Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH BENAR DI SEBALIK FILEM CONJURING : The Devil Made Me Do It

     Terkini, Warner Bros baru saja telah melancarkan trailer filem seram fenomena arahan James Wan iaitu Conjuring dengan subjudul The Devil Made Me Do It yang dijangka akan ditayang pada 4 Jun ini. Patrick Wilson dan Vera Farmiga kekal sebagai peneraju utama sebagai pasangan Ed dan Lorraine Warren. Jalan cerita untuk filem kali ini adalah adaptasi daripada kisah benar yang pernah menggemparkan Amerika Syarikat di mana seorang lelaki bernama Arne Cheyenne Johnson telah membunuh tuan rumahnya dengan cara tikaman pisau. Sewaktu perbicaraan kes, Arne mendakwa pembunuhan itu adalah angkara syaitan yang telah merasuki badannya. Harus diketahui, ia adalah kes pertama di Amerika Syarikat yang menggunakan alasan sedemikian sebagai hujah pembelaan.

    Kisah sebenar bermula pada 16 Februari 1981 apabila Arne (19 tahun) telah bertindak menikam mati tuan rumahnya Alan Bono (40 tahun) dengan menggunakan pisau berukuran lima inci sekaligus menjadikan ia sebagai kes pembunuhan pertama di bandar Brookfield selepas 193 tahun tanpa sebarang kes. Arne memberitahu pihak juri tentang segala yang berlaku sebenarnya bermula daripada apa yang telah dilalui oleh adik lelaki kepada tunangnya.

    Pada musim panas tahun 1980, Arne dan tunangnya iaitu Debbie Glatzel hidup bersama dalam suasana yang penuh harmoni. Hinggalah satu hari, adik lelaki Debbie bernama David yang berusia 11 tahun telah memberitahu mereka tentang kewujudan seorang lelaki tua berbahasa latin yang benar-benar menakutkannya. Bermula saat tersebut, hampir setiap malam David diganggu dengan pelbagai peristiwa aneh hingga dia mengalami histeria. Cerita David mengenai apa yang sering dilihatnya, ada seorang lelaki bermata hitam besar dengan bentuk muka cengkung, bertelinga runcing, bertanduk dan berkaki kuda. Adakalanya, David juga diganggu dengan kehadiran seorang lelaki tua berjambang putih. Lagi pelik, badan David tiba-tiba dipenuhi dengan kesan calar serta lebam yang tidak diketahui penyebabnya. Gangguan paranormal lain, keluarga Glatzel turut mendengar bunyi aneh yang datang dari bahagian loteng rumah.

    Percaya rumah mereka berhantu, keluarga Glatzel akhirnya telah memanggil para pendeta serta pasangan Warren bagi melakukan upacara eksorsisme. Keadaan menjadi semakin sukar apabila David menjadi suka menggigit, menendang, meludah, bersumpah dan mengeluarkan kata-kata keji. Malah dia ada memetik ayat daripada kitab Injil serta sajak Paradise Lost dengan suara yang begitu menyeramkan. Setelah eksorsisme selesai dilakukan, pasangan Warren mempercayai bahawa David sebenarnya telah dirasuki oleh syaitan.  Namun dari segi sudut perubatan, pakar psikiatri menilai David mempunyai masalah pembelajaran.

    Tentang Arne, dia dikatakan mencelah dalam salah satu upacara eksorsisme ke atas David. Sejak melakukan provokasi tersebut, dia mula mengalami gangguan oleh syaitan sama yang telah merasuki adik tunangnya itu. Pernah satu ketika, Arne mengalami kemalangan kereta yang didakwa angkara oleh syaitan tersebut. Mujur sajalah Arne tidak mengalami kecederaan. Walau bagaimanapun, Arne tertewas jua dengan syaitan itu selepas dia pergi ke sebuah kawasan perigi lama yang pernah dikunjungi David. Waktu sebelumnya, Ed ada melarang Arne daripada pergi ke tempat tersebut. Menyedari keadaan David yang semakin teruk, Arne dan Debbie telah membuat keputusan untuk berpindah rumah. Selepas berpindah, Arne mula berhalusinasi seperti David.

    Berbalik dengan hari kejadian pembunuhan, Arne bertikam lidah dengan Alan yakni tuan rumahnya sendiri. Pertengkaran tersebut berlaku gara-gara Alan yang sedang mabuk telah mengacau Debbie. Arne yang sebelum itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah kemudian bertindak untuk menikam mati Alan secara berulang kali pada bahagian dada dan perut. Arne seterusnya ditangkap oleh pihak polis pada jarak kria-kira 1 kilometer dari tempat kejadian.

    Berhubung kes perbicaraan, Arne mengaku tidak bersalah atas pembunuhan Alan dengan alasan dirasuki syaitan. Pihak juri bagaimanapun membuat keputusan untuk menolak pengakuan Arne itu. Perkara ini berikutan hujah serta bukti daripada pihak pembelaan yang dilihat sebagai tidak berasaskan saintifik dan tidak relevan. Bahkan, kenyataan tentang kewujudan empat orang pendeta yang melakukan upacara eksorsisme ke atas David tidak dapat disahihkan. Pada 24 November 1981, Arne yang didapati bersalah oleh pihak mahkamah atas kesalahan pembunuhan peringkat pertama telah dijatuhkan hukuman penjara dari 10 hingga 20 tahun. Arne dilaporkan telah berkahwin dengan Debbie sewaktu berada dalam penjara. Nasib terus menyebelahi Arne apabila dia dibebaskan hanya selepas 5 tahun dipenjarakan. Menerusi perkembangan semasa tahun 2014, Arne dan Debbie dilaporkan masih lagi setia bersama.

Arne Cheyenne Johnson

    Kisah Arne ini telah mencetuskan penghasilan filem “The Demon Murder Case”  pada dua tahun selepas kejadian. Pada tahun yang sama juga, sebuah buku berjudul “The Devil in Connecticut” karya Gerald Brittle dengan kerjasama pasangan Warren turut diterbitkan. Susulan penerbitan buku tersebut, salah seorang anggota keluarga Glatzel telah menyaman Gerald dan Lorraine berkenaan dengan isu hakcipta. Pasangan Warren dilihat mengambil kesempatan untuk menjana wang dengan mereka-reka kisah palsu. Perlu diingatkan, kredibiliti pasangan Warren sebagai penyiasat kejadian paranormal masih diragui oleh ramai pihak memandangkan kebanyakan kes paranormal yang dikendalikan oleh mereka tidak dapat dibuktikan secara kukuh. Ini termasuklah kes berprofil tinggi Amityville.

Catat Ulasan for "KISAH BENAR DI SEBALIK FILEM CONJURING : The Devil Made Me Do It"