Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PENCULIKAN BAYI DI PYEONGTAEK

    Pada tahun 2003, Kim adalah seorang wanita berusia 36 tahun yang mempunyai dua orang anak yakni seorang lelaki dan seorang perempuan. Diringkaskan cerita, Kim mulai bosan hidup sebagai seorang suri rumah tangga sepenuh masa yang miskin. Malah Kim begitu mencemburui dengan kehidupan rakan-rakannya yang serba mencukupi. Disebabkan asyik bertengkar dengan suaminya, jadi Kim banyak menghabiskan masa untuk berhibur di kelab malam. Di situ, Kim telah berkenalan dengan seorang lelaki kacak bernama Choi yang berusia 31 tahun. Seperkara yang harus diketahui, Choi juga merupakan anak tunggal yang berasal daripada keluarga kaya raya. Tidak lama selepas pertemuan mereka, Kim dan Choi akhirnya menjalinkan hubungan sebagai pasangan kekasih. Menyedari hidup bersama Choi adalah jalan paling singkat untuk hidup dalam serba kemewahan, maka Kim sanggup meninggalkan suami serta anak-anaknya.

    Pada mulanya, ibu bapa Choi tidak begitu merestui hubungan anak mereka dengan Kim. Perkara ini disebabkan orang tua Choi berasa bimbang terhadap Kim yang mungkin tidak akan dapat melahirkan anak atas faktor usia. Namun selepas mendapat tahu Kim telah hamil anak kepada Choi, ibu bapa Choi terus berasa teruja lebih-lebih lagi apabila dimaklumkan cucu mereka itu kelak adalah bayi lelaki. Apa yang keluarga Choi tidak sedari, Kim tidak pernah pun hamil. Dia terpaksa untuk berbohong sedemikian kerana berasa risau akan kehilangan Choi.

    Ibu bapa Choi kemudian merancang untuk mengahwinkan Choi dan Kim dengan mengadakan majlis perkahwinan secara besar-besaran. Bagi mengelakkan pembohongannya terbongkar, Kim telah mengupah beberapa orang individu untuk menyamar menjadi anggota keluarganya semasa majlis perkahwinan. Kim pada waktu sebelum itu ada berbohong kepada Choi tentang keluarganya yang menetap di Amerika Syarikat.

    Perkahwinan Kim dan Choi berlangsung tanpa sebarang masalah. Selepas beberapa bulan berkahwin, Kim pernah ditanya oleh Choi mengenai perutnya yang dilihat langsung tidak membesar. Kim bagaimanapun memberikan alasan keadaan sebegitu adalah normal untuk sesetengah wanita yang baru pertama kali hamil. Kim seterusnya telah mengupah seorang lelaki bernama Thug secara bayaran lumayan untuk mencari seorang bayi lelaki yang sesuai dengan kehendaknya.

    Pada tahun 2004, Kim telah memberitahu Choi tentang niatnya untuk bersalin di Amerika Syarikat kerana ingin dekat bersama keluarganya. Cumanya, Kim ingin pergi bersendirian. Choi yang tiada halangan telah menaja sepenuhnya kos perjalanan dan perbelanjaan Kim. Walau bagaimanapun, Kim tidak pernah menjejakkan kaki pun ke Amerika Syarikat. Dia sebaliknya kekal berada di Korea Selatan dengan tinggal bersama rakannya untuk satu tempoh tertentu. Sementara itu, Thug menghadapi kesukaran untuk mencari bayi lelaki seperti yang disuruh oleh Kim. Semuanya tidak semudah yang disangka. Namun apabila Kim mengetahui tentang perkara tersebut, dia yang berasa marah telah mendesak Thug untuk menyelesaikan kerjanya.

    Hinggalah satu hari, dua orang anak buah Thug ada ternampak seorang wanita muda sedang menggendong bayinya di jalan raya. Wanita itu kemudian diculik lalu dibunuh oleh dua orang lelaki tersebut sebelum bayi lelakinya dirampas untuk diserahkan kepada Kim. Mayat wanita yang tidak bersalah tersebut telah ditanam di sebuah tempat yang terpencil.

    Tiba waktunya, Kim telah membawa bayi lelaki itu ke rumah keluarga Choi. Kehadiran bayi tersebut jelas menyerikan kehidupan Choi dan ibu bapanya. Malangnya, kegembiraan itu tidak berpanjangan apabila perkara sebenar terbongkar jua susulan penangkapan Thug yang berjaya ditangkap sewaktu dia cuba untuk meloloskan diri daripada sekatan jalan raya. Hasil pemeriksaan di dalam kereta Thug, pihak polis telah menemui sebuah telefon bimbit yang dikenalpasti sebagai milik seorang wanita mangsa pembunuhan pada beberapa bulan sebelumnya. Sementara itu, Kim pula ditangkap berikutan pengakuan yang dibuat oleh Thug mengenai plot penculikan bayi tersebut.

    Choi dan ibu bapanya sangat berasa sangat malu dan marah terhadap Kim yang selama ini sebenarnya adalah seorang penipu. Lagi membuatkan mereka berasa terkilan adalah mereka sekeluarga sudah benar-benar menyayangi bayi tersebut.

    Pengakhiran kisah, Kim yang diceraikan oleh Choi telah menerima hukuman penjara selama lima tahun. Begitu juga dengan Thug. Mereka berdua dijatuhkan hukuman ringan itu adalah kerana tidak terlibat secara langsung terhadap pembunuhan ibu bayi tersebut. Berkenaan dengan dua orang anak buah Thug, kedua-dua mereka telah dihukum penjara untuk seumur hidup.

    Hari ini, tidak ramai pun orang yang tahu tentang keberadaan Kim selepas dibebaskan dari penjara. Dia sekarang berkemungkinan besar hidup dalam kesunyian.

Catat Ulasan for "KISAH PENCULIKAN BAYI DI PYEONGTAEK"