KISAH EMILY JONES : Serangan Seorang "Stranger"
Emily Jones |
Tarikh 22 Mac 2020 adalah sambutan Hari Ibu di United Kingdom. Pada hari itu juga, seorang budak perempuan bernama Emily Jones yang berusia 7 tahun begitu teruja untuk meraikan ibunya. Emily adalah budak periang yang kreatif dan suka melukis. Dia amat disayangi oleh orang-orang yang sering berada di sekelilingnya.
Petang sambutan Hari Ibu itu, Emily telah pergi beriadah di sebuah taman bersama keluarganya. Mereka semua nampak gembira menikmati waktu riadah itu. Emily kelihatan seronok bermain skuter mainannya. Hinggalah satu ketika, Emily meminta izin daripada bapanya untuk pergi ke arah ibunya yang sedang berjoging. Emily kemudian bergerak menunggang skuter sambil memanggil nama ibunya. Tidak lama selepas itu, tiba-tiba ada seorang wanita yang sedang duduk di atas bangku berhampiran bangun menghampiri Emily. Mengejutkan apabila wanita terbabit telah mengelar leher Emily dengan pisau tanpa sebab yang diketahui. Kejadian kejam tersebut berlaku betul-betul di depan mata bapa Emily sendiri yang bernama Mark.
Pada mulanya, Mark kurang jelas dengan kejadian itu. Dia beranggapan Emily telah terjatuh daripada skuter dengan wanita tadi cuba untuk membantu anaknya. Namun selepas mendengar daripada jeritan daripada orang ramai tentang apa sudah yang dilakukan oleh wanita berkenaan, barulah Mark bergegas berlari menuju ke arah Emily yang terbaring dalam keadaan berlumuran darah. Ada beberapa orang saksi yang cuba membantu. Seorang lelaki telah menanggal bajunya untuk membalut luka kelaran pada leher Emily bagi menghentikan pendarahan. Seorang jururawat yang kebetulan berada di tempat kejadian cuba memberikan bantuan pernafasan. Wanita yang mengelar leher Emily itu pula cuba untuk melarikan diri. Dia bagaimanapun berjaya ditangkap oleh orang awam sebelum sempat untuk beredar pergi. Emily telah disahkan meninggal dunia di sisi ibunya iaitu Sarah sejurus selepas dihantar ke hospital.
Jadi, siapa gerangan wanita yang membunuh Emily? Dia dikenalpasti sebagai Eltiona Skana, wanita berusia 30 tahun yang berasal dari negara Albania. Dia berhijrah ke England pada tahun 2014 melalui permohonan suaka. Seperkara yang harus diketahui, Eltiona dan keluarga Jones tidak saling mengenali. Perkara ini bermaksud pembunuhan Emily sebenarnya adalah serangan secara rawak. Berdasarkan siasatan, Eltiona merupakan seorang pengidap penyakit skizofrenia paranoid sejak dari tahun 2015. Dia pernah dihantar ke hospital sakit jiwa selepas melakukan ugutan bersenjata terhadap jirannya. Selain itu, Eltiona juga pernah mencederakan ibunya sendiri selain terpaksa dikurung di dalam bilik oleh adik-beradiknya berikutan dia yang sering bertindak di luar kawalan. Hasil pemeriksaan pihak polis di rumah Eltiona juga telah menemui ubat-ubatan yang tidak digunakan. Dalam erti kata lain, Eltiona sudah berhenti mengambil ubat rawatan penyakit mental yang dihidapinya. Sewaktu disoal siasat, Eltiona membuat pengakuan bahawa dia sedar tentang pembunuhan Emily yang telah dilakukannya.
Eltiona Skana |
Pada 26 Januari 2021, Eltiona dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dengan kadar paling minimum adalah selama 10 tahun dan lapan bulan. Namun kadar minimum tersebut adalah hanya sekiranya dia sudah dianggap tidak lagi mendatangkan bahaya kepada masyarakat. Jika sebaliknya, Eltiona akan terus kekal meringkuk di penjara. Terdapat laporan yang memberitahu iaitu sewaktu Eltiona berada dalam hospital sakit jiwa untuk diperiksa, dia dikatakan telah ketawa mengilai sebaik saja melihat wajah seorang budak perempuan yang seakan Emily di televisyen.
Catat Ulasan for "KISAH EMILY JONES : Serangan Seorang "Stranger""