Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM SAKI KONDO

Saki Kondo

    Pada tahun 2018, Saki Kondo adalah seorang wanita cantik warga Jepun berusia 27 yakni bekerjaya sebagai penterjemah bahasa yang sangat fasih berbahasa inggeris. Dia digambarkan oleh rakan-rakannya sebagai seorang yang peramah. Saki juga begitu cekap dan komited dalam menjalankan tugasnya. Satu hari iaitu bersamaan dengan 16 Februari 2018, Saki tidak hadir bekerja sekaligus mengundang rasa curiga salah seorang rakan sekerjanya. Selepas Saki gagal untuk dihubungi, rakannya itu kemudian bertindak memaklumkan perkara berkenaan kepada ibu bapa Saki yang seterusnya membuat laporan polis tentang kehilangan anak mereka.

    Berdasarkan siasatan awal yang dibuat oleh pihak polis, Saki dipercayai pergi berjumpa dengan seorang lelaki warga Amerika Syarikat yang telah dikenalinya melalui aplikasi laman media sosial Tinder. Siasatan lanjut melalui pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup mendapati kali terakhir Saki dilihat adalah pada 15 Februari iaitu sewaktu dia memasuki sebuah bilik sewa percutian yang terletak di Osaka. Saki memasuki bilik berkenaan bersama dengan seorang lelaki Amerika Syarikat seperti yang telah diketahui. Walau bagaimanapun, Saki tidak pernah keluar semula dari bilik tersebut. Lelaki Amerika itu pula beberapa kali keluar masuk bilik sambil membawa beg. Rentetan daripada perkara tersebut, pihak polis akhirnya berjaya mengenalpasti penyewa bilik percutian itu yang dikenali sebagai Yevgeniy Vasilievich Bayraktar atau nama samarannya, Jake.

Yevgeniy Vasilievich Bayraktar atau Jake.

    Mengenai Jake, dia yang berusia 26 tahun waktu tersebut dilaporkan sudah beberapa kali melawat ke negara Jepun. Selain menggemari budaya negara matahari terbit tersebut, Jake juga mempunyai keinginan untuk mengahwini wanita Jepun. Jake pada asalnya dilahirkan di Rusia tetapi kemudian berpindah ke Texas untuk mengikut ibunya yang berkahwin lain. Seperkara yang harus diketahui, Jake pernah berkhidmat sebagai anggota tentera udara Amerika Syarikat selama 11 bulan sebelum perkhidmatannya ditamatkan. Tidak dapat dipastikan punca sebenar yang menyebabkan pemberhentian Jake memandangkan perkara itu tidak pernah didedahkan kepada pihak umum.

    Lebih kurang seminggu berikutnya, Jake akhirnya ditangkap oleh pihak polis selepas disyaki terlibat dengan kehilangan Saki. Pada mulanya, Jake memilih untuk mendiamkan diri daripada membuat sebarang pengakuan. Namun setelah pemeriksaan dijalankan pada kediaman sewa percutiannya, pihak polis menemui kepala Saki yang disimpan di dalam sebuah beg bimbit. Susulan penemuan mengerikan itu, barulah Jake mengaku tentang pembunuhan kejam yang dilakukannya terhadap Saki. Ini termasuklah mengerat mayat Saki kepada beberapa bahagian sebelum dibuangnya ke serata tempat di Jepun. Jake juga dengan rela hati telah membawa pihak polis menuju ke setiap lokasi pembuangan serpihan mayat Saki tersebut.

    Semasa perbicaraan di mahkamah, Jake membuat pengakuan bahawa dia mengurung Saki di lokasi kejadian tanpa sebarang kerelaan mangsa. Saki didakwa dibunuh dengan cara cekikan leher sampai mati. Cumanya Jake menegaskan bahawa pembunuhan itu adalah berlaku secara tidak sengaja. Kesudahannya, Jake hanya dikenakan pertuduhan pembunuhan (manslaughter) serta meninggalkan mayat kerana pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan kematian Saki adalah satu pembunuhan yang terancang. Pihak pendakwaan meminta supaya Jake dikenakan hukuman penjara selama 13 tahun kerana dia telah menghapuskan bukti penting seperti membuang aplikasi Tinder dari telefonnya. Jake juga ada melakukan carian internet tentang cara-cara untuk melupuskan mayat. Dari sisi pihak pembelaan, Jake harus dipenjarakan selama lima tahun saja kerana dia telah berasa menyesal dengan kejadian pembunuhan Saki itu.

    Pengakhiran kisah, Jake yang didapati bersalah akhirnya dijatuhkan hukuman penjara selama 8 tahun saja. Satu hukuman yang ternyata mencetuskan kontroversi dan menimbulkan rasa tidak puas hati oleh ramai pihak.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM SAKI KONDO "