Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH BRUNO FERNANDES : Penjaga Gol yang Berhati Hitam

Bruno Fernandes

    Bruno Fernandes atau nama sebenarnya Bruno Fernandes das Dores de Souza dilahirkan pada 23 Disember 1984 bertempat di Ribeirao das Neves, Minas Gerais, Brazil. Seawal usia 12 tahun, Bruno dipilih untuk memasuki akademi bola sepak Venda Nova di Belo Horizonte. Memandangkan dia mempunyai susuk tubuh badan tegap dan tinggi lampai, maka Bruno pun diletakkan posisi sebagai penjaga gol.

    Bruno melakukan aksi debut bola sepak pertamanya untuk kelab Atletico Mineiro pada tahun 2004 yakni ketika dia berusia 20 tahun. Kecekapan dan ketangkasannya dalam menjaga gawang telah berjaya memikat kelab dari Belanda, AZ Alkmaar. Walau bagaimanapun, Bruno memilih untuk kekal di Brazil dengan menyertai kelab Corinthians. Bruno kemudian membuat keputusan berpindah ke kelab Flamengo secara pinjaman selepas kegagalannya merebut slot sebagai penjaga gawang utama Corinthians. Tahun 2008, Bruno menjadi pemain tetap kelab Flamengo berikutan aksi hebat yang dipamerkannya di atas padang hingga mendapat pujian melambung daripada peminat. Malah, nama Bruno antara yang dikaitkan dengan perpindahan ke kelab handalan Eropah seperti Barcelona dan AC Milan. Bulan Mei 2009, Bruno telah dilantik sebagai kapten kelab Flamengo menggantikan Fabio Luciano yang bersara. Biarpun Bruno dilabel antara penjaga gol Brazil terbaik waktu itu, dia bagaimanapun gagal mendapat tempat dalam skuad kebangsaan Brazil kendalian Dunga. Pada bulan Julai 2010, arena bola sepak Brazil dikejutkan dengan berita penggantungan kontrak Bruno setelah dia disyaki terlibat dengan kes kehilangan dan pembunuhan seorang wanita yang bernama Eliza Samudio (25 tahun).

Eliza Samudio

    Bruno dan Eliza dikatakan mula berkenalan pada 21 Mei 2009 semasa mereka sama-sama menghadiri sebuah parti seks. Tiga bulan berikutnya, Eliza mendakwa telah hamil anak kepada Bruno. Apabila Bruno mendapat tahu tentang perkara tersebut, Bruno enggan untuk bertanggungjawab. Bahkan jika benar sekalipun, Bruno telah menyuruh Eliza supaya menggugurkan kandungannya. Pada masa sama, Bruno ada menjalinkan hubungan sulit dengan Ingrid Cavalcanti yang juga merupakan seorang doktor gigi. Seperkara yang harus diketahui, status Bruno pada waktu ini sudah pun berkahwin dengan seorang wanita bernama Dayana Rodriguez. Bruno juga mempunyai dua orang anak hasil perkahwinannya bersama Dayana.

    Menyedari Bruno seolah-olah melepaskan tangan, Eliza yang enggan mendiamkan diri telah mengambil tindakan undang-undang termasuklah membuat permohonan nafkah daripada lelaki yang pernah berjanji untuk hidup bersama dengannya itu. Perkara tersebut turut didedahkan kepada pihak media di Brazil. 13 Oktober 2009, Eliza membuat laporan polis mengenai insiden penculikannya yang didalangi oleh Bruno dan beberapa orang rakannya. Dakwa Eliza, dia telah dibelasah dan disuruh untuk meminum sejenis ubat. Eliza dipaksa berbuat sedemikian agar dia mengalami keguguran. Lagi menakutkan, Bruno telah mengacu pistol pada bahagian kepala Eliza. Dakwaan Eliza itu bagaimanapun dinafikan sekeras-kerasnya oleh Bruno. Bagi Bruno, semua tuduhan Eliza adalah satu tuduhan tidak berasas sama sekali yang sekadar untuk meraih publisiti murahan.

    Anak Eliza yang dinamakan sebagai Bruninho telah selamat dilahirkan di Sao Paolo pada bulan Februari 2010. Masih tidak dilayan Bruno, Eliza menjaga Bruninho seorang diri dengan bantuan kewangan oleh ibu dan rakan-rakannnya yang baik hati. Beberapa bulan selepas kelahiran Bruninho, Eliza dilaporkan hilang. Apa yang berlaku waktu sebelumnya, Eliza dan Bruninho telah dibawa pergi oleh seorang rakan Bruno yang dikenali sebagai Luiz Romao untuk menuju ke kediaman milik Bruno. Eliza sebelumnya bersetuju mengikut Luiz selepas dia diberitahu akan menerima sejumlah wang daripada Bruno. Setibanya di lokasi, Eliza telah menjadi mangsa belasahan Bruno, Luiz dan Jorge Sales (sepupu Bruno). Selepas dikurung selama hampir seminggu, Eliza dipindahkan ke sebuah rumah lain sebelum dibunuh oleh pembunuh upahan Bruno yang dikenalpasti sebagai Marcos Aparecido iaitu seorang bekas anggota polis. Mayat Eliza telah dikerat kepada beberapa bahagian lalu dijadikan sebagai makanan anjing.

    Mengenai Bruninho, dia yang dilarikan Dayana selamat ditemui oleh pihak polis di sebuah kawasan setinggan Ribeirao das Neves. Sementara itu, Bruno yang bersembunyi hampir sebulan telah menyerah diri kepada pihak polis bertarikh 7 Julai 2010. Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes tahun 2013, Bruno yang didapati bersalah atas pertuduhan melakukan penculikan dan pembunuhan terhadap Eliza dikenakan hukuman penjara selama 22 tahun. Begitu juga dengan Luiz yang dipenjarakan 15 tahun. Marcos selaku pembunuh Eliza pula menerima hukuman penjara paling lama iaitu selama 36 tahun.

    Hasil rayuan yang dibuat oleh peguam Bruno, dia berjaya dibebaskan dari penjara pada tahun 2017. Selepas pembebasan tersebut, dia telah mendapat beberapa tawaran daripada beberapa buah kelab bagi membolehkannya kembali ke arena bola sepak yang ternyata mencetuskan kemarahan ramai pihak. Bruno sempat beraksi dalam beberapa perlawanan untuk kelab Boa Esporte Clube sebelum ditangkap semula oleh pihak berkuasa. Bulan Julai 2019, Bruno sekali lagi dibebaskan dengan sistem penjara separuh. Banduan yang dipenjarakan dengan sistem sebegini dibenarkan untuk tidur di rumah.

    Bruninho kini dijaga spenuhnya oleh ibu Eliza, Sonia Moura. Paling menyedihkan, mayat Eliza langsung tidak pernah ditemui hingga pada hari ini. 

Catat Ulasan for "KISAH BRUNO FERNANDES : Penjaga Gol yang Berhati Hitam"