KEADILAN UNTUK LEE HYUN SEOB
Ada apa dengan tagar #justiceforhyunseob yang kini tular di
laman media sosial? Pada 27 Jun 2021 lepas, seorang remaja lelaki berusia 17
tahun bernama Lee Hyun Seob yakni pelajar Gangwon Foreign Language High School
yang terletak di Yanggu-eup, Gangwon-do, Korea Selatan telah mati membunuh diri
dengan cara terjun dari bangunan sekolah kerana menjadi mangsa buli siber. Kes
ini menjadi kontroversi selepas pihak pengurusan sekolah tersebut dikatakan
seolah-olah lepas tangan serta enggan untuk bertanggungjawab sepenuhnya
terhadap kematian Hyun Seob. Perkara ini didedahkan secara umum oleh ibu bapa
Hyun Seob yang turut membuat satu akaun laman Instagram khas untuk mendiang
anak mereka itu. Instagram tersebut disertakan dengan satu pautan petisyen yang
meminta pihak berkuasa yang terbabit untuk menjalankan siasatan secara lebih
telus dan terperinci. Hingga artikel ini ditulis, petisyen itu telah pun berjaya
mendapatkan lebih daripada 300 000 tandatangan.
Surat (kiri) dan teks mesej (kanan) yang ditulis Hyun Seob |
Masih kurang jelas tentang punca sebenar pembulian yang dialami oleh Hyun Seob hingga menyebabkan kematiannya. Namun setakat diketahui, Hyun Seob yang sebelum itu seorang periang menjadi tertekan susulan berita khabar angin tentang dirinya tersebar luas di laman media sosial. Apa yang dapat dipastikan, ada pelajar yang sengaja menyebarkan berita khabar angin tentang Hyun Seob gara-gara berpunca daripada satu insiden salah faham kecil. Lagi menyedihkan Hyun Seob, dia yang tinggal di asrama sekolah tersebut telah dipulau oleh rakan-rakannya. Malah sehari sebelum membunuh diri, Hyun Seob ada berjumpa dengan seorang guru di sekolah itu bagi mengadu mengenai kes buli yang dia alami. Walau bagaimanapun, aduan Hyun Seob tersebut bukan setakat dipandang ringan, malah tiada tindakan selanjutnya yang dilakukan oleh pihak sekolah itu. Seperkara lagi yang harus diketahui yakni pada dua minggu sebelum kejadian, ada pelajar yang telah ternampak Hyun Seob mencederakan dirinya sendiri. Cuma agak mengejutkan apabila insiden tersebut tidak pernah dimaklumkan pun samada kepada guru atau ibu bapa Hyun Seob.
Seperkara lagi yang benar-benar menyentuh emosi adalah
sepucuk surat tulisan Hyun Seob yang ditujukan kepada rakan-rakannya. Surat
yang ditemui sendiri oleh ibu bapanya itu bertulis,
“Kenapa kau fikir aku okay? Aku belum makan apa-apa lagi
sejak dari hari Sabtu. Aku tak boleh melihat langit kerana aku akan menangis
setiap kali berbuat sedemikian. Mereka tak memandang ke arah aku pun dan aku
fikir tidak akan ada harapan untuk keadaan menjadi lebih baik. Khabar angin
sudah pun tersebar seolah-olah ia benar. Jadi, apa lagi yang aku perlu lakukan
kecuali daripada berpura-pura baik-baik saja? Aku memang nak bunuh diri dengan
kelar diri sendiri. Tak apa, selagi kesan kelaran boleh ditutup. Aku okay je
bila keluar dengan korang semua, tapi itu juga mengganggu aku kerana ini
mungkin juga berbahaya untuk korang. Aku memang tidak okay. Tolong aku.”
Ibu bapa Hyun Seob menegaskan kematian anak mereka adalah akibat kecuaian pihak sekolah berkenaan. Lagipun, terdapat laporan mengatakan pihak sekolak tersebut tidak pernah mengambil serius terhadap kes aduan buli yang pernah dilaporkan oleh para pelajar lain pada waktu sebelum kematian Hyun Seob. Segala pendedahan umum yang dibuat oleh ibu bapa Hyun Seob ini juga sebenarnya adalah dengan harapan kes buli siber sebegini wajar diberikan perhatian sepenuhnya oleh pihak berkuasa supaya tidak akan lagi berlaku pada masa yang akan mendatang. Artikel ini diakhiri dengan tulisan teks mesej terakhir yang dihantar Hyun Seob kepada ibunya.
“Ibu..kita jumpa lagi ya nanti di kehidupan yang seterusnya.. dan ibu mesti jadi ibuku lagi. Di kehidupan seterusnya, aku janji..untuk lebih menyayangi ibu, ayah, nenek, atuk dan juga semua keluarga besar kita..Apapun, aku merindui Sanche (anjing peliharaan)..hehehe. Fikir Sanche, terus jadi rindu. Ibu, jaga diri baik-baik dekat sini. Sanche akan menggantikan aku. Kan aku Sanche versi manusia. Hehehe..Ibu, jangan simpan ya barang-barang aku pakai..Jangan..Aku cuma pergi untuk menjadi lebih bahagia..Jadi, di hari pengebumian, ibu harus tersenyum ya! Dan ibu jangan pernah meminta maaf. Ibu adalah ibu yang paling baik. Ibu yang terbaik di dunia ini! Jadi..jangan pernah meminta maaf..hehe..Pesananku seakan jiwa kacau. Ya, tapi sememangnya begitu. Selamat tinggal keluargaku..Moga kita berjumpa lagi.”
Catat Ulasan for "KEADILAN UNTUK LEE HYUN SEOB "