Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH SUSAN WRIGHT : Aku yang Kau Panggil Isteri

Susan bersama suaminya, Jeff Wright

    Susan Wright atau nama sebenarnya Susan Lucille Wright dilahirkan pada 24 April 1976 di Houston, Texas, Amerika Syarikat. Pada tahun 1997, Susan yang bekerja sebagai pelayan restoran waktu tersebut telah berkenalan dengan seorang lelaki bernama Jeff Wright. Tahun berikutnya, mereka berdua pun berkahwin dalam keadaan Susan sudah pun hamil lapan bulan. Selang beberapa tahun selepas kelahiran Bradley, anak kedua Susan bersama Jeff pun dilahirkan yang diberi nama sebagai Kailey. 

    Tentang Jeff, dia merupakan seorang peniaga karpet yang berjaya. Susan pula dikatakan sebagai seorang ibu bergelar suri rumah yang begitu penyayang terhadap anak-anaknya. Sepertinya, kehidupan Susan bersama Jeff adalah sangat bahagia. Semua itu hanyalah daripada segi luaran kerana Susan mendakwa Jeff bukanlah seorang suami serta bapa yang baik sejak dari tahun pertama perkahwinan mereka.

Jeff dan Susan bersama dua orang anak mereka

    Kisah sebenar bermula pada malam Isnin bersamaan dengan 13 Januari 2003 apabila Susan telah bertindak untuk mengikat Jeff yang berusia 34 tahun di atas katil. Di situ, Jeff telah ditikam oleh Susan sebanyak 193 kali dengan menggunakan dua pisau yang berlainan. Sesudah Jeff mati, Susan bertindak untuk menanam mayat suaminya itu di belakang rumah mereka. Keesokan harinya, Susan telah pergi ke balai polis bagi memfailkan permohonan perintah perlindungan daripada Jeff. 

    Pada 18 Januari, Susan menghubungi peguamnya iaitu Neal  Davis untuk datang ke rumahnya. Benar-benar di depan Neal, Susan telah membuat pengakuan tentang pembunuhan yang dilakukannya terhadap Jeff. Mendengar pengakuan Susan, Neal pun menghubungi pihak berkuasa untuk tiba ke lokasi kejadian. Operasi penggalian telah dilakukan di belakang rumah Susan dengan mayat Jeff akhirnya ditemui dalam keadaan berbogel berserta kaki dan tangannya terikat. Beberapa hari selepas itu, Susan membuat keputusan untuk menyerah diri kepada pihak polis. 

    Mengenai perbicaraan kes, Susan mengaku tidak bersalah atas alasan mempertahankan diri. Dia yang menangis teresak-esak menceritakan tentang malam kejadian di mana Bradley yang berusia 4 tahun telah ditumbuk oleh Jeff pada bahagian muka. Tambah Susan lagi, dia pernah mengalami keguguran sekali akibat ditendang Jeff. Malah Jeff yang juga seorang pengongkong pernah mengugut untuk membunuh Susan serta dua orang anak mereka jika isterinya itu mempunyai niat melarikan diri. Seperkara lagi, ada beberapa orang wanita kerap menelefon rumah Susan dengan dakwaan mereka mengidap penyakit kelamin yang berjangkit daripada Jeff. Jadi di mata pasukan peguam pembelaan, Susan adalah seorang mangsa keganasan rumah tangga selama bertahun-tahun. 


    Lain pula ceritanya dengan pasukan pendakwaan yang berhujah bahawa Susan telah menggoda Jeff untuk melakukan hubungan seks sebelum suaminya itu diikat lalu ditikam. Pembunuhan tersebut dibuat gara-gara untuk mendapatkan wang insurans nyawa Jeff. Tangisan Susan dalam mahkamah didakwa sebagai sekadar lakonan semata-mata bagi meraih simpati pihak juri. 

    Tepat 3 Mac 2004, Susan telah didapati bersalah atas pertuduhan membunuh. Dia diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara selama 25 tahun. Tahun 2009, rayuan Susan telah diterima sekaligus menyaksikan hukuman penjaranya dikurangkan dari 25 tahun ke 20 tahun. Dia gagal dalam rayuan parolnya sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2014 dan 2017. Rayuan parol Susan akhirnya diterima pada bulan Julai 2020. 30 Disember 2020, dia yang berusia 44 tahun telah dibebaskan secara bersyarat.

Catat Ulasan for "KISAH SUSAN WRIGHT : Aku yang Kau Panggil Isteri"