Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM KARINA VETRANO

Karina Vetrano

    Tahun 2016, Karina Vetrano adalah seorang pakar terapi pertuturan yang berusia 30 tahun. Selain gemar untuk berjoging, dia juga mempunyai bakat dalam bidang penulisan. Salah satu karya penulisannya yang berjudul The Paradox pernah diangkat menjadi sebuah filem pendek pada tahun 2013. Daripada segi keperibadian Karina, dia begitu disenangi oleh orang di sekeliling kerana sikapnya yang dikatakan mudah mesra serta peramah.

    Pada lewat petang 2 Ogos 2016, Karina telah keluar dari rumahnya untuk pergi berjoging bersendirian. Kebiasaannya, Karina akan melakukan aktiviti joging itu bersama dengan bapanya iaitu Philip Vetrano. Cumanya hari tersebut, Philip yang juga merupakan seorang pesara bomba telah mengalami kecederaan pada bahagian belakang badannya. Jadi, dia tidak dapat untuk menemani Karina. Namun apa yang berlaku kemudian, Karina langsung tidak pulang ke rumah dengan kali terakhirnya dilihat adalah pada pukul 5 petang. Mesej yang dihantar kepada telefon Karina tidak berbalas, panggilan telefon pula langsung tidak diangkat. Dek kerana terlalu risau dengan soal keselamatan Karina, maka Philip pun terus menghubungi pihak polis bagi membuat aduan mengenai kehilangan anaknya itu. Maka operasi untuk mencari Karina dimulakan tepat jam 7.00 petang.


    Selepas beberapa jam pencarian, mayat Karina akhinya telah ditemui dalam keadaan meniarap oleh Philip sendiri di sebuah kawasan tanah berpaya yang berhampiran dengan kawasan taman joging berkenaan. Seluar joging Karina didapati hilang manakala seluar dalamnya ditarik ke bawah. Begitu juga bra Karina yang turut ditarik hingga menyebabkan payu daranya terdedah. Badan Karina pula dipenuhi dengan kesan luka dan lebam. Hasil laporan forensik, Karina yang menjadi mangsa serangan secara seksual telah mati akibat dicekik. Seperkara lagi, Karina dipercayai berhempas pulas cuba untuk melawan balik sewaktu serangan berlaku. Ini termasuklah dia ada menggigit si penyerang berdasarkan fakta dua gigi depannya telah patah. Terdapat kesan DNA orang asing yang dikesan pada leher, kuku dan telefon Karina. Malang sekali apabila DNA tersebut tidak mempunyai sebarang padanan dengan mana-mana rekod DNA di dalam sistem pangkalan data Amerika Syarikat. 


    Menerusi siasatan awal yang dilakukan oleh pihak polis, mereka meyakini bahawa kematian Kirana sebenarnya adalah pembunuhan secara rawak. Dalam erti kata lain, dia telah menjadi mangsa keadaan. Pada waktu kemudiannya, pihak polis menerima laporan daripada seorang saksi yang mendakwa ada melihat seorang lelaki berkulit hitam keluar dari kawasan berumpai di lokasi kejadian. Siasatan selanjutnya telah membawa kepada penangkapan seorang lelaki penganggur yang dikenalpasti sebagai Chanel Lewis. Ujian DNA yang dijalankan terhadapnya juga didapati sepadan DNA yang ditemui pada kuku Karina. Latar belakang ringkas Chanel, dia tinggal bersama dengan ibu dan tiga orang adik beradik perempuannya di mana rumah mereka berlokasi sekitar 4.8 kilometer dari tempat penemuan mayat Karina. Chanel bersih dari rekod jenayah tetapi pernah mendapat pemerhatian oleh pihak polis kerana berkelakuan mencurigakan di kawasan perumahan dan tempat awam. 

Chanel Lewis

    Berhubung dengan apa yang berlaku pada hari kejadian, siasatan polis mendedahkan bahawa Chanel telah keluar dari rumah selepas bergaduh dengan keluargnya. Dia kemudian telah melepaskan kemarahan kepada Karina yang kebetulan sedang berjoging ketika itu. Tidak dapat dipastikan samada Chanel dan Karina sudah saling berkenalan atau sebaliknya semasa pembunuhan berlaku. Chanel membuat pengakuan tentang dirinya yang telah menumbuk Karina sebanyak lima tumbukan di bahagian muka. Niat asal Chanel, dia ingin merogol Karina namun tidak dapat berbuat sedemikian apabila Karina cuba untuk melawannya semula. Karina bagaimanapun gagal untuk terus mempertahankan diri sebelum diserang secara seksual dan akhir sekali dicekik Chanel sampai mati.

    Pengakhiran kisah, Chanel yang didapati bersalah atas pembunuhan Karina telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa sebarang peluang pembebasan bersyarat. Hingga pada hari ini, Chanel masih kekal dengan pendiriannya yang mengaku tidak bersalah. Begitu juga dengan keluarganya yang mempercayai Chanel adalah mangsa penganiayaan hanya kerana dia lelaki berkulit hitam yang mempunyai masalah penyakit mental. Segala bukti DNA pada waktu sebelumnya berkemungkinan besar telah pun tercemar.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM KARINA VETRANO"