KISAH PEMBUNUHAN EMMA WALKER : Awas! Jauhi Hubungan Toksik
Namun lama-kelamaan, Riley mula menunjukkan belangnya yang
sebenar. Rupa-rupanya, dia bukan seorang lelaki baik seperti yang disangka oleh
Emma sekeluarga. Riley adalah seorang yang panas baran dan pengongkong dengan
mengawal sepenuhnya hidup Emma. Emma dilarang sama sekali untuk menghabiskan
masa bersama rakan-rakannya. Selain itu, cara dan gaya pemakaian harian Emma ditentukan
oleh Riley. Begitu juga dengan aktiviti harian Emma, segalanya sentiasa
diperhatikan Riley. Malah, Emma sering menerima mesej berbaur ugutan bunuh daripada
Riley jika dia berniat untuk memutuskan hubungan mereka berdua. Samada Emma
dibunuh atau Riley akan membunuh diri. Seperkara yang perlu diketahui, Emma ada
bekerja sambilan di sebuah pusat membeli belah. Bayangkan, Riley sanggup
menunggu di kawasan parkir pusat beli belah itu selama berjam-jam hingga waktu
syif kerja Emma selesai. Walaupun sering menerima layanan buruk daripada Riley,
Emma tetap meneruskan jua hubungan toksik tersebut.
Disebabkan berasa bimbang dengan keselamatan Emma, ibu bapanya telah meminta Riley untuk melupakan saja anak mereka. Emma dilarang sama sekali untuk keluar dari rumah tanpa sebarang sebab melainkan ada akiviti di sekolah dan juga berlatih bersorak. Larangan tersebut dibuat adalah demi kebaikan Emma sendiri. Emma bagaimanapun dalam diam-diam masih lagi berdegil untuk terus berhubung dengan Riley.
Hinggalah tahun 2016, Emma ada terlihat foto Riley bersama
perempuan lain. Saat itu, barulah Emma tersentak daripada lamunan cintanya. Dia
sedar bahawa dirinya berhak untuk mendapatkan lelaki yang lebih baik. Lagipun,
usianya masih muda. Jadi, masih ada banyak perkara yang perlu dilakukan bagi
mencapai matlamat hidup. Pada akhirnya, Emma tekad untuk memutuskan hubungan
dengan Riley. Keputusan yang telah memberikan satu tamparan hebat buat Riley.
Dia enggan untuk menerima hakikat dengan perpisahan itu hingga sanggup
melakukan percubaan membunuh diri dengan menelan pil secara berlebihan. Percubaan
bunuh diri tersebut bagaimanapun telah gagal.
Biarpun sudah berpisah, Emma tetap diganggu oleh Riley
secara berterusan. Dia enggan melayan sebarang teks mesej mahupun panggilan
daripada bekas teman lelakinya itu melainkan untuk hal-hal penting. Satu hari
iaitu sewaktu Emma sedang berparti bersama rakan-rakannya, dia telah menerima
beberapa mesej pelik daripada sebuah nombor yang tidak dikenali. Antara petikan
mesej tersebut bertulis,
“Pergi ke arah kereta kau sekarang dengan membawa kunci.”
“Pergi bersendirian.”
“Aku dah culik mereka. Mereka yang kau sayang. Jika kau
tidak patuh arahan, aku akan cederakan mereka.”
“Jika kau tak mendengar suaranya menangis atau menjerit,
lebih baik kau telefon dia sekarang.”
Mesej terakhir yang diterima Emma adalah tentang seorang lelaki yang dihumban ke dalam parit di depan rumahnya. Emma kemudian mengajak rakannya untuk memeriksa keadaan sebelum mendapati lelaki dalam parit itu adalah Riley yang mendakwa dirinya telah menjadi mangsa penculikan. Malas untuk melayan Riley, Emma pun terus beredar pergi. Dia tahu, Riley sudah terdesak untuk mendapatkannya semula walau dengan apa cara sekalipun. Keesokan harinya, Emma yang tinggal bersendirian di rumah telah dikejutkan dengan satu bunyi hentakan kuat pada pintu masuk. Dia yang berasa ketakutan terus meminta bantuan daripada rakan-rakannya termasuk Riley melalui teks mesej. Tidak lama kemudian, Riley pun tiba di rumah Emma lalu mereka berdua pun berborak seketika di kawasan jalan masuk. Sebaik saja ibu bapa Emma pulang, mereka terus meminta Riley untuk beredar pergi.
Pada pagi 21 November 2016, ibu Emma telah menghubungi pihak
talian kecemasan selepas mendapati Emma berada dalam keadaan tidak sedarkan
diri di bilik tidurnya. Pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian pada
mulanya menyangka Emma mati akibat membunuh diri dengan menelan ubat secara
berlebihan. Setelah pemeriksaan dibuat oleh pasukan penyiasat, mereka berjaya
menemui dua lubang kecil pada dinding dalam bilik Emma yang diyakini berlubang
berpunca daripada das tembakan. Berdasarkan siasatan menyeluruh, tembakan dilepaskan dari
luar rumah dengan pelaku mengetahui posisi katil Emma secara tepat. Salah satu tembakan telah mengena pada bahagian belakang telinga kiri Emma. Pihak polis seterusnya tidak mengambil masa
lama untuk menahan Riley yang dipercayai sebagai suspek utama pembunuhan.
Dua orang rakan karib Riley telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dengan merakam bukti video serta percakapan Riley secara rahsia. Sehari sebelum kejadian, seorang lelaki yang dikenalpasti sebagai datuk Riley ada membuat laporan polis berhubungan dengan kehilangan pistolnya. Pada bulan Januari 2017, Riley telah menerima pertuduhan melakukan pembunuhan peringkat pertama, mengendap, mencuri dan beberapa lagi jenis pertuduhan. Pasukan pembelaan memberikan hujah bahawa pembunuhan Emma adalah secara tidak sengaja. Perkara ini berikutan Riley pada malam kejadian melepaskan tembakan hanya bertujuan untuk menakutkan Emma. Rancangan asal Riley selepas tembakan dibuat, dia akan muncul di depan Emma, kononnya sebagai hero. Dia sendiri tidak menyangka peluru pistol itu boleh menembusi dinding. Hujah tersebut tidak diterima oleh pihak juri sekaligus menyebabkan Riley didapati bersalah atas semua pertuduhan. Dia menerima hukuman penjara seumur hayat dengan hanya layak untuk diparol hanya selepas 51 tahun dipenjarakan.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN EMMA WALKER : Awas! Jauhi Hubungan Toksik"