KISAH PEMBUNUHAN KEJAM MOHAMMED ABU KHDEIR
Mohammed Abu Khdeir |
Tahun 2014, Mohammed Abu Khdeir adalah seorang remaja lelaki
dari negara Palestin yang berusia 16 tahun. Dia yang merupakan anak kelima
daripada tujuh orang adik-beradik digambarkan sebagai seorang anak yang baik,
rajin dan begitu disenangi oleh rakan-rakan di sekelilingnya. Selain itu, Abu
Khdeir juga belajar di sebuah sekolah vokasional demi mencapai impiannya untuk
menjadi seorang juruelektrik yang berjaya. Adakalanya, Abu Khdeir akan
menghabiskan masa dengan membantu bapanya untuk melakukan kerja-kerja
pendawaian dan pemasangan elektrik.
Pada awal pagi 2 Julai 2014, Abu Khdeir telah diculik
sewaktu dia sedang dalam perjalanan menuju ke masjid. Dia dimasukkan secara
paksa ke dalam sebuah kereta oleh beberapa orang lelaki yang tidak dikenali.
Saksi-saksi yang melihat kejadian penculikan tersebut tidak sempat untuk
mengejar kereta penculik itu yang dipandu dengan begitu laju. Beberapa jam
selepas kejadian penculikan, mayat Abu Khdeir telah ditemui di sebuah hutan Jerusalem
dengan keadaan yang benar-benar menyayat hati. Mayatnya melecur satu badan.
Hasil bedah siasat forensik pula mendapati Abu Khdeir diikat dengan tali
sebelum dibelasah lalu dibakar secara hidup-hidup.
Pembunuhan kejam Abu Khdeir itu dipercayai berunsurkan
dendam. Beberapa minggu sebelum kejadian penculikan Abu Khdeir, tiga orang
remaja Israel yang bernama Eyal Yifrach (19 tahun), Gilad Shaar (16 tahun) dan
Naftali Fraenkel (16 tahun) telah diculik sewaktu mereka dalam perjalanan
pulang ke rumah masing-masing. Mayat mereka bertiga kemudian ditemui di sebuah
kawasan padang dengan punca kematian ketiga-tiganya adalah akibat tembakan. Perdana
Menteri Israel iaitu Benjamin Netanyahu telah menyalahkan Hamas sebagai dalang
utama kejadian pembunuhan tersebut. Tuduhan tanpa bukti ini bagaimanapun mendapat
tentangan daripada Mahmoud Abas. Seperkara yang perlu diketahui, kejadian
penculikan Abu Khdeir ini telah berlaku pada sehari selepas majlis pengkebumian
tiga remaja Israel terbabit.
Ibu bapa Abu Khdeir |
Mengenai siasatan kes, pihak berkuasa Israel dilihat berlaku tidak adil dengan melengah-lengahkan siasatan hanya kerana Abu Khdeir berdarah Palestin. Pihak media Israel pula sengaja mengapi-apikan keadaan dengan memainkan sentimen perkauman. Namun selepas siasatan secara berterusan dilakukan, tiga orang lelaki Israel telah ditahan atas pertuduhan membunuh Abu Khdeir. Suspek pertama dikenali sebagai Yosef Ben-David. Suspek kedua dan ketiga pula adalah anak saudara Yosef yang tidak dinamakan atas status sebagai mereka yang masih di bawah umur. Sebenarnya pada malam sebelum pembunuhan Abu Khdeir, Yosef telah melakukan percubaan untuk menculik seorang budak lelaki berusia lapan tahun. Penculikan tersebut bagaimanapun gagal selepas budak lelaki berkenaan bersama ibunya berjaya untuk melawan Yosef.
Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes, Yosef menerima hukuman penjara seumur hidup dengan tambahan 20 tahun dan diarahkan untuk membayar wang pampasan kepada keluarga Abu Khdeir. Begitu juga dengan nasib suspek kedua yang turut dipenjarakan seumur hidup manakala suspek ketiga dihukum penjara 21 tahun.
Artikel diakhiri dengan video jenazah Abu Khdeir diusung oleh ribuan rakyat Palestin.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM MOHAMMED ABU KHDEIR"