PEMBUNUH BERSIRI MEXICO DITAHAN, BUNUH 30 ORANG WANITA
Andres Filomeno (Kredit : Newsflash) |
MEXICO - Seorang lelaki berusia 72 tahun ditahan oleh pihak polis selepas dia disyaki sebagai pembunuh bersiri yang telah melakukan pembunuhan berantai dengan menjadikan seramai 30 orang wanita sebagai mangsanya sejak dari 20 tahun lepas.
Berdasarkan laporan media, pihak polis pada asalnya pergi ke rumah lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Andres Filomeno bagi membuat siasatan mengenai kehilangan seorang wanita. Setibanya di rumah Andres, pihak polis telah menemui mayat seorang wanita yang sedang terbaring di atas meja. Mayat wanita tersebut dikenalpasti sebagai Reyna N yakni wanita yang dilaporkan hilang pada 14 Mei lalu.
Selepas disoal siasat, Andres membuat pengakuan tentang pembunuhan terhadap 30 orang wanita yang dilakukannya sejak dari 2002 hingga tahun 2018. Bahkan Andres turut mengaku melakukan aksi kanibal dengan memakan daging mayat mangsa yang telah dibunuhnya. Butiran nama mangsa Andres ada dicatat dalam buku notanya.
Kredit : Newsflash |
Hasil pemeriksaan yang dijalankan di ruang bawah tanah rumah Andres, pihak polis telah menemui sekurang-kurangnya lima rangka manusia. Lain-lain penemuan, dokumen pengenalan mangsa dan pisau yang diyakini digunakan oleh Andres untuk melakukan pembunuhan.
Buat masa sekarang, Andres telah berada dalam tahanan penjara Tlalnepantla. Kes masih lagi sedang dalam siasatan sepenuhnya oleh pihak polis.
Catat Ulasan for "PEMBUNUH BERSIRI MEXICO DITAHAN, BUNUH 30 ORANG WANITA"