ADA APA DENGAN SATORU?
Momona Yoshioka |
Pada 28 April 2021, pihak polis tempatan di Osaka, Jepun
telah menerima satu panggilan kecemasan daripada seorang penghuni apartment
yang ada terdengar bunyi jeritan seorang wanita meminta pertolongan. Setibanya
pihak polis di lokasi kejadian, mereka bergegas memasuki sebuah rumah mangsa yang
terletak pada tingkat tiga apartment. Di bahagian ruang tamu rumah tersebut,
mayat seorang wanita berusia 21 tahun yang dikenali sebagai Momona Yoshioka ditemui
dalam keadaan terbaring dengan terdapat kesan hentakan pada bahagian kepalanya.
Selain itu, badan Momona juga penuh dengan kesan luka akibat tikaman dan
kelaran. Pihak polis turut menemui batang besi dan lembing buatan sendiri yang
dipercayai menjadi senjata pembunuhan Momona.
Sewaktu penemuan mayat Momona, seorang lelaki berusia 48
tahun yang tinggal di tingkat dua apartment itu iaitu Satoru Kamoto telah
membakar dirinya sendiri. Dia yang dikejarkan ke hospital disahkan mati akibat
keracunan keracunan karbon monoksida. Cap jarinya didapati sepadan dengan cap
jari yang dikesan pada senjata pembunuhan Momona. Jadi, apa sebenarnya yang
telah berlaku? Apa kaitan Momona dan Satoru?
Satoru Kamoto |
Apa yang diketahui setakat ini, Satoru yang berperwatakan pendiam, serius dan jenis menepati masa sudah menetap di bangunan apartment tersebut selama lima tahun. Kisah bermula pada awal bulan April 2021 di mana Satoru dikatakan telah mengetuk sesuatu dekat dinding rumah hingga menyebabkan jiran lelaki yang tinggal di sebelah rumahnya benar-benar berasa terganggu. Satoru yang sensitif dengan bunyi bising akan melakukan aktiviti ketukan dinding tersebut pada lewat tengah malam hingga waktu pagi keesokan harinya. Keadaan itu telah berlanjutan selama beberapa hari. Tidak jelas mengapa Satoru berbuat sedemikian sedangkan jirannya itu tidak pernah pun membuat bunyi bising. Sampai satu masa, jiran Satoru yang sudah tidak tahan dengan gangguan tersebut membuat keputusan untuk berpindah dari apartment.
Tentang Momona pula, dia yang gemar untuk berswafoto dan
membeli belah adalah seorang penuntut di Universiti Sangyo. Momona digambarkan
sebagai seorang yang sangat baik dan begitu disenangi oleh orang di
sekelilingnya. Malah sepanjang tempoh dia tinggal di bangunan apartment
tersebut, Momona tidak pernah menimbulkan sebarang masalah seperti mengganggu
ketenteraman para penghuni yang lain apatah lagi untuk berbuat bising. Secara
teori, Momona telah dipukul oleh Satoru menggunakan batang besi sebelum ditikam
dikelar dan ditikam dengan lembing.
Susulan pembunuhan Momona, maka timbul persoalan tentang punca sebenar dia menjadi mangsa sasaran Satoru. Tiada sebarang bukti yang menunjukkan Momona dan Satoru pernah bertikam lidah. Bahkan mereka berdua berkemungkinan besar hanya saling mengenali sebagai penduduk apartment, tidak lebih daripada itu. Kini apa yang pasti, motif sebenar pembunuhan Momona kekal menjadi misteri memandangkan Satoru telah pun mati. Boleh jadi juga Satoru membunuh Monoma kerana mengalami masalah penyakit mental.
Catat Ulasan for "ADA APA DENGAN SATORU?"