KISAH PEMBUNUHAN KEJAM BIANCA DEVINS
Bianca Devins |
Pada tahun 2019, media sosial digemparkan dengan berita kematian
tragis seorang gadis remaja cantik berusia 17 tahun bernama Bianca Devins yang mati
akibat dikelar pada bahagian leher oleh rakan lelakinya sendiri iaitu Brandon
Clark, 21 tahun. Setelah dibunuh, gambar mayat Bianca yang mengerikan dengan keadaan
kepalanya hampir terputus telah tersebar luas di internet. Brandon pula cuba
untuk membunuh diri selepas pembunuhan tersebut.
Bianca Devins dilahirkan pada bulan Oktober tahun 2001. Dia
dilaporkan ada mengalami penyakit kemurungan, kegelisahan dan kecelaruan
personaliti hingga menyebabkannya bermasalah daripada segi hubungan sosial. Harus
diketahui, Bianca adalah seorang peminat fesyen emo serta penggemar warna merah
jambu. Selain itu, dia mempunyai minat yang mendalam terhadap Anime, komik Manga
dan permainan Minecraft. Bianca juga sering menghabiskan masanya untuk bermain
Instagram, Discord dan 4chan.
Brandon Clark |
Bulan April 2019, Bianca telah mula berkawan dengan Brandon Clark. Perkenalan dua sekawan tersebut bermula dari laman Instagram. Diringkaskan ceritanya, Brandon yang berasal dari New York kemudian telah jatuh hati dengan Bianca. Jatuh hatinya itu sampai ke tahap obses. Brandon bukan saja menyimpan gambar Bianca dengan jumlah yang banyak, bahkan turut menghendap segala aktiviti Bianca di laman media sosial. Dia turut kerap menghantar teks mesej kepada Bianca walaupun adakalanya mesej tersebut langsung tidak berbalas. Bianca pula tidak menaruh sebarang perasaan terhadap Brandon yang dianggapnya tidak lebih daripada sekadar berkawan. Bianca pernah memberitahu ibunya bahawa dia tidak pernah berkeinginan untuk bergelar sebagai teman wanita kepada Brandon.
Pada 13 Julai 2019, Bianca pergi ke bandar New York dengan
ditemani oleh Brandon untuk menyaksikan konsert penyanyi dari Kanada iaitu Nicole
Dollanganger. Sewaktu konsert tersebut berlangsung, Bianca telah berciuman
dengan Alex yakni lelaki yang dikenalinya menerusi Discord. Tanpa Bianca
sedari, aksi kemesraannya bersama Alex itu telah mengundang kemarahan Brandon. Apa
yang berlaku kemudian, Bianca dan Brandon bertengkar di dalam kereta sewaktu
mereka sedang dalam perjalanan pulang ke rumah. Entah apa yang merasuki
Brandon, dia telah membunuh Bianca dengan cara kelaran leher yang mendalam
menggunakan pisau. Kelaran yang menyebabkan kepala Bianca hampir terputus. Selepas
pembunuhan tersebut, Brandon telah mengambil gambar mayat Bianca lalu
disebarkannya di Instagram, Discord dan 4chan. Salah satu kapsyen yang dibuat Brandon
jelas menunjukkan dia adalah seorang misogini. Pihak polis akhirnya mendapat
tahu tentang insiden pembunuhan itu susulan laporan daripada para pengguna
Discord yang telah melihat gambar mayat Bianca. Pada masa sama, Brandon pun
menghubungi pihak talian kecemasan dengan memberitahu,
“Nama aku adalah Brandon, si mangsa pula adalah Bianca
Michelle Devins. Aku tak boleh nak bercakap lama dekat telefon ni sebab aku nak
bunuh diri.”
Setibanya pihak polis di lokasi kejadian, Brandon terus
bertindak menikam lehernya sendiri. Dia telah terbaring di atas kain terpal
dengan mayat Bianca berada bersebelahannya. Dalam keadaan sedemikian, Brandon sempat
lagi merakam video dan berswafoto untuk disebarkannya ke internet. Brandon yang
cedera parah terus dibawa ke hospital di mana dia telah berjaya diselamatkan. Berdasarkan
penemuan bahan bukti penting seperti pisau, tali dan beberapa lagi peralatan lain
yang ditemui di lokasi kejadian menandakan bahawa kematian Bianca adalah satu
pembunuhan terancang. Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes tahun 2021,
Brandon yang didapati bersalah akhirnya diperintahkan untuk menjalani hukuman
penjara selama 25 tahun.
Sebagai tanda memperingati Bianca, keluarganya telah melancarkan satu yayasan biasiswa Bianca Michelle Devins bagi menaja mana-mana pelajar yang mengambil jurusan psikologi. Perkara ini adalah berikutan Bianca yang pernah berhasrat untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang psikologi.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM BIANCA DEVINS "