KISAH JOSE ALVARENGA : Hanyut di Lautan Selama 438 hari
Pada 17 November 2012, dua orang nelayan bernama Jose
Salvador Alvarenga (37 tahun) dan Ezequiel Cordoba (22 tahun) telah berlepas
dari jeti kawasan perkampungan mereka yang terletak di Costa Azul, Mexico untuk
pergi menangkap ikan di laut. Mengikut rancangan asal, mereka berdua dijangka
akan berada di lautan selama 30 jam. Apa yang dapat dipastikan, Jose merupakan
seorang nelayan yang sangat berpengalaman. Pada hari itu juga adalah kali
pertama Jose dan Ezequiel saling berganding bahu untuk turun ke laut. Waktu
sebelumnya, mereka berdua tidak pernah bertegur sapa. Ezequiel sebenarnya telah
dipilih untuk menemani Jose selepas rakan Jose membatalkan niat untuk turun ke
laut pada saat-saat akhir.
Sewaktu Jose dan Ezequiel berada di laut, cuaca tiba-tiba berubah
menjadi buruk dengan dilanda ribut kuat dan hujan lebat selama lima hari
berturut-turut. Bot jenis fiberglass yang dinaiki oleh mereka berdua mula
hampir tenggelam disebabkan muatan berlebihan. Jose dan Ezequiel terpaksa melepaskan
ikan hasil tangkapan bagi memastikan bot yang dinaiki oleh mereka tidak karam
sepenuhnya. Setelah hujan berhenti, mereka berdua yang tersadai di tengah lautan
tanpa sebarang daratan di kawasan sekeliling tidak dapat untuk berbuat apa-apa
memandangkan beberapa peralatan asas penting sepeti radio elektronik bot telah
mengalami kerosakan.
Jose dan Ezequiel menyedari kebarangkalian untuk diselamatkan adalah hanya dengan keajaiban memandangkan lokasi mereka yang telah menyimpang ribuan kilometer dari laluan asal. Jadi, misi pencarian dua nelayan tersebut sudah pasti sukar dan menemui jalan buntu. Cuma ada dua pilihan untuk Jose dan Ezequiel iaitu samada kekal bertahan atau menunggu masa saja untuk mati. Sepanjang tempoh tersadai di lautan itu, Jose dan Ezequiel hanya mengharapkan tadahan air hujan sebagai sumber minuman. Adakalanya, mereka berdua terpaksa meminum darah penyu dan air kencing sendiri. Soal makanan pula Jose telah menangkap ikan, penyu, obor-obor dan burung dengan menggunakan tangan.
Empat bulan kemudian, Ezequiel semakin lemah daripada segi
fizikal dan mental. Badannya sudah tidak dapat lagi untuk mencerna makanan
mentah yang sedia ada. Dia mula jatuh sakit sebelum akhirnya meninggal dunia
akibat kelaparan. Sementara itu, Jose yang mula hilang kewarasan berniat membunuh
diri. Bahkan dia turut membiarkan mayat Ezequiel berada di sisinya selama enam
hari untuk dicarikan sebagai teman berborak sebelum dibuang ke dalam laut. Jose
menghabiskan masa dalam bot dengan mengira kitaran bulan, menyanyi dan duduk
termenung.
Hari ke-438 di lautan, keajaiban benar-benar berlaku apabila Jose telah ternampak sebuah kawasan daratan. Tanpa berlengah, dia menghampiri ke kawasan berkenaan yakni bertempat di penjuru terpencil Kepulauan Marshall. Di situ, Jose telah pergi ke sebuah rumah yang dihuni oleh pasangan suami isteri bagi meminta pertolongan. Berita penemuan semula Jose ternyata mengejutkan ramai pihak memandangkan statusnya yang dianggap sebagai sudah mati. Jose telah dibawa untuk pergi berjumpa dengan anggota keluarganya di mana sebelum itu mereka tidak pernah saling berhubung antara satu sama lain selama lapan tahun.
Hingga pada hari ini, masih ada sesetengah pihak yang masih ragu-ragu dengan kisah pengembaraan Jose. Paling ketara sekali adalah berat badannya yang tidak mengalami penurunan secara mendadak. Dalam erti kata lain, Jose berkemungkinan besar adalah seorang penipu. Walau bagaimanapun, ada doktor berpihak kepada Jose dengan hujah Jose memperolehi bekalan vitamin C tinggi hasil daripada daging burung dan penyu yang dimakannya. Tahun 2015, sebuah buku mengenai pengalaman kisah benar Jose yang berjudul 438 Days: An Extraordinary True Story of Survival at Sea telah diterbitkan. Tidak lama selepas penerbitan buku tersebut, keluarga Ezequiel bertindak untuk menyaman Jose yang dipercayai memakan mayat Ezequiel untuk meneruskan hidup. Samada benar atau sebaliknya tuduhan itu, hanya Jose saja yang tahu. Lagipun, dia lulus dalam ujian poligraf yang dijalankan oleh pihak berkuasa kepadanya.
Catat Ulasan for "KISAH JOSE ALVARENGA : Hanyut di Lautan Selama 438 hari"