewatan dari tarikh tersebut. Namun selepas hari demi hari berlalu, masih tiada sebarang perkhabaran berita tentang mereka.

    Selepas operasi pencarian dijalankan, mereka semua telah ditemui mati dalam keadaan yang mengerikan. Ada yang tidak berpakaian, berlumuran darah, retak kepala tengkorak dan hilang lidah. Berdasarkan laporan bedah siasat rasmi kes Dyatlov ini, punca kematian hampir kesemua mereka adalah disebabkan hipotermia. Namun, ramai pihak yang mempercayai bahawa Dyatlov dan rakan-rakannya telah berdepan dengan satu bencana dahsyat pada malam kejadian.

    Pada bulan Julai 2020, pihak berkuasa Rusia akhirnya mengesahkan bahawa punca kematian sembilan orang pendaki dalam insiden Dyatlov Pass adalah benar-benar disebabkan hipotermia di mana semua mangsa telah melarikan diri dari khemah susulan berlakunya runtuhan salji. Jadi kes yang menjadi misteri selama enam dekad itu akhirnya dianggap selesai. Walau bagaimanapun, ada sesetengah pihak mempertikaikan perkara tersebut dengan beranggapan bahawa kerajaan Rusia sedang menyembunyikan sesuatu.

Kisah penuh tentang kes ini boleh dibaca di sini.

Catat Ulasan for "LIMA KISAH PENDAKIAN YANG BERAKHIR DENGAN KEMATIAN"