KISAH PEMBUNUHAN TATIANE SPITZNER : Duka di Sebalik Gambar
Jika diperhatikan foto di atas, pasangan suami isteri ini lelaki ini kelihatan seperti pasangan yang sangat bahagia. Kedua-dua mereka mempunyai kerjaya yang bagus dengan si lelaki bernama Luis Felipe Manvailer merupakan seorang pensyarah di sebuah universiti dalam bidang kimia manakala si wanita iaitu Tatiane Spitzner pula adalah seorang peguam. Mereka berdua telah berkahwin sejak dari tahun 2013. Harus diketahui, Luis mempunyai kepakaran dalam bidang seni mempertahankan diri jujitsu.
Di sebalik kegembiraan Tatiane di dalam gambar, ada kedukaan di sebaliknya. Tatiane tidak pernah hidup bahagia pun bersama Luis kerana dia merupakan mangsa penderaan rumah tangga selama bertahun-tahun. Rakan-rakan Tatiane sering ternampak kesan lebam pada tubuh badan Tatiane. Apabila ditanya mengenai perkara itu, Tatiane kerap memberikan alasan kesan lebam tersebut berpunca daripada kemalangan dan adakalanya dia akan segera untuk mengalih topik perbualan. Selain itu, Luis yang juga seorang pengongkong sering mengambil wang gaji bulanan milik Tatiane untuk kegunaannya sendiri.
Kisah sebenar bermula pada malam 22 Julai 2018, berlakunya satu pergaduhan antara Luis dan Tatiane di dalam kereta. Pergaduhan tersebut dikatakan berpunca daripada gambar wanita lain yang ada dalam telefon Luis. Apa yang berlaku kemudian, Tatiane diheret keluar dari kereta sebelum dia dikejar oleh Luis hingga ke dalam lif bangunan apartmen. Dalam lif pula, Luis memegang badan Tatiane dengan cara yang sangat kasar. Tatiane yang bergelut untuk melarikan diri sebenarnya ada menjerit bagi meminta pertolongan. Namun agak menyedihkan kerana tiada seorang pun penduduk di blok apartment itu yang muncul untuk menolong Tatiane. Tidak lama selepas adegan dalam lif, rakaman seterusnya menunjukkan Tatiane terjatuh dari balkoni apartment mereka yang terletak di tingkat empat bangunan. Luis kemudian keluar mengambil Tatiane yang sudah lagi tidak bernyawa untuk dibawa masuk semula ke dalam lif. Luis juga dilihat telah membersihkan titisan darah yang ada dalam lif berkenaan. Seperkara lagi iaitu sebelum insiden Tatiane terjatuh, Luis dan Tatiane telah berada dalam apartment selama 15 minit.
Luis bagaimanapun telah berjaya ditangkap oleh pihak polis di sebuah lokasi yang terletak 300 kilometer dari lokasi kejadian. Penangkapan itu dibuat susulan kemalangan yang dialami oleh Luis. Mengikut pengakuan awal dibuat Luis, dia bertindak untuk melarikan diri kerana berasa terganggu dengan bayangan lompatan Tatiane dari balkoni apartment. Dalam erti kata lain mengikut naratif Luis, Tatiane membunuh diri. Luis turut membuat dakwaan tidak mengingati sebarang butiran mengenai insiden pergaduhan mereka yang terakam di kamera litar tertutup apartment. Namun selepas bedah siasat dijalankan, laporan forensik mendapati punca kematian Tatiane adalah disebabkan cekikan pada bahagian leher. Jadi, Luis dipercayai telah mencekik Tatiane sehingga mati sebelum melemparkan mayat isterinya itu dari ruang balkoni. Beberapa bulan sebelum kejadian, Tatiane ada memberitahu rakannya untuk memfailkan penceraian kerana dia begitu takutkan Luis.
Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes pada bulan Mei 2021 yang sebelum ini beberapa kali tertangguh berikutan pandemik Covid19, Luis yang didapati bersalah atas pembunuhan Tatiane telah dijatuhkan hukuman penjara selama 31 tahun.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN TATIANE SPITZNER : Duka di Sebalik Gambar"