KISAH IRINA GAIDAMACHUK : “Satan in a Skirt”
Irina Gaidamachuk atau nama sebenarnya Irina Viktorovna
Gaidamachuk dilahirkan pada 22 Mei 1972 bertempat di bandar Nyagan,
Khanty-Mansi Autonomous Okrug, Rusia.
Sewaktu Irina masih remaja, dia adalah seorang yang sangat nakal hingga
sering menimbulkan masalah kepada orang tuanya. Malah, Irina juga mengalami
masalah ketagihan alkohol terutamanya minuman Vodka. Apabila dia meningkat
dewasa, Irina telah berpindah ke bandar Krasnoufimsk. Di situ, dia berkenalan
dengan seorang lelaki yang bernama Yuri. Mereka berdua kemudian berkahwin dan
mempunyai dua orang anak hasil daripada perkahwinan itu. Irina dikatakan hidup
bahagia bersama suami serta anak-anaknya. Walau bagaimanapun, ada satu masalah
besar yang dialami oleh Irina di mana tabiat alkoholnya sukar untuk dihentikan.
Rentetan daripada perkara tersebut, Yuri jarang sekali memberikan Irina wang
perbelanjaan kerana isterinya itu lebih rela menghabiskan wang untuk membeli
minuman keras berbanding membuat pembelian barang keperluan rumah.
Pada tahun 2002, Irina memulakan pembunuhan berantainya
dengan menyasarkan wanita warga emas yang berusia 60 tahun ke atas sebagai
mangsa. Modus operandi Irina, dia akan menyamar sebagai pekerja kebajikan
sosial untuk memasuki rumah mangsa. Selepas itu, Irina akan membunuh mangsanya
menerusi cara hentakan pada bahagian kepala dengan menggunakan tukul atau
kapak. Adakalanya Irina akan membakar rumah mangsanya bagi menghilangkan
petunjuk dan bukti pembunuhan. Motif semua pembunuhannya tidak lain tidak bukan
demi mendapatkan wang untuk membeli minuman keras. Sepanjang siri pembunuhan
yang dilakukan Irina dari tahun 2002 hingga 2010, Irina telah membunuh seramai
17 orang wanita.
Hinggalah satu hari iaitu pada tahun 2010, ada seorang wanita bernama Bilbinur Makshaeva yang menjadi mangsa serangan Irina telah berjaya melarikan diri. Selepas pihak polis menerima laporan daripada Bilbinur mengenai perkara tersebut, mereka benar-benar berasa terkejut kerana menyangka pelaku sebelum ini adalah seorang lelaki yang berpakaian wanita. Hasil siasatan oleh pihak polis, mereka telah menahan seorang wanita yang dikenali sebagai Marina Valeeva. Biarpun Marina menafikan dirinya sebagai pembunuh, dia dipaksa pihak polis untuk membuat pengakuan.
Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.
Begitu jugalah nasib Irina apabila dia dapat ditangkap jua oleh pihak polis.
Penangkapan itu dibuat susulan maklumat yang pihak polis terima daripada jiran Alexandra
Povaritsyna yakni mangsa terakhir dibunuh Irina. Berdasarkan keterangan si
jiran tersebut, dia mendakwa telah melihat Irina keluar dari rumah Alexandra
pada hari kejadian pembunuhan. Selepas disoal siasat, Irina akhirnya membuat
pengakuan bahawa dia merupakan pembunuh bersiri yang diburu oleh pihak polis.
Mengenai suami Irina, dia langsung tidak menyangka bahawa isterinya adalah
seorang pembunuh yang kejam. Sepanjang tempoh 14 tahun mereka bersama, Yuri
tidak pernah mencurigai Irina. Lagipun, Irina dikatakan sebagai ibu yang baik
kepada anak-anaknya.
Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes pada tahun 2012, Irina yang didapati waras telah menerima hukuman penjara selama 20 tahun atas 17 dakwaan membunuh dan 1 percubaan membunuh. Keputusan hukuman itu ternyata menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap ramai pihak terutamanya keluarga mangsa. Mereka menuntut Irina sepatutnya meringkuk di dalam penjara untuk seumur hidup.
Catat Ulasan for "KISAH IRINA GAIDAMACHUK : “Satan in a Skirt”"