Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM DI PULAU JEJU : Isteri Psiko

Koh Yu-Jeong

    Pada tahun 2019, Koh Yu-Jeong merupakan seorang wanita berusia 36 tahun yang berasal dari Pulau Jeju, Korea Selatan. Keluarga Koh juga adalah keluarga kaya yang menjalankan perusahaan kereta sewa di pulau yang sering menjadi tumpuan pelancong dari serata dunia itu. Koh pernah berkahwin dengan seorang lelaki yang dikenali sebagai Kang. Mereka berdua yang berkenalan sejak dari zaman universiti lagi telah melangsungkan majlis perkahwinan pada bulan Jun tahun 2013. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak lelaki.

    Kebahagiaan rumah tangga Koh dan Kang tidak berkekalan lama apabila pasangan itu bercerai pada penghujung tahun 2016. Penceraian tersebut dikatakan berpunca daripada perangai Koh yang telah berubah dengan drastik di mana dia sering mendera Kang secara mental dan fizikal. Hak penjagaan anak mereka diberikan kepada Koh memandangkan Kang pada waktu itu masih lagi berstatus sebagai seorang pelajar kedoktoran. Dalam erti kata lain, Kang tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh bagi menyara anaknya. Walau bagaimanapun, Kang tetap menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa yang baik dengan mengirim wang nafkah anaknya pada setiap bulan. Mengenai Koh, dia telah berkahwin semula dengan mengahwini seorang lelaki bernama Hong pada tahun 2017.

Pulau Jeju (Wikimedia Commons)

    Walaupun Kang diberikan hak untuk melawat anaknya yang dijaga oleh bekas keluarga mentuanya, dia tidak pernah mempunyai peluang berbuat sedemikian selama tiga tahun selepas penceraian kerana bekas isterinya itu sering memberikan pelbagai alasan untuk berjumpa. Kang yang semakin terdesak untuk berjumpa dengan anaknya telah membuat rayuan kepada pihak mahkamah bagi menyelesaikan masalah tersebut. Nasib menyebelahi Kang apabila rayuannya itu diluluskan oleh pihak mahkamah. Rentetan daripada perkara tersebut, Koh terpaksa akur jua untuk membenarkan Kang berjumpa dengan anak mereka.

    Tepat pada 25 Mei 2019, Kang memandu kereta dengan penuh keriangan menuju ke Pulau Jeju untuk bertemu dengan anak tunggal kesayangannya yang bertempat di sebuah rumah peranginan. Pada dua hari berikutnya, adik lelaki Kang telah pergi membuat laporan polis mengenai kehilangan abangnya yang gagal untuk dihubungi sejak dari malam 25 Mei. Bertindak atas laporan itu, pihak polis pun pergi memeriksa di kawasan rumah peranginan tersebut. Pemeriksaan hanya dibuat di kawasan luar rumah peranginan kerana pihak polis ketika itu tidak mempunyai sebarang waran penggeledahan.

    Koh selaku individu terawal yang disoal siasat memberitahu bahawa dia dan Jiang ada bertemu pada 25 Mei. Mereka berdua telah keluar bersama untuk membeli barangan di sebuah pasar raya. Namun apa yang berlaku kemudian iaitu sekembalinya bekas pasangan suami isteri tersebut ke rumah peranginan, Kang terus menyerang Koh secara seksual. Koh bagaimanapun telah dapat mengelakkan perkara itu daripada berlaku sebelum Kang bertindak untuk melarikan diri.

    Pihak polis berjaya mendapatkan waran penggeledahan pada 31 Mei. Saat ini, pihak polis sebenarnya sudah pun mula mencurigai Koh susulan keterangan yang diberikan oleh bekas isteri Kang itu pada waktu sebelumnya dilihat sangat tidak konsisten. Hasil pemeriksaan yang dilakukan di dalam rumah peranginan tersebut, pasukan forensik telah menemui kesan darah di bahagian ruang tamu, bilik tidur dan dapur. Berdasarkan ujian analisis DNA mendapati kesan darah itu adalah milik Kang. Jadi, Kang berkemungkinan besar telah mati dibunuh. Maka Koh pun ditahan bagi membantu siasatan. Sewaktu penangkapannya itu, Koh berada dalam keadaan yang begitu tenang. Berdasarkan siasatan secara terperinci yang dilakukan oleh pihak polis termasuklah melalui pemerhatian rakaman kamera litar tertutup, Koh didapati telah mendapatkan bekalan pil tidur Zolpidem dari hospital yang terletak di Cheong Su. Selain itu, Koh juga ada membeli pisau, gergaji, sarung tangan getah, bahan pencuci dan peluntur di sebuah pasar raya.

    Berbalik pada hari kejadian yakni pada 25 Mei, Kang telah tertidur selepas menjamu makanan serta minuman hidangan Koh yang mengandungi pil tidur. Tidak lama kemudian, Koh pun menikam bekas suaminya itu menggunakan pisau. Lagi mengerikan apabila Koh dilaporkan telah mengerat mayat Kang kepada 30 bahagian dengan gergaji pada sehari selepas kejadian pembunuhan. Bahkan Koh sempat untuk memasak serpihan daging mayat Kang bagi menghilangkan bau busuk mayat. Selesai berbuat sedemikian, Koh pun memasukkan sisa-sisa mayat Kang ke dalam plastik sampah lalu dibuangnya ke tapak pelupusan sampah yang berdekatan dengan rumah peranginan tersebut dan juga di lautan. Menyedihkan, mayat Kang tidak berjaya untuk ditemui sepenuhnya.

    Tentang perbicaraan kes, Koh mendakwa insiden pembunuhan Kang berlaku secara tidak sengaja. Dia hanya cuba untuk mempertahankan diri daripada menjadi mangsa rogol Kang. Pada bulan November 2020, Koh yang akhirnya didapati bersalah membunuh Kang telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh pihak makhkamah. Dia bagaimanapun dibebaskan daripada pertuduhan membunuh anak tiri lelakinya berusia 4 tahun yang mati akibat tercekik pada dua bulan sebelum kematian Kang. Perkara ini berikutan pihak pendakwaan kekurangan bukti untuk mendakwa Koh. Seperkara harus diketahui, Koh digambarkan oleh saudara-mara serta rakannya sebagai seorang wanita yang baik dan bersopan-santun. Mereka tidak mempercayai bahawa Koh adalah seorang pembunuh kejam.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM DI PULAU JEJU : Isteri Psiko"