Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KEHILANGAN SARAH STERN : Pengkhianatan Seorang Rakan

Sarah Stern

    Pada 3 Disember 2016 iaitu dalam sekitar jam 2.45 pagi, seorang pemandu lelaki kereta Uber telah melalui kawasan jambatan Shark River, Belmar. Di situ, dia ada melihat sebuah kereta diparkir dalam keadaan yang begitu mencurigakan. Lelaki itu seterusnya bertindak untuk menghubungi pihak polis bagi memaklumkan tentang penemuan kereta tersebut. Setibanya pihak polis di lokasi kejadian, mereka mendapati kereta tanpa pemandu itu masih dalam keadaan baik. Memandangkan kereta tersebut diparkir di bahagian tepi jambatan, pihak polis mengesyaki samada si pemandu telah terjatuh ke dalam sungai. Selepas semakan pemilikan dibuat, kereta itu didapati milik seorang wanita warga emas yang bernama Lillian Stern, 96 tahun. Cumanya, kereta tersebut sering dipakai oleh cucu Lilian iaitu Sarah yang berusia 19 tahun.

    Tidak lama kemudian, Sarah disahkan hilang oleh pihak polis selepas bapa Sarah sendiri pada waktu sebelum itu gagal untuk menghubunginya sebanyak beberapa kali. Menurut keterangan daripada seorang rakan lelaki Sarah yang dikenali sebagai Liam McAtasney, dia memberitahu pihak polis bahawa Sarah berkemungkinan besar telah membunuh diri. Ini adalah kerana Sarah yang juga merupakan anak tunggal dilihat mengalami kemurungan pada waktu sebelum kejadian. Selain itu, Sarah yang turut mempunyai masalah dengan bapanya ada menyatakan hasrat untuk berpindah ke negara Kanada. Harus diketahui, Liam telah berkawan dengan Sarah sejak dari usia mereka 6 tahun. Liam juga adalah satu-satunya individu terakkhir yang dilihat keluar bersama Sarah sebelum kejadian. Dia bagaimanapun diyakini bukan sebagai suspek selepas hasil pemeriksaan kamera litar tertutup pada hari kejadiaan menunjukkan keberadaan Liam adalah selari dengan keterangan yang diberikannya kepada pihak polis.


Liam McAtasney

    Sementara itu, rakan-rakan Sarah yang lain mempercayai Sarah tidak membunuh diri seperti yang telah digembar-gemburkan. Ada dua sebab. Pertama, Sarah adalah seorang yang begitu periang. Mustahil untuk dirinya mengalami masalah penyakit kemurungan. Kedua, anak anjing kecil Sarah masih berada di rumahnya. Tabiat Sarah, dia kebiasaannya akan membawa sekali anak anjing peliharaannya itu jika keluar dari rumah.

    Hinggalah bulan Januari 2017, ada seorang rakan lelaki Liam yang bernama Anthony Curry tampil ke hadapan untuk memberikan maklumat kepada pihak polis. Menurut Anthony yakni pada waktu sebelum kejadian, Liam pernah bercerita tentang satu plot filem di mana seorang lelaki mencekik seorang wanita sebelum mayat wanita terbabit dibuang ke dalam sungai. Setelah menyedari persamaan jalan cerita tersebut dengan kes kehilangan Sarah, Anthony berasa yakin bahawa Liam adalah dalang utama kejadian. Anthony kemudian bekerjasama dengan pihak polis bagi merakam percakapan Liam secara rahsia. Taktik itu telah berjaya di mana Liam membuat pengakuan depan Anthony tentang Sarah yang dibunuhnya dengan cara cekikan sampai mati. Selesai membunuh, Liam membuang mayat Sarah ke dalam sungai dengan bantuan seorang lagi rakan mereka, Preston Taylor. Motif pembunuhan Liam adalah untuk mendapatkan wang daripada Sarah. Cerita asalnya, ibu Sarah yang meninggal dunia pada tahun 2013 ada meninggalkan sejumlah wang tunai kepada Sarah di rumah mereka. Apabila Liam mengetahui tentang perkara tersebut, dia tekad untuk membunuh Sarah. Namun selepas Sarah dibunuh, Liam hanya memperolehi kurang daripada $10 000 iaitu kurang $90 000 daripada jumlah $100 000 seperti yang disangkanya sebelum ini.

Preston Taylor

    Mengenai Liam dan Preston, mereka berdua merupakan rakan baik dan sekelas kepada Sarah sejak dari sekolah menengah. Apa yang dapat dipastikan, Preson pernah menjadi teman Sarah untuk majlis prom di sekolah mereka. Perlu diingatkan, hubungan antara mereka bertiga hanyalah tidak lebih daripada sekadar rakan. Berhubung dengan perbicaraan kes, Liam yang membuat pengakuan mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pembunuhan, rompakan dan beberapa lagi pertuduhan telah dijatuhkan hukuman penjara seumur tanpa sebarang peluang parol. Sementara itu, Preston pula dipenjarakan selama 18 tahun kerana bersubahat membantu Liam membuang mayat Sarah ke dalam sungai. Sewaktu Preston membuat permohonan maaf secara terbuka di mahkamah atas kesalahannya itu, bapa Sarah telah bertindak untuk keluar dari bilik perbicaraan. Paling menyedihkan, mayat Sarah masih lagi belum lagi dapat ditemui hingga pada hari ini.

Catat Ulasan for "KISAH KEHILANGAN SARAH STERN : Pengkhianatan Seorang Rakan"