KISAH BENAR DI SEBALIK FILEM SUNK INTO THE WOMB
Sanae Nakamura |
Tahun 2010, negara Jepun dikejutkan dengan berita kematian
tragis dua orang adik beradik berusia 3 dan 1 tahun yang mati kebuluran selepas
ditinggalkan bersendirian oleh ibu mereka di rumah selama enam minggu. Kisah
yang sungguh menyayat hati ini kemudian telah diangkat menjadi sebuah filem
pada tiga tahun kemudian dengan judul Shikyu ni Shizumeru atau dalam bahasa
Inggerisnya iaitu Sunk Into The Womb. Kalau enggan berlinangan air mata selama
berhari-hari, maka disarankan supaya tidak perlu menonton filem ini. Buat
mereka yang pernah menonton, bersediakah menonton buat kali kedua?
Sanae Nakamura merupakan seorang ibu muda yang mempunyai dua
orang anak kecil yakni seorang perempuan dan seorang lelaki. Si perempuan
bernama Sakurako Hagi (3 tahun) manakala si lelaki pula adalah Kaede Hagi (1
tahun). Seperkara yang harus diketahui, Sanae telah pun bercerai dengan
suaminya pada bulan Mei 2009. Sejak itu, dia yang baru berusia 20an waktu
tersebut mulai berasa bosan dengan kehidupan sebagai ibu tunggal apatah lagi
terpaksa untuk membesarkan anak-anaknya seorang diri.
Sakurako dan Kaede |
Selepas mendapatkan pekerjaan sebagai pelayan seks di sebuah rumah pelacuran, Sanae mula mengabaikan Sakurako dan Kaede dengan membiarkan anak-anaknya itu tinggal bersendirian di rumah mereka. Bukan untuk sehari dua tetapi selama berhari-hari. Sanae juga lebih rela untuk bermalam di rumah teman lelaki barunya berbanding menghabiskan masa bersama dengan anak-anak kandungnya sendiri. Sanae hanya akan pulang ke rumah untuk seketika bagi menghantar makanan.
Pada penghujung bulan Julai 2010, Sanae kembali pulang ke
rumah hanya untuk menemui mayat anak-anaknya yang sudah mereput dalam keadaan
berbogel dengan kawasan sekeliling mereka dipenuhi longgokan sampah. Bayangkanlah,
terakhir dia melihat anak-anaknya itu adalah pada awal Jun 2010. Setelah
menemui mayat Sakurako dan Kaede, Sanae terus beredar pergi tanpa sebarang
perasaan rasa serba salah. Mayat anak-anak Sanae bagaimanapun hanya ditemui
pihak polis pada keesokan paginya. Penemuan tersebut dibuat berikutan aduan
yang dibuat oleh jiran di sekeliling mengenai bau busuk dari dalam rumah Sanae.
Berdasarkan laporan bedah siasat, anak-anak Sanae itu mati akibat kebuluran
tetapi tidak dapat dipastikan punca sebenar kematian mereka.
Sebelum kematian Sakurako dan Kaede, ada pekerja kebajikan
yang pernah beberapa kali datang mengunjungi rumah mereka selepas mendapat
panggilan aduan daripada jiran berhampiran yang telah terdengar suara jeritan
tangisan dua beradik malang tersebut pada waktu malam. Apa yang begitu
mengecewakan, tiada tindakan susulan dilakukan oleh pekerja kebajikan berkenaan
hanya kerana usaha mereka untuk memasuki rumah Sanae yang berkunci menemui
jalan buntu. Dalam erti kata lain, mereka seolah-olah lepas tangan.
Paling menyakitkan hati ramai pihak, Sanae yang akhirnya oleh pihak polis ditangkap langsung tidak menunjukkan sebarang rasa penyesalan dengan tragedi telah menimpa anak-anaknya. Bahkan dia ada membuat pengakuan sebolehnya tidak ingin mempunyai anak. Berhubung dengan perbicaraan kes, Sanae yang didapati bersalah telah dijatuhkan hukuman penjara selama 30 tahun. Setakat ini, ada tiga kes sebegini yang pernah menggemparkan Jepun. Pertama, kes pengabaian anak-anak Sugamo pada tahun 1988 yang merupakan inspirasi kepada filem Nobody Knows (2004). Kedua, kes Rie Fujii iaitu wanita warganegara Jepun di Kanada yang telah meninggalkan dua orang anak kecilnya berusia 15 dan 3 bulan bersendirian di rumah hingga mereka mati kebuluran. Kes paling terkini adalah kes Noa yang baru saja berlaku pada bulan Jun tahun lepas.
Catat Ulasan for "KISAH BENAR DI SEBALIK FILEM SUNK INTO THE WOMB"