KISAH JOE METHENY : Penjual Daging Burger Manusia
Joe Metheny |
Joe Metheny dilahirkan pada 2 Mac 1955 bertempat di
Maryland, Amerika Syarikat. Tidak banyak sebenarnya yang diketahui tentang
hidup Joe. Cuma apa yang dapat dipastikan, Joe berasal dari keluarga yang susah
di mana dia telah kehilangan bapanya sejak dari usia 6 tahun. Selain itu, Joe
juga pernah berkhidmat sebagai anggota tentera pada usia 18 tahun. Tamat
perkhidmatan, Joe yang mempunyai masalah ketagihan dadah telah hidup sebagai
gelandangan yang tinggal di merata tempat sebelum pada akhirnya bekerja sebagai
seorang pemandu trak.
Kisah sebenar bermula pada satu malam tahun 1994, Joe yang
baru pulang bekerja mendapati isteri dan anak lelakinya tiada berada di rumah.
Paling membuatkan Joe berasa marah, semua barangan keperluan di rumahnya telah
hilang. Seperkara perlu diketahui, isteri Joe mempunyai tabiat yang sama
seperti Joe sendiri iaitu suka menghisap dadah. Menyedari isterinya sudah
membawa lari sekali anak lelaki mereka yang baru berusia 6 tahun, Joe pun mula
mengamuk. Jadi, apa yang dia lakukan adalah pergi mencari isteri dan anaknya
itu di pelbagai tempat tanpa berputus asa.
Hinggalah satu hari, Joe telah diberitahu oleh seorang pengedar dadah tentang isterinya yang sudah berpindah ke bandar lain bersama dengan teman lelaki barunya. Malah isteri Joe juga bekerja sebagai seorang pelacur hingga menyebabkan anak lelaki mereka terabai. Mendengar perkara tersebut, kemarahan Joe semakin membuak-buak. Setelah mendapat tahu khabar angin tentang isterinya yang telah tinggal di bawah sebuah jambatan bersama dengan golongan gelandangan, Joe terus pergi ke kawasan tersebut. Di situ, Joe menemui dua orang lelaki gelandangan yang telah menafikan mengetahui keberadaan isterinya. Joe yang tidak berpuas hati dengan jawapan itu bertindak untuk menetak kedua-dua lelaki berkenaan dengan kapak. Lagi mengerikan apabila mayat mereka berdua turut dikerat kepada beberapa bahagian. Turut menjadi mangsa pembunuhan Joe adalah seorang pelacur wanita dan seorang nelayan yang kebetulan berada di kawasan situ pada waktu tersebut. Mayat dua orang lelaki gelandangan tadi telah dibuang oleh Joe ke dalam sungai manakala mayat pelacur dan nelayan itu pula ditinggalkan di kawasan semak belukar. Tidak lama selepas kejadian, Joe telah ditangkap oleh pihak polis selepas disyaki sebagai suspek utama pembunuhan dua orang lelaki gelandangan tersebut. Dia meringkuk dalam penjara selama setahun setengah sebelum dia dibebaskan daripada pertuduhan susulan pihak pendakwaan yang kekurangan bukti untuk mendakwanya.
Selepas keluar dari penjara, Joe semakin mengganas. Kali ini
dia yang berbadan besar dengan anggaran berat 204 kilogram menjadikan beberapa
orang sebagai mangsanya termasuk pelacur wanita. Mangsa diumpan Joe dengan
dadah sebelum dicekik sampai mati. Serpihan daging mayat mangsa yang telah siap
dilapah kemudian akan dicampurkan Joe ke dalam daging burger lembu dan khinzir
yang dijualnya secara gerai di tepi jalan. Paling tidak disangka, Joe tidak
pernah mendapat sebarang aduan daripada pelanggannya mengenai daging burgernya
itu. Bahkan, ada juga pelanggan gerai Joe yang begitu menyukai “ramuan rahsia”
tersebut. Menerusi satu keterangan yang pernah Joe berikan kepada pihak polis,
“Terdapat persamaan rasa antara daging manusia dengan daging
khinzir. Jadi jika kedua-dua itu dicampur adukkan, tiada siapa akan dapat
merasai perbezaannya.”
Gambar sekadar hiasan |
Sepandai-pandai tupai melompat, jatuh ke tanah jua. Begitulah dengan nasib Joe apabila dia akhirnya berjaya ditangkap oleh pihak polis pada tahun 1996. Penangkapan tersebut dibuat berikutan seorang pelacur wanita yang ingin dibunuhnya berjaya melarikan diri. Tidak dapat dipastikan tentang jumlah sebenar mangsa pembunuhan Joe, samada kurang atau lebih daripada 10 orang mangsa. Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes, Joe yang didapati bersalah atas kesalahan melakukan pembunuhan pada asalnya dihukum mati. Hukuman itu bagaimanapun kemudian ditukar menjadi dua hukuman penjara seumur hidup. Tahun 2017, Joe telah ditemui mati dalam penjara pada usia 62 tahun dengan punca kematiannya tidak dapat untuk dipastikan.
Catat Ulasan for "KISAH JOE METHENY : Penjual Daging Burger Manusia "