KISAH ALYSSA BUSTAMANTE : Bunuh Demi Keseronokan
Sejak dari kecil lagi, Alyssa Bustamante yang dilahirkan
pada tahun 1994 Amerika Syarikat telah dijaga serta dibesarkan oleh datuk dan
neneknya. Perkara ini disebabkan ibu bapa Alyssa merupakan pasangan penagih
dadah dan juga pesalah jenayah. Bapa Alyssa dipenjarakan atas kesalahan
mencederakan orang manakala ibunya pula sering keluar masuk penjara kerana tabiat
mencuri dan penyalahgunaan dadah.
Walaupun ibu bapanya bermasalah, Alyssa adalah seorang
pelajar yang cemerlang di sekolahnya. Dia digambarkan oleh rakan-rakannya
sebagai seorang yang suka berjenaka dan gemar untuk menulis puisi. Selain itu,
Alyssa juga sering pergi ke gereja untuk menyertai akiviti keagamaan. Namun di
alam maya, Alyssa mempunyai personaliti yang sangat berbeza dari dunia sebenar.
Dia menunjukkan kebencian mendalam terhadap pihak berkuasa menerusi laman media
sosial Twitter. Malah, Alyssa juga menyenaraikan “membunuh” serta “memotong”
sebagai hobi pada butiran laman My Space dan Youtube miliknya. Alyssa pernah
memuatnaik video Youtube yang menunjukkan dia menyuruh dua orang adiknya untuk
menyentuh pagar elektrik. Alyssa yang mempunyai masalah kemurungan pernah mempunyai
rekod dimasukkan ke hospital selepas cuba membunuh diri. Selepas dirawat, dia
terpaksa bergantung sepenuhnya dengan ubat anti kemurungan untuk mengawal diri.
Seperkara lagi, Alyssa dikatakan kerap untuk mengelar pergelangan tangan.
Pada 21 Oktober 2009, Alyssa telah mengajak seorang perempuan berusia 9 tahun iaitu Elizabeth Olten yang juga merupakan jirannya untuk pergi ke dalam hutan. Elizabeth bersetuju selepas Alyssa memberitahu ada hadiah untuk diberikan kepadanya. Namun apa yang berlaku kemudian, Elizabeth mati dibunuh dengan kejam oleh Alyssa yang berusia 15 tahun waktu tersebut. Cara pembunuhan, Elizabeth telah dicekik sebelum lehernya dikelar dan akhir sekali ditikam pada bahagian dada. Mayat Elizabeth seterusnya ditanam di belakang rumah Alyssa sendiri. Selesai kerja penanaman mayat, Alyssa telah meluahkan rasa kepuasan membunuh menerusi penulisan diarinya yang bertulis,
“Aku baru bunuh seseorang. Aku telah mencekik dan mengelar
lehernya lalu menikamnya sampai mati. Aku sendiri tak tahu apa yang aku rasa
sekarang. Ia sungguh menakjubkan. Selepas dapat atasi perasaan ‘Oh Tuhan aku
tak boleh lakukan perkara ini’, ia jadi menyeronokkan. Sekarang ini aku berasa
sangat gementar. Baiklah, aku nak pergi ke gereja sekarang....lol.”
Selepas pihak polis menerima laporan kehilangan Elizabeth
yang dibuat oleh ibunya, mereka yang terus melakukan siasatan telah mengesyaki
Alyssa sebagai suspek susulan butiran maklumat dan keterangan daripadanya
didapati sangat mencurigakan. Hasil pemeriksaan yang dilakukan di kawasan rumah
Alyssa, pihak polis akhirnya menemui kubur Elizabeth yang ditutupi dengan daun.
Lain-lain penemuan adalah diari sekaligus telah memaksa Alyssa untuk membuat
pengakuan tentang pembunuhan Elizabeth.
Berhubung dengan perbicaraan kes, Alyssa yang dibicarakan sebagai orang dewasa mengaku tidak bersalah biarpun sebelum itu dia ada membuat pengakuan membunuh Elizabeth. Pakar psikologi mendiagnosis bahawa Alyssa telah mengalami kerosakan psikologi dan juga mempunyai masalah kecelaruan personaliti. Harus diketahui, pihak polis turut ada mengemukakan teori mengenai dua lubang kubur yang digali oleh Alyssa di kawasan rumahnya dipercayai bagi dijadikan sebagai tempat kubur untuk dua orang adiknya. Perkara ini bermaksud, Alyssa dipercayai mempunyai rancangan untuk melakukan pembunuhan terhadap adiknya sendiri. Rancangan tersebut bagaimanapun bertukar selepas Alyssa mengambil peluang untuk membunuh Elizabeth. Pengakhiran kes, Alyssa yang menerima rundingan pertuduhan telah dihukum penjara sepanjang hayat dengan peluang pembebasan bersyarat hanya selepas 30 tahun. Filem berjudul My Name Is 'A' by Anonymous (2012) merupakan adaptasi dari kisah Alyssa Bustamante.
IMDb |
Catat Ulasan for "KISAH ALYSSA BUSTAMANTE : Bunuh Demi Keseronokan"