KISAH PEMBUNUHAN KEJAM KELUARGA GONZALES : Dendam Seorang Anak
Pada tahun 1977, seorang lelaki bernama Teddy Gonzales yang
juga merupakan seorang peguam telah mengahwini teman wanitanya iaitu Loiva.
Pasangan itu mempunyai dua orang anak yakni seorang lelaki dan seorang
perempuan. Sef dilahirkan pada tahun 1980 disusuli dengan kelahiran Clodine
pada tiga tahun berikutnya. Tahun 1990, bandar Baguio di Filipina telah dilanda
gempa bumi yang begitu kuat hingga meranapkan rumah dan hotel milik keluarga
Gonzales. Seperkara yang perlu diketahui, hotel yang mempunyai 40 buah bilik
itu baru saja siap dibina. Sef yang turut terperangkap dalam runtuhan bangunan
hotel tersebut. Mujurlah dia berjaya diselamatkan oleh Teddy. Selepas peristiwa
gempa bumi itu, keluarga Gonzalez akhirnya membuat keputusan untuk berhijrah ke
Sydney, Australia.
Di Australia, Teddy berjaya dalam kariernya sebagai seorang
peguam hingga mampu untuk membuka syarikat firma guaman sendiri. Teddy juga
telah dapat membeli sebuah rumah yang besar serta selesa untuk didiami
keluarganya. Dalam erti kata lain, keluarga Gonzales adalah keluarga yang
berada. Walaupun Sef dan Clodine hidup dalam keadaan serba mewah, ibu bapa
mereka adalah sejenis pasangan yang mengamalkan konsep “Tiger Parenting”.
Halatuju hidup dua adik beradik itu ditentukan Teddy dan Loiva. Sef dan Clodine
diberikan harapan yang begitu tinggi bagi menuruti jejak langkah ibu bapa
mereka untuk menjadi peguam dan ahli perubatan yang berjaya.
Sef Gonzales |
Tamat sekolah menengah, Sef telah melanjutkan pelajaran di Universiti New of South Wales dalam bidang Sains selepas keputusan ujian akademik sekolah menengahnya tidak melepasi syarat untuk memasuki bidang undang-undang dan perubatan. Sef yang langsung tidak berminat untuk belajar sebenarnya mempunyai minat yang sangat mendalam terhadap bidang muzik serta nyanyian. Disebabkan itu, prestasi Sef dalam ujian semester universiti adalah begitu teruk sekali hingga dia terpaksa beberapa kali untuk memalsukan keputusan slip ujian kerana enggan ibu bapanya berasa kecewa. Teddy dan Loiva bagaimanapun mendapat tahu tentang penipuan tersebut melalui Clodine yang berasa marah selepas teman lelakinya bertindak memutuskan perhubungan mereka yang sebelum itu terjalin secara rahsia. Hubungan tersebut berakhir gara-gara berpunca daripada tindakan Sef yang memberitahu teman lelaki Clodine tentang dia kononnya seorang geng samseng. Pada masa sama, hubungan Sef bersama teman wanitanya turut tidak direstui oleh Teddy dan Loiva. Rentetan daripada semua perkara itu, Teddy dan Loiva membuat ugutan untuk menarik balik semua kemudahan yang mereka telah berikan kepada Sef. Ini termasuklah menarik balik kereta Ford Festiva yang sering dinaiki oleh Sef.
Pada 10 Julai 2001 iaitu lebih kurang pukul 8 malam, Sef
keluar dari rumah untuk pergi berhibur bersama dengan rakan-rakannya. Mereka
telah makan di restoran Planet Hollywood dan kemudian menghabiskan masa di
pusat arked permainan video. Selesai berhibur, Sef yang kembali pulang ke
rumahnya dikejutkan dengan penemuan ngeri mayat Teddy, Loiva dan Clodine. Mayat
tiga beranak tersebut penuh dengan lumuran darah. Tanpa berlengah, Sef terus
menghubungi pihak talian kecemasan dalam keadaannya menangis teresak-esak bagi
memaklumkan mengenai kejadian itu. Tidak lama selepas panggilan tersebut dibuat,
Sef ada ternampak dua orang penceroboh tidak dikenali sedang berada di rumahnya
yang kemudian dapat melarikan diri.
Berdasarkan pemeriksaan dan siasatan oleh pihak polis di lokasi kejadian mendapati terdapat tulisan “F**k off Asians” yang ditulis menggunakan alat penyembur. Jadi, pada mulanya pihak polis beranggapan bahawa kejadian pembunuhan itu adalah jenayah yang berbaur perkauman. Clodine yang diyakini sebagai mangsa pertama pembunuhan telah dipukul pada bahagian kepala sebanyak enam pukulan dengan kayu pemukul besbol. Dia yang dibunuh di dalam bilik tidurnya turut dicekik dan ditikam secara bertubi-tubi menggunakan pisau. Mangsa kedua iaitu Loiva pula dibunuh sebaik saja dia pulang ke rumah dengan menerima beberapa kesan kelaran serta tikaman pada bahagian muka, leher, dada dan perut. Sementara itu, Teddy sebagai mangsa terakhir mati akibat ditikam pada bahagian yang sama seperti isterinya. Apa yang membezakan, kesan kecederaan pada Teddy menunjukkan bahawa dia cuba untuk mempertahankan diri sewaktu serangan berlaku.
Beberapa hari selepas kejadian, Sef telah merayu secara umum
dengan menawarkan $100 000 sebagai wang ganjaran kepada pelaku untuk menyerah
diri. Selain itu, Sef juga ada pergi berjumpa dengan peguam untuk berbincang
mengenai harta keluarganya yang dianggarkan bernilai sebanyak $1.5 juta. Dia yang
dilihat tenang seperti tiada apa-apa yang berlaku telah berpindah ke sebuah apartment
mewah dan melakukan pembayaran wang muka berjumlah $173,000 sebagai tempahan
kereta Lexus. Bahkan Sef cuba untuk menjual kereta milik Teddy dan Loiva tanpa mendapat
mendapat keizinan daripada pihak keluarganya yang berada di Filipina. Detik
paling mengejutkan adalah pada hari pengkebumian keluarga Gonzales di mana Sef
menyanyikan lagu dendangan Mariah Carey bersama kumpulan Boyz II Men yang
berjudul One Sweet Day. Lagu itu dinyanyikan Sef tanpa sebarang iringan muzik.
Pihak polis mula mengesyaki Sef sebagai suspek utama kejadian selepas mendapati beberapa keterangannya sebelum ini dilihat agak meragukan dan sering tidak konsisten. Tambahan pula, ibu saudara Sef ada ternampak kereta Ford Festiva milik Sef yang diparkir di lokasi kejadian. Dakwaan ibu saudara Sef tersebut sekaligus menyingkirkan alibi Sef yang mendakwa berada di tempat lain sewaktu kejadian berlaku. Motif kejadian jelas bukan sekali bermotifkan rompakan kerana tiada sebarang tanda pecah masuk mahupun kehilangan barangan berharga di rumah keluarga Gonzales. Tiada juga kewujudan musuh Teddy seperti yang diperkatakan Sef. Bukti lain, pihak polis berjaya menemui bukti menunjukkan Sef ada melakukan pencarian di internet tentang tumbuhan beracun yang disyaki untuk digunakan bagi membunuh keluarganya. Sebelum kejadian pembunuhan, Loiva pernah mengalami keracunan makanan tetapi kembali pulih selepas mendapatkan rawatan di hospital.
Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes pada tahun 2004, Sef yang didapati bersalah atas tiga kesalahan membunuh telah diberikan tiga hukuman penjara seumur hidup tanpa sebarang peluang pembebasan bersyarat. Hingga pada hari ini, Sef masih lagi kekal dengan pendiriannya sebagai bukan pembunuh sebenar.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM KELUARGA GONZALES : Dendam Seorang Anak"