Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM MATTHEW PYKE


IKLAN


TAMAT IKLAN

Matthew Pyke

    Tahun 2006, Matthew Pyke dan Joanna Witton merupakan pasangan kekasih muda warga British yang berusia dalam lingkungan 20an. Selepas menamatkan pengajian di universiti, Matthew dan Joanna telah tinggal bersama di sebuah apartment. Mereka berdua mempunyai minat yang sama iaitu bermain permainan komputer dalam talian terutamanya permainan Advance Wars. Malah pada tahun 2007, Matthew dan Joanna sama-sama membangunkan forum dalam talian bagi membincangkan mengenai permainan itu. Melalui forum tersebut juga, mereka berdua telah berkenalan dengan seorang individu dari negara Jerman bernama David Weiss yang menggunakan nama samaran Eagle The Lightning.

    Lama-kelamaan, hubungan antara Matthew, Joanna dan David menjadi semakin rapat. Mereka bertiga saling bertukar pendapat dengan hati terbuka dan adakalanya berborak tentang perkara peribadi. Tumpuan David bagaimanapun lebih tertumpu terhadap Joanna. Sampai satu ketika, David telah menghantar permintaan menjadi rakan Joanna di laman media sosial Facebook. Permintaan itu kemudian diterima oleh Joanna. Seperkara yang harus diketahui, jumlah rakan David di akaun Facebook miliknya waktu tersebut hanya seramai 15 orang termasuk Joanna. Gambar profilnya pula hanya ada sekeping. David ternyata sangat menyukai Joanna. Disebabkan itu, dia sanggup untuk menghantar ratusan mesej kepada Joanna pada setiap hari. Sebolehnya, David ingin berjumpa dengan Joanna secara peribadi.

Joanna Witton

    Satu hari iaitu pada bulan Jun 2008, Matthew dan Joanna telah dikejutkan dengan kehadiran David di pintu masuk apartment mereka. Manakan tidak, Matthew mahupun Joanna tidak pernah mendedahkan alamat tinggal mereka kepada David. Apa yang diberitahu oleh David, dia mendapat tahu tentang alamat berkenaan adalah melalui hantaran yang pernah dimuatnaik oleh Joanna di laman Facebook. Joanna berasa bingung kerana dia tidak pernah pun berbuat sedemikian. David telah bermalam selama tiga hari di apartment tersebut. Itupun selepas Matthew dan Joanna bersimpati dengan nasibnya yang tidak mempunyai sebarang wang perbelanjaan serta pada masa sama tidak melakukan sebarang tempahan hotel. Sepanjang tiga hari itu juga, David kerap meminta Joanna untuk meluangkan masa bersama dengannya secara privasi. Malah, Joanna menerima beberapa nota bertulis daripada David yang memintanya untuk meninggalkan Matthew.

    Dua bulan selepas kejadian tetamu tidak diundang tersebut, David sekali lagi muncul di apartment yang sama. Cumanya kali ini, Matthew dan Joanna berkeras meminta David untuk beredar pergi. Menyedari David seakan seorang lelaki psiko, Matthew dan Joanna telah bertindak menyekat segala akaun dalam talian David yang menghubungkan mereka bertiga.

David Weiss

    Hinggalah 19 September 2008 yakni bersamaan dengan hari Jumaat, Joanna yang baru pulang ke rumah selepas bekerja dikejutkan dengan penemuan mayat Matthew dalam apartment. Berdasarkan laporan forensik, Matthew dipercayai telah mati akibat menerima tikaman sebanyak 86 kali. Tiada sebarang barang yang berharga hilang, jadi sudah pasti kematian Matthew diyakini sebagai satu pembunuhan terancang. Menerusi pemeriksaan di lokasi kejadian, pihak polis telah menemui tulisan berdarah bertulis “DAV” pada komputer Matthew. Hasil siasatan lanjutan oleh pihak polis, tulisan “DAV” yang ditulis oleh Matthew sendiri itu adalah merujuk kepada nama David.

    Bertarikh 24 September 2008 iaitu selepas empat hari kejadian, pihak polis telah menangkap David yang sedang berada di rumahnya yang terletak di Limburg, Jerman. Susulan penangkapan tersebut, maka David pun telah dihantar ke England bagi tujuan soal siasat. David dipercayai membunuh Matthew kerana dia ingin hidup bersama Joanna, bukan untuk mempertahankan diri seperti yang didakwanya. Apa yang tidak dapat dipastikan adalah samada David ingin membunuh Matthew atau Joanna atau kedua-dua mereka sekali. Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes pada bulan Mei 2009, David yang didapati bersalah telah dijatuhkan hukuman penjara untuk seumur dengan hidup dengan minimum 18 tahun dipenjarakan.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM MATTHEW PYKE "