KISAH PEMBUNUHAN KEJAM CHERISH PERRWINKLE
Cherish Perrywinkle |
Pada malam 16 Jun 2012, seorang wanita bernama Rayne
Perrywinkle membawa tiga orang anaknya iaitu Cherish (8 tahun), Destiny (5
tahun) dan Nevaeh (3 tahun) keluar pergi membeli barangan di pasar raya General
Store, Jacksonville, Florida. Rayne telah membawa wang pemberian daripada teman
lelakinya yang berjumlah sebanyak $100. Wang itu digunakan Rayne bagi membeli
beberapa barangan keperluan rumah dan baki selebihnya pula adalah sebagai tambang
perjalanan Cherish yang dijadual akan berlepas ke California pada keesokan hari
untuk bertemu dengan bapa kandungnya, Billy Jarreau. Seperkara perlu diketahui,
Rayne mendapat hak penjagaan penuh terhadap anak-anaknya selepas bercerai
dengan Billy.
Sewaktu berada di kedai, Rayne ada melihat beberapa pakaian
yang dirasakannya sesuai untuk Cherish. Dia bagaimanapun tidak membeli pakaian
itu berikutan wang yang dibawanya tidak mencukupi. Tanpa Rayne sedari, segala
gerak gerinya di kedai tersebut telah diperhatikan oleh seorang lelaki tua
bernama Don atau nama sebenarnya Donald Smith. Don merupakan pesalah laku seksual
yang berekod sejak dari tahun 1993. Dia juga baru sahaja dibebaskan dari penjara
pada tiga minggu sebelum itu atas kesalahan melakukan penderaan terhadap
kanak-kanak.
Rayne Perrwinkle |
Selesai membuat pembelian barang, Rayne yang terus keluar dari kedai telah ditegur oleh Don. Mereka berdua pun saling berkenalan sebelum Don menawarkan diri untuk membelikan pakaian anak-anak Rayne dengan menggunakan baucer Walmart miliknya. Don juga memberitahu bahawa isterinya akan menunggu di kedai Walmart yang dimaksudkan. Disebabkan berasa terdesak untuk mendapatkan pakaian baru anak-anaknya, Rayne pun bersetuju untuk pergi ke kedai Walmart dengan menaiki van putih milik Don.
Setibanya di kedai Walmart, Rayne pun membeli pakaian anak-anaknya
dengan tajaan Don. Rayne sebenarnya sudah berasa curiga dengan Don kerana
lelaki tua itu dilihat lebih gemar untuk berdamping dengan Cherish sepanjang tempoh
mereka berada dalam kedai tersebut. Ini termasuklah Don menemani Cherish dalam
bilik salinan baju sebanyak dua kali. Walau bagaimanapun, Rayne masih cuba
untuk bersangka baik dengan Don. Selepas hampir dua jam berada di kedai, isteri
Don masih tidak muncul seperti yang telah dijanjikan dan anak-anak Rayne pula
mula mengadu kelaparan. Maka Don sekali lagi menawarkan dirinya untuk
membelikan mereka makanan segera di restoran McDonald yang ada dalam kedai Walmart
itu. Cuma kali ini, Don melangkah keluar dari kedai bersama dengan Cherish
seorang setelah mendapat keizinan daripada Rayne sendiri.
Jam kian menghampiri pukul 11 malam. Menyedari kedai Walmart bakal ditutup, Rayne mula berasa bimbang kerana Don dan Cherish langsung tidak muncul semula. Tidak lama selepas itu, barulah Rayne sedar bahawa Cherish sebenarnya telah pun diculik oleh Don. Tanpa berlengah, Rayne terus menghubungi pihak talian kecemasan bagi memaklumkan tentang penculikan tersebut. Susulan daripada aduan yang dibuat oleh Rayne, pihak polis segera melancarkan sistem amaran Amber Alert. Menerusi pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian mendapati Don dan Cherish telah melangkah keluar dari kedai lalu beredar pergi dengan menaiki dengan van putih seperti yang dinaiki oleh Rayne waktu sebelumnya. Tentang isteri Don, dia tidak wujud sama sekali. Itu semua helah pembohongan Don untuk memperdayakan Rayne.
Pihak polis tidak mengambil masa yang lama untuk menjejaki
Don. Lelaki tua tersebut telah berjaya ditangkap pada pagi keesokan harinya
hasil daripada maklumat yang diberikan oleh orang awam. Sementara itu, mayat
Cherish pula ditemui dalam keadaan menyayat hati di kawasan anak sungai yang
berhampiran dengan sebuah gereja. Berdasarkan laporan bedah siasat, Cherish
telah dirogol serta dibelasah oleh Don dengan begitu kejam sekali. Terdapat kesan
kecederaan tumpul pada bahagian belakang kepalanya. Punca kematian Cherish adalah
disebabkan cekikan leher hingga menyebabkan berlaku pendarahan di bahagian
mata, gusi dan hidungnya.
Donald Smith |
Berhubung dengan perbicaraan kes, pakar bedah siasat dan beberapa orang pihak juri yang terlibat dilaporkan gagal untuk menahan sebak sebaik melihat gambar autopsi Cherish. Bulan Mei 2018, Don yang didapati bersalah atas melakukan pembunuhan peringkat pertama telah dijatuhkan hukuman mati. Don dikatakan lebih rela untuk dihukum mati berbanding dipenjarakan seumur hidup kerana dia berasa bimbang akan dibelasah oleh banduan lain.
Mengenai Rayne, ramai pihak telah menuding jari terhadapnya sebagai seorang ibu yang tidak bertanggungjawab atas kematian Cherish. Menurut laporan daripada pihak media, Rayne sebenarnya dilahirkan di negara Australia dengan nama asalnya adalah Kimberly. Nama Kimberly itu ditukar menjadi Rayne sebaik saja dia berhijrah ke Amerika Syarikat. Mengikut penjelasan daripada keluarga Rayne sendiri, Rayne bukan seorang ibu yang baik. Sementara itu, Destiny dan Nevaeh kini dilaporkan dijaga oleh ibu saudara mereka di Australia.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM CHERISH PERRWINKLE"