KISAH PEMBUNUHAN YANG LIPING : 105 Hari di Dalam Peti Beku
Pada tahun 2016, Yang Liping
adalah seorang wanita berusia 30 tahun yang bekerjaya sebagai seorang guru
sekolah elit dengan berpendapatan lumayan. Dia yang juga merupakan seorang anak
tunggal digambarkan sebagai seorang yang sangat baik dan begitu disenangi oleh
orang-orang di sekelilingnya.
Yang mula berkenalan dengan
suaminya iaitu Zhu Xiaodong pada tahun 2013 dengan dasar cinta pandang pertama.
Zhu yang sebaya umur dengan Yang berasal daripada keluarga yang miskin. Zhu
tidak berpelajaran tinggi dengan mempunyai rekod mencuri sewaktu zaman
remajanya. Selain itu, Zhu pernah memasuki pertandingan nyanyian yang
dianjurkan oleh sebuah steven televisyen bagi mengejar impiannya untuk menjadi
bintang terkenal. Walau bagaimanapun, impiannya itu tidak kesampaian apabila
dia tersingkir daripada pertandingan nyanyian tersebut.
Sebelum Yang berkahwin, dia pernah diingatkan oleh kedua-dua orang tua serta rakan-rakannya tentang perhubungannya dengan Zhu. Bagi mereka, Yang berhak untuk mendapatkan lelaki yang lebih baik memandangkan Zhu mempunyai tabiat sangat buruk seperti berlagak kaya, suka berjudi dan kaki kelab malam. Ciri-ciri tersebut jelas menggambarkan bahawa Zhu tidak layak untuk dijadikan sebagai seorang suami. Dek kerana cinta itu buta, Yang meneruskan juga majlis perkahwinannya dengan diadakan secara kecil-kecilan disebabkan Zhu tidak mempunyai wang. Yang telah berkahwin dalam keadaannya tidak memakai sebarang gaun pengantin. Dalam erti kata lain, dia hanya berpakaian biasa.
Selepas perkahwinan mereka pada
tahun 2015, maka Yang pun tinggal bersama Zhu di sebuah apartment yang kecil.
Zhu pula semakin menunjukkan belang dengan suka menghabiskan wang Yang untuk
kepentingannya sendiri. Dia telah mengawal dan mengongkong penuh hidup Yang.
Perkara ini termasuklah memasang kamera litar tertutup di rumahnya bagi
mengawasi setiap pergerakan Yang. Lama kelamaan, Yang semakin berasa kecewa kerana
semua pengorbanannya sebelum ini langsung tidak pernah dihargai. Lebih-lebih
lagi dia sudah menghabiskan banyak wang untuk membantu melunaskan hutang judi
suaminya itu.
Pada malam 18 Oktober 2018, satu pertengkaran besar telah berlaku antara Zhu dan Yang. Pertengkaran itu berpunca daripada Zhu yang naik melenting akibat ditegur oleh Yang tentang tabiatnya yang suka berjudi. Zhu yang kemudian tidak dapat menerima teguran telah membunuh Yang dengan cara cekikan leher sampai mati. Seperkara yang harus diketahui iaitu sebulan sebelum kejadian, Yang telah meletakkan jawatannya sebagai guru. Peletakan jawatan tersebut dibuat oleh Yang selepas diberitahu oleh Zhu bahawa mereka bakal berpindah ke Hong Kong kerana Zhu mendapat tawaran pekerjaan dengan gaji yang sangat lumayan. Hakikat sebenar, semua itu hanya pembohongan Zhu semata-mata. Selepas Yang mati, mayatnya disimpan oleh Zhu di dalam sebuah peti beku besar yang baru dibeli. Penyimpanan mayat Yang bukan untuk sehari dua, tetapi selama 105 hari. Sepanjang tempoh tersebut, Zhu telah menggunakan wang Yang untuk pergi melancong, berhibur di kelab malam dan berfoya-foya dengan beberapa orang wanita.
Bagi menampakkan Yang seolah-olah masih hidup, Zhu telah membalas semua mesej yang masuk pada telefon isterinya itu. Sampai satu masa, Zhu menyedari bahawa dia tidak boleh lagi menyembunyikan perkara yang sebenar. Ini berikutan telefon Yang telah menerima mesej yang memintanya untuk datang ke majlis sambutan hari jadi bapanya. Rentetan daripada perkara tersebut, maka Zhu pun membuat pengakuan tentang kematian Yang kepada ibunya. Susulan pengakuan berkenaan, Zhu yang mendakwa kematian Yang adalah akibat kemalangan secara tidak sengaja telah dibawa oleh ibunya ke balai polis untuk menyerah diri. Ibu Zhu berbuat sedemikian dengan harapan anaknya itu akan diberikan hukuman yang lebih ringan.
Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes pada tahun 2018, keadilan akhirnya berpihak kepada keluarga Yang di mana Zhu yang didapati bersalah telah dijatuhkan hukuman mati. Hukuman Zhu tersebut dilaksanakan pada bulan Jun 2020.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN YANG LIPING : 105 Hari di Dalam Peti Beku"