BAPA TEMUI SEMULA ANAK YANG HILANG DICULIK 24 TAHUN LEPAS
CHINA – Usaha seorang bapa yang menghabiskan sisa-sisa hidup
untuk mencari anak lelakinya yang diculik sejak dari dua dekad lepas ternyata
tidak sia-sia apabila mereka berdua akhirnya kembali bersatu. Orang ramai yang
menyaksikan pertemuan semula beremosi pasangan itu gagal untuk menahan sebak
hingga menitiskan air mata.
Imbas semula kejadian, Guo Xinzhen diculik di luar rumahnya
pada tahun 1997 yakni ketika dia berusia dua tahun. Penculikan tersebut berlaku
di wilayah Shandong. Selepas Xinzhen hilang, bapanya iaitu Guo Gangtang telah
menjelajah ke serata kawasan negara China dengan secara keseluruhan menempuh
perjalanan lebih dari 400 000 kilometer dalam tempoh masa dua dekad hanya
semata-mata untuk mencari anak kesayangannya itu. Misi penjelajahan tersebut
dilakukan oleh Gangtang menggunakan motosikal yang digantung dengan bendera
gambar Xinzhen.
Sepanjang tempoh pencarian Xinzhen, Gangtang telah menempuh pelbagai dugaan. Ini termasuklah mengalami kemalangan hingga patah tulang dan juga menjadi mangsa rompakan di jalanan. Selain itu, dia turut menaruhkan nyawa dengan hanya tidur di bawah jambatan. Pada masa sama, Gangtang berjaya membantu menyelesaikan tujuh kes penculikan kanak-kanak yang lain hingga mangsa dapat bertemu semula dengan ibu bapa mereka. Gangtang yang kini berusia sudah 51 tahun merupakan anggota untuk sebuah organisasi pencarian orang hilang di negara China. Sementara itu, Xinzhen pula dilaporkan bekerja sebagai seorang guru.
Xinzhen sebenarnya berjaya dijejaki pada baru-baru ini
adalah hasil ujian DNA yang telah dilakukan oleh pihak polis. Penculikannya
sebelum ini telah didalangi oleh pasangan kekasih yang dikenalpasti sebagai Mr
Hu dan Ms Tang. Selepas diculik, Xinzhen dibawa menuju ke wilayah Henan untuk
dijual. Xinzhen masih lagi menetap di wilayah berkenaan sewaktu penemuannya
dibuat. Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pihak polis, kedua-dua suspek kini
telah pun dapat ditangkap.
Seperkara yang harus diketahui, filem Lost and Love tahun 2015 yang dibintangi oleh aktor Andy Lau merupakan inspirasi daripada kisah perjuangan Gantang ini. Andy Lau turut meluahkan rasa gembiranya sebaik mendapat tahu berita tentang pertemuan semula Gangtang dan Xinzhen.
Catat Ulasan for "BAPA TEMUI SEMULA ANAK YANG HILANG DICULIK 24 TAHUN LEPAS"