Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH THREE IDENTICAL STRANGERS

    Pernah menonton dokumentari Three Identical Strangers (2018) yakni mengisahkan tiga kembar seiras yang terpisah sejak dari bayi akibat menjadi mangsa kajian eksperimen? Jika belum menonton, sila tonton dahulu trailer di sini.

    Satu hari pada tahun 1980, seorang lelaki muda berusia 19 tahun bernama Robert Shafran telah tiba di sebuah kolej yang terletak di New York bagi melanjutkan pengajiannya. Namun pada hari itu, ada sedikit kejanggalan untuk Robert. Para pelajar di kolej tersebut kelihatan begitu mesra menyapanya sebagai “Eddy” sedangkan nama panggilannya adalah Bobby. Cara Bobby disapa seolah-olah menggambarkan dia sudah lama belajar di kolej berkenaan. Bobby kemudian mendapat tahu tentang Eddy atau nama penuhnya iaitu Eddy Galland itu adalah seorang pelajar kolej tersebut yang memiliki paras rupa seiras dengan dirinya. Apabila Bobby dan Eddy dipertemukan, barulah perkara sebenar terbongkar di mana mereka berdua sebenarnya adalah pasangan kembar seiras yang telah terpisah sejak dari mereka lahir lagi.

    Beberapa bulan selepas kisah pertemuan semula Bobby dan Eddy tersebut, mereka berdua dikejutkan pula dengan satu lagi berita yang benar-benar mengejutkan. Ibu angkat Bobby telah menerima satu panggilan telefon daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai David Kellman. Rupa-rupanya, David juga adalah pasangan kembar kepada Bobby dan Eddy. Panggilan telefon itu dibuat oleh David selepas dia mendapati wajah Bobby dan Eddy yang terpampang di dada akhbar adalah mirip dengan wajahnya. Maka pada akhirnya, Bobby, David dan Eddy yang selama ini dijaga oleh keluarga angkat masing-masing telah  kembali bersatu. Selain memiliki paras wajah yang seiras, mereka bertiga turut dilihat mempunyai persamaan karakter yang sangat ketara. Dalam sekelip mata, Bobby, David dan Eddy menjadi popular sebelum masing-masing memutuskan untuk tinggal bersama. Selain itu, tiga beradik kembar tersebut turut bersama-sama menjalankan perusahaan kedai restoran yang dinamakan sebagai Triplets.

    Kebiasaannya, cerita sebegini akan berakhir dengan kesudahan yang menggembirakan. Namun, tidak untuk Bobby, David dan Eddy. Perkara ini berikutan hubungan mereka bertiga lama-kelamaan menjadi berantakan yang disebabkan masalah peribadi masing-masing. Lagi parah apabila Eddy bertindak untuk membunuh diri dengan cara tembakan pistol kerana penyakit mental yang telah dialaminya. Selepas kematian Eddy, Bobby dan David telah membuat keputusan untuk berpisah dengan membawa haluan masing-masing bagi mendapatkan kehidupan yang lebih baik.

Bobby dan David

    Apa yang sangat menyedihkan adalah fakta mengenai Bobby, David dan Eddy sebenarnya menjadi mangsa kajian eksperimen psikologi yang diketuai oleh seorang pakar psikologi bernama Peter Neubaeur. Mereka bertiga sengaja dipisahkan sejurus selepas kelahiran mereka untuk diserahkan kepada keluarga angkat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Bobby dijaga oleh keluarga kaya manakala Eddy pula keluarga sederhana dan David diserahkan kepada keluarga biasa. Seperkara yang harus diketahui, tiga keluarga angkat tersebut tidak pernah diberitahu mengenai perkara sebenar kajian eksperimen ini. Sementara itu, Peter Neubauer masih tidak mendedahkan hasil kajian eksperimen tersebut kepada orang ramai. Apa yang pasti iaitu hingga pada hari ini, Bobby dan David sudah semestinya masih terkesan secara psikologi dengan segala apa yang mereka telah lalui. Tiada mana-mana individu yang ingin hidup mereka ditentukan oleh manusia.

Catat Ulasan for "KISAH THREE IDENTICAL STRANGERS "