KISAH TREY SESLER : Youtuber yang Bertukar Menjadi Pembunuh
Trey Sesler atau nama sebenarnya Trey Eric Sesler yang
dilahirkan pada 3 Ogos tahun 1989 berasal dari Waller, Texas, Amerika Syarikat.
Dia merupakan salah seorang individu terawal mengulas mengenai rancangan Anime
dan permainan video di laman Youtube miliknya yang dinamakan sebagai LensCapProductions.
Adakalanya, Trey membuat filem pendek yang berunsurkan komedi. Walaupun
pengikut laman Youtube Trey tidaklah seramai mana, namun jumlah tontonan untuk
semua video yang dimuatnaiknya mencecah sekitar satu juta tontonan. Secara
keseluruhannya, Trey yang lebih dikenali sebagai Mr Anime telah memuat naik
sebanyak 323 buah klip video dalam tempoh lima tahun.
Sewaktu awal kemunculan Trey di laman Youtube, dia pada awalnya digambarkan sebagai seorang periang yang suka membuat gimik dan jujur dalam menyuarakan pendapatnya. Namun lama-kelamaan, perangai Trey kian berubah apabila dia mula kerap memuatnaik video yang menunjukkan dirinya melakukan latihan menembak dengan menggunakan senjata api asli. Selain itu, Trey yang gemar untuk membunuh binatang serta menyalakan api kebakaran demi keseronokan telah menunjukkan ciri-ciri seorang psiko apabila dia mulai obses dengan pembunuh bersiri. Menerusi sebuah klip video terakhir Trey yang berjudul "Mr Anime Is Planning Something", dia memberitahu akan berehat seketika daripada Youtube kerana mendapat tawaran pekerjaan dalam bidang industri perfileman. Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan samada dakwaan Trey tersebut adalah benar atau sebaliknya.
Hinggalah pada pagi 20 Mac 2012, Trey mengumpan ibunya iaitu
Rhonda Wyse Sesler (57 tahun) untuk masuk ke dalam garaj kawasan rumah mereka.
Di situ, Rhonda telah mati akibat ditembak oleh Trey sebanyak empat kali dengan
senapang. Selepas itu, Trey melepaskan tembakan pula terhadap abangnya, Mark
Alan Sesler (26 tahun). Mark yang berjaya mengelak tembakan itu bergegas untuk
menyembunyikan diri di dalam bilik air. Pintu bilik air tersebut bagaimanapun
dapat Trey pecahkan sebelum dia menembak kepala Mark. Harus diketahui, Mark
merupakan orang paling rapat dengan Trey di mana dia sering membuat penampilan
di dalam video Youtube adiknya itu. Turut menjadi mangsa Trey adalah bapanya
sendiri yang bernama Lawton Ray Sesler Jr, (58 tahun). Lawton mati ditembak
Trey ketika sedang tidur.
Selepas membunuh keluarganya, Trey telah menconteng dinding rumah dengan contengan bertulis "I love my family" dan "I will never forgive myself, I don't know why I did this." Dia kemudian keluar dari rumah dengan membawa senjata api berserta 100 buah peluru lalu singgah sebentar di sekolah menengah Waller. Trey mempunyai niat untuk melakukan tembakan secara rambang di bekas tempat persekolahannya itu hasil inspirasi daripada insiden tembakan kejam Columbine yang berlaku pada tahun 1999. Namun mujur sajalah pihak polis bertindak pantas untuk menangkap Trey yang sedang berada di rumah kawannya sekaligus berjaya menghalang kejadian tidak diingini daripada berlaku. Penangkapan tersebut dibuat oleh pihak polis susulan maklumat yang mereka terima daripada orang awam mengenai bunyi tembakan dari arah rumah Trey. Sejurus selepas penemuan mayat Lawton, Rhonda dan Mark di lokasi kejadian, maka pihak polis yang tidak melengahkan masa segera melakukan operasi pemburuan Trey.
Berdasarkan siasatan yang dilakukan oleh pihak polis, Trey dipercayai berniat untuk membunuh sekurang-kurangnya 70 orang mangsa di sekolah menengah Waller. Tidak dapat dipastikan mengenai motif sebenar rancangan pembunuhan kejam itu. Cumanya, Trey ada memberitahu bahawa dia terpaksa untuk membunuh keluarganya kerana enggan mereka berasa malu dengan apa yang bakal dilakukannya. Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes, Trey telah menerima hukuman penjara untuk seumur hidup. Ada ura-ura yang mengatakan Trey sudah mati dalam penjara tetapi masih tiada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa bagi mengesahkan perkara ini. Pada bulan September 2020, pihak Youtube telah memadam sepenuhnya siaran Youtube Trey.
Catat Ulasan for "KISAH TREY SESLER : Youtuber yang Bertukar Menjadi Pembunuh"