Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH MIRIAM RODRIGUEZ : “Taken” yang Sebenar

Miriam Rodriguez

    Pada tahun 2014, seorang gadis bernama Karen Alejandra Salinas Rodriguez yang berusia 20 tahun telah hilang di negara Mexico akibat diculik oleh geng kartel dadah Zetas. Penculik Karen seterusnya meminta sejumlah wang tebusan penculikan daripada keluarganya. Gagal berbuat sedemikian, maka Karen akan diseksa serta dibunuh. Ugutan demi ugutan diterima oleh keluarga Karen hingga pada akhirnya mayat Karen telah ditemui mati di sebuah ladang yang terbiar.

    Selepas kematian Karen, ibunya iaitu Miriam Rodriguez tekad untuk menegakkan keadilan dengan cara tersendiri. Perkara ini berikutan polis memberikan pelbagai alasan dan sering berdolak dalih sewaktu melakukan siasatan kes  penculikan Karen. Paling membuatkan Miriam geram, tiada seorang pun daripada geng Zetas yang berjaya ditangkap. Jadi apa yang dilakukan oleh Miriam dalam masa tiga tahun selepas kematian Karen adalah mengendap dan menyiasat para penculik mendiang anak gadis kesayangannya itu. Pengintipan bukan dibuat di setakat satu atau dua tempat tetapi di seluruh Mexico.

    Dalam usaha menjejak pembunuh Karen, Miriam melakukan penyamaran dengan mengubah penampilan dan memakai kad pengenalan palsu. Selain itu, Miriam juga ada menyamar sebagai seorang pembanci dan pekerja kesihatan bagi mendapatkan segala maklumat tentang individu buruannya. Maklumat yang diperolehi kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Pernah satu ketika, Miriam pernah menangkap sendiri salah seorang geng kartel terbabit yang sedang menjual bunga ros di jalanan. Miriam yang berusia 56 tahun waktu tersebut telah berjaya merebahkan lelaki berkenaan sebelum mengacu pistol pada lehernya. Kata Miriam,

    “Jika kau bergerak, aku akan tembak kau!”

    Secara keseluruhannya, Miriam telah bertanggungjawab dalam melakukan penangkapan terhadap 10 orang yang disyaki sebagai penculik dan pembunuh Karen.

    Walau bagaimanapun, tidak semua kisah berakhir dengan kegembiraan. Begitu jugalah dengan nasib Miriam yang akhirnya menjadi mangsa bunuh. Waktu sebelum kematian Miriam, dia pernah meminta kepada pihak kerajaan Mexico untuk menyediakan pasukan bersenjata bagi menjaga keselamatannya. Permintaan tersebut dibuat Miriam susulan kebimbangan dirinya bakal menjadi buruan oleh banduan-banduan berkaitan yang telah berjaya meloloskan diri dari penjara. Tepat 10 Mei 2016 iaitu bersamaan dengan Hari Ibu di Mexico, Miriam telah mati ditembak oleh geng kartel dengan sebanyak 12 das tembakan.

Catat Ulasan for "KISAH MIRIAM RODRIGUEZ : “Taken” yang Sebenar"