Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM CIKGU COLLEEN RITZER

Colleen Ritzer

    Pada tahun 2013, Collen Ritzer adalah seorang cikgu wanita berusia 24 tahun yang mengajar dalam bidang matematik di sekolah menengah Danvers. Tahun itu merupakan tahun kedua Collen menabur bakti di sekolah tersebut. Dia digambarkan sebagai seorang cikgu yang sangat komited menjalankan tugas hingga sanggup bekerja lebih masa untuk mengajar anak muridnya yang bermasalah dalam pembelajaran. Impian besar Colleen, dia ingin melihat semua anak muridnya menjadi manusia yang berjaya.

    Namun pada malam 22 Oktober 2013, bapa Colleen pergi membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya itu yang langsung tidak pulang ke rumah selepas tamat sesi persekolahan. Berdasarkan siasatan awal yang dibuat oleh pihak polis, mereka menerima maklumat tentang Colleen yang kali terakhir dilihat memasuki tandas murid perempuan pada waktu petang hari kejadian. Jadi selepas meneliti rakaman kamera litar tertutup di sekolah tersebut, pihak polis mendapati ada seorang murid lelaki berpakaian jaket telah mengekori Colleen hingga masuk ke dalam tandas. Dia dikenalpasti sebagai Philip Chism iaitu anak murid Colleen berusia 14 tahun yang baru saja dua bulan belajar di sekolah berkenaan. Seperkara yang harus diketahui, Philip merupakan salah seorang murid dalam sesi kelas tambahan yang diadakan oleh Colleen sewaktu hari kejadian.

    Mengenai Philip, dia adalah seorang murid pemalu yang dikatakan sering menjadi mangsa buli oleh murid lain. Philip  pada waktu sebelum itu menetap di Clarksville, Tennessee. Namun selepas ibu bapanya bercerai, Philip telah mengikut ibunya untuk menetap di Danvers. Selain itu, Philip lebih gemar untuk menyendiri kerana dia sememangnya tidak mempunyai ramai kawan.

    Penangkapan Philip berjaya dibuat oleh pihak polis pada sekitar jam 12.30 malam hari kejadian iaitu semasa dia sedang jalan bersendirian di jalan raya. Hasil pemeriksaan terhadap Philip, pihak polis telah menemui pisau lipat yang diyakini sebagai senjata pembunuhan. Lain-lain penemuan, Philip ada menyimpan kad kredit serta seluar dalam milik Colleen. Malah sebelum dia ditangkap, Philip sempat untuk menonton wayang dengan menggunakan kad kredit Colleen sebagai kaedah pembayaran tiket.

    Tidak lama selepas tertangkapnya Philip, mayat Colleen telah ditemui di dalam hutan yang berhampiran dengan sekolah Danvers. Sewaktu penemuan mayat Colleen tersebut, dia didapati berada dalam keadaan bertelanjang dari paras pinggang hingga kaki. Pihak polis juga menemui sekeping nota bertulis “Aku benci kamu semua” pada mayat Colleen.

    Menerusi keterangan daripada Philip, dia telah memakai sarung tangan terlebih dahulu sebelum bertindak menyerang Colleen di dalam tandas itu. Colleen bukan saja dicekik, bahkan turut ditikam Philip sebanyak 16 kali dengan pisau pemotong. Tikaman tersebut termasuklah di bahagian perut dan leher Colleen. Sesudah itu, Philip meneruskan aksi kejamnya dengan merogol Colleen. Selesai berbuat sedemikian, Philip pun keluar dari tandas. 10 minit kemudian, Philip kembali semula ke tandas dengan memakai pakaian lain sambil membawa tong sampah. Colleen yang masih hidup tetapi lemah tidak bermaya telah dimasukkan ke dalam tong sampah tersebut lalu dibawa masuk ke dalam hutan. Setibanya di hutan, kemaluan Colleen dirodok Philip pula dengan ranting kayu. Setelah berasa puas, Philip sempat untuk menulis sekeping nota sebelum beredar pergi meninggalkan Collen bersendirian dalam keadaannya yang penuh terseksa. Colleen yang sudah tidak dapat untuk bertahan lagi akhirnya meninggal dunia.

    Tidak jelas mengapa Philip menjadikan Colleen sebagai mangsa pembunuhannya. Namun apa yang dapat dipastikan adalah kematian Colleen diyakini satu pembunuhan terancang dengan fakta Philip membawa masuk beberapa helai pakaian, pisau pemotong dan topeng penutup muka ke dalam kawasan sekolahnya. Pada tahun 2014 iaitu semasa menunggu proses perbicaraannya, Philip telak diletakkan di sebuah tempat khas remaja yang bermasalah. Di situ, Philip menimbulkan masalah dengan menyerang seorang kakitangan wanita yang berusia 29 tahun. Sama seperti apa yang dilakukan Philip terhadap Colleen, wanita tersebut telah dicekik, dibelasah dan ditikam dengan pensil. Mujur sajalah wanita itu sempat untuk diselamatkan selepas beberapa kakitangan lain terdengar jeritannya yang meminta bantuan.

Philip Chism

    Berhubung dengan perbicaraan kes Colleen, Philip membuat pengakuan tidak bersalah dengan alasan tidak waras. Walau bagaimanapun, pihak mahkamah memutuskan Philip yang dibicarakan sebagai orang dewasa wajar untuk menerima hukuman setimpal. Jadi Philip yang didapati bersalah melakukan pembunuhan peringkat pertama telah dijatuhkan hukuman penjara selama 25 tahun. Dia juga dikenakan dua hukuman penjara serentak 40 tahun atas kesalahan merogol dan merompak. Philip hanya dibenarkan untuk membuat rayuan pembebasan bersyarat pada usianya 57 tahun kelak.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM CIKGU COLLEEN RITZER "