Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM RYAN POSTON

Ryan Poston

    Ryan Poston atau nama sebenarnya Ryan Carter Poston dilahirkan pada 30 Disember 1982 bertempat di Fort Mitchell, Kentucky, Amerika Syarikat. Dia yang mempunyai tiga orang beradik perempuan dikatakan begitu rapat dengan bapanya. Selain itu, Ryan yang bekerjaya sebagai seorang peguam juga digambarkan sebagai seorang yang sangat bijak dan serba boleh dalam banyak perkara.  Ditambah pula dengan paras rupanya yang tampan, Ryan ternyata menjadi kegilaan ramai wanita.

    Pada tahun 2011, Ryan yang berusia 28 tahun waktu tersebut telah berkenalan dengan seorang pelajar wanita jurusan psikologi dari Universiti Kentucky iaitu Shayna Hubers, 19 tahun. Perkenalan mereka berdua itu bermula daripada laman media sosial Facebook. Sewaktu awal perhubungan antara Ryan dan Shayna, pasangan kekasih tersebut dilihat sebagai pasangan yang sangat secocok. Kedua-dua mereka dilihat saling mencintai antara satu sama lain. Namun lama kelamaan, hubungan mereka berdua bertukar menjadi hubungan toksik dengan Shayna lebih mendominasi perhubungan. Dia gemar untuk mengongkong dan menghendap segala aktiviti media sosial Ryan. Dalam erti kata lain, tiada sebarang privasi untuk Ryan. Adakalanya, Shayna akan muncul di tempat kerja dan konduminium Ryan tanpa mendapat sebarang keizinan. Sebolehnya, dia ingin sentiasa berada di sisi Ryan dan tidak ingin wanita lain memandang teman lelakinya itu. Hari demi hari, Ryan semakin menjadi tertekan berikutan Shayna yang tidak berhenti-henti untuk mengganggunya dengan kerap menghantar teks mesej serta membuat panggilan telefon.

Shayna Hubers

    Seperkara yang harus diketahui, Ryan pernah beberapa kali cuba untuk memutuskan hubungan dengan Shayna. Walau bagaimanapun, Shayna sukar menerima keputusan perpisahan tersebut sekaligus menyebabkan Ryan terus dibelenggu perasaan serba salah. Malah, Ryan pernah meminta nasihat daripada bapanya tentang cara terbaik untuk menangani masalah hubungannya dengan Shayna. Di mata ibu bapa Ryan, mereka berpendapat anak lelaki mereka itu lebih berhak untuk mempunyai teman wanita yang lebih baik daripada Shayna. Sampai satu masa, Ryan pun tekad bagi mengakiri hubungan toksiknya bersama Shayna.

    Pada malam 12 Oktober 2012, Ryan mempunyai temujanji bar untuk berjumpa dengan Audrey Bolte yakni pemenang ratu cantik Ohio 2012. Sungguh malang sekali apabila perkara tersebut telah diketahui oleh Shayna biarpun Ryan sudah mencuba sebaik yang mungkin untuk berahsia. Shayna yang tidak berpuas hati terus pergi ke kondominium Ryan. Di situ, Shayna telah bertindak di luar kawalan untuk menembak mati Ryan menggunakan pistol dengan melepaskan sebanyak enam das tembakan. Melihat Ryan yang sudah tidak lagi bernyawa, Shayna terus menghubungi talian kecemasan 911 bagi membuat pengakuan tentang pembunuhan teman lelakinya itu.

    Selepas disoal siasat, Shayna mendakwa pembunuhan Ryan adalah untuk mempertahankan dirinya sendiri. Dakwa Shayna, dirinya telah menjadi mangsa penderaan Ryan pada sepanjang tempoh perhubungan mereka berdua. Semasa dibiarkan bersendirian di dalam bilik soal siasatan, terdapat beberapa kelakuan Shayna yang dianggap sebagai sangat pelik. Dia ada menyanyikan lagu “Amazing Grace” serta bercakap bersendirian seperti,

    “Aku berjaya. Wah, aku dah lakukan. Aku tak percaya aku dah lakukan perkara itu.”

    “Aku sangat bagus dalam berlakon.”

    Berhubung keputusan perbicaraan kes tahun 2015, Shayna yang didapati bersalah atas pembunuhan Ryan telah dijatuhkan hukuman penjara selama 40 tahun dengan layak untuk pembebasan secara bersyarat hanya selepas 20 tahun penjara. Pembicaraan kali kedua pada tahun 2018 hasil rayuan Shayna sekali lagi mendapatinya bersalah lalu dipenjarakan untuk seumur hidup. Sewaktu berada dalam penjara, Shayna pernah berkahwin dengan seorang wanita transgender yang bernama Unique Taylor. Mereka berdua kini bagaimanapun dilaporkan telah pun bercerai.

1 ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM RYAN POSTON "