Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH SARAH GARONE : Bungkusan Depan Pintu

Sarah Gerone bersama ibu dan bapa tirinya.

    Sarah Garone tinggal bersama dengan keluarganya di Chandler, Arizona. Ibu bapa Sarah bercerai sewaktu Sarah baru berusia 6 tahun. Tiga tahun selepas penceraian tersebut, ibu Sarah telah berkahwin lain dengan mengahwini seorang lelaki yang bernama Gary Hardy. Sarah ternyata gembira dengan kehadiran bapa tirinya itu yang digambarkan sebagai seorang bapa yang alim, baik, rajin dan penyayang. Sarah begitu disayangi oleh Gary seperti menatang minyak yang penuh.

    Kisah sebenar bermula pada tahun 1996 di mana Sarah yang baru berusia 13 tahun waktu tersebut telah menerima sebuah sampul surat yang berisi foto lucah. Sarah yang berasa sangat ketakutan terus mengadu perkara itu kepada Gary. Selepas menenangkan Sarah, Gary yang tidak melengahkan masa terus pergi membuat laporan polis. Walau bagaimanapun, pihak polis menganggap kes tersebut sebagai kes remeh. Setahun berikutnya, Sarah menerima pula e-mel gangguan berunsur lucah. Pengirim e-mel terbabit mengirim teks mesej tentang betapa dia benar-benar menginginkan Sarah.


    Selepas tamat sekolah menengah, Sarah telah menyambung pelajarannya di universiti. Hinggalah satu ketika, e-mel lucah yang pernah membayanginya sebelum ini muncul semula. Malah, akaun e-mel milik Sarah yang turut digodam telah didaftar untuk langganan katalog pakaian dalam. Selain itu, rakan-rakan Sarah ada menerima e-mel mesra yang pernah dihantar oleh Sarah kepada tunangnya iaitu Anthony. Sarah yang pada akhirnya berkahwin telah keluar dari rumahnya untuk tinggal bersama dengan Anthony. Di rumah Anthony, Sarah mengalami peristiwa aneh secara berterusan dengan dia kerap kehilangan diari dan seluar dalam miliknya.

    Satu hari pada tahun 2005, Sarah telah menerima satu bungkusan yang tidak diketahui identiti sebenar pengirimnya. Sebaik bungkusan tersebut dibuka, alangkah terkejutnya Sarah apabila mendapati terdapat patung mainan seks di dalam bungkusan berkenaan. Bahkan, pintu depan rumahnya juga didapati dalam keadaan tidak berkunci. Disebabkan berasa risau dengan soal keselamatannya, Sarah terus menghubungi Anthony. Namun suaminya itu tidak dapat datang dengan kadar segera kerana sedang bermesyuarat waktu tersebut. Rentetan daripada perkara tersebut, Sarah terpaksa menghubungi Gary bagi meminta pertolongan. Maka Gary pun terus datang ke rumah Sarah sebelum membuat laporan polis.

Gary Hardy

    Tidak lama selepas insiden bungkusan patung mainan seks itu, Sarah telah menerima satu panggilan telefon daripada pihak polis. Sarah mendapat satu makluman yang benar-benar memeranjatkannya. Tanpa diduga, individu yang telah mengganggu Sarah selama bertahun-tahun adalah Gary Hardy. Ya, bapa tiri Sarah. Dialah pengirim bungkusan berisi patung mainan seks, dialah pengirim e-mel lucah dan dialah pencuri diari diari serta seluar dalam Sarah. Perkara ini terbongkar hasil maklumat daripada setiausaha kerja Gary sendiri. Dia terus menghubungi pihak polis selepas mendapati patung mainan seks yang diterima oleh Sarah adalah sama seperti patung mainan seks yang pernah dilihatnya di pejabat Gary. Susulan penangkapan tersebut, Gary yang menerima pelbagai jenis pertuduhan telah menerima hukuman penjara selama 20 tahun penjara.

    Setelah penangkapan Gary, barulah Sarah tersedar mengenai segala tabiat Gary selama ini yang sudah dianggap seperti bapa kandung. Gary mempunyai obses berlebihan terhadap Sarah gemar dengan melakukan pelukan terhadap anak tirinya itu. Gary yang juga dikenalpasti sebagai penggodam e-mel Sarah dikatakan pernah berasa gelisah selepas diberitahu tentang perkahwinan Sarah. Walaupun sudah dipenjarakan, Gary didakwa masih cuba menghubungi Sarah untuk memohon maaf atas segala perbuatan jijiknya.

    Sarah kini hidup bahagia bersama suami dan tiga orang anaknya. Buat masa sekarang, Sarah yang mempunyai sebuah blog masakan iaitu A Love Letter To Food enggan untuk memaafkan Gary sampai bila-bila. 

Catat Ulasan for "KISAH SARAH GARONE : Bungkusan Depan Pintu"