Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH CAMERON HERRIN : Jejaka Tampan yang Tular di Tiktok

    Baru-baru ini, nama Cameron Herrin mula mendapat perhatian orang ramai selepas videonya yang sedang dibicarakan di mahkamah menjadi tular di laman media sosial. Cameron adalah seorang lelaki muda berusia 21 tahun yang dijatuhkan hukuman penjara selama 24 tahun kerana telah mengakibatkan kematian dua anak beranak pada tahun 2018 ketika dia sedang berlumba kereta. Penyebab video Cameron menjadi tular sama saja seperti kes Isabella Guzman. Jika Isabella adalah seorang perempuan yang cantik, Cameron pula merupakan seorang lelaki yang tampan. Ketampanan Cameron tersebut telah menyebabkan sesetengah kaum wanita di luar sana memberikan pendapat bahawa dia wajar diberikan peluang kedua dengan tidak dihukum penjara untuk satu tempoh yang lama.

    Mengenai Cameron, dia yang tinggal di Tampa adalah anak kepada pasangan suami isteri yang bernama Chris dan Cheryl Herrin. Chris merupakan bekas seorang videografer manakala Cheryl pula seorang pesara eksekutif insurans. Selain itu, Cameron mempunyai seorang abang lelaki, Tristan. Tahun 2018 yakni bersamaan dengan 21 Mei, Cameron telah dihadiahkan oleh ibu bapanya sebuah kereta mewah iaitu Ford Mustang GT berwarna hitam. Dua hari berikutnya, Cameron dan Tristan menaiki kereta tersebut untuk menuju ke gimnasium. Cameron selaku pemandu, Tristan penumpang. Turut serta adalah seorang rakan mereka berdua yang dikenali sebagai John Barrineau yang menaiki kereta secara berasingan dengan memandu Nissan Altima.

David, Jessica dan Lillia

    Ketika kereta yang dipandu oleh Cameron dan John berhenti di sebuah persimpangan lampu isyarat, mereka berdua telah bersepakat untuk berlumba. Sebaik lampu hijau menyala, maka bermulalah sesi perlumbaan itu. Pada masa sama, seorang wanita bernama Jessica Reisinger-Raubenolt (24 tahun) sedang melintas jalan bersama bayi perempuannya iaitu Lillia (1 tahun). Jadi apa yang berlaku kemudian, Cameron telah terlanggar Jessica dan Lillia dengan purata kelajuan 100mph. Akibat pelanggaran yang dahsyat tersebut, Jessica mati serta merta di lokasi kejadian manakala Lillia disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital.

    Susulan kematian Jessica dan Lillia, maka Cameron pun ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan lanjut. Begitu juga dengan Tristan dan John. Namun disebabkan Cameron masih lagi berada di bawah umur pada waktu itu, pihak mahkamah memutuskan untuk menangguh keputusan perbicaraannya hingga tahun 2021. Seperkara yang dapat dipastikan, rekod data daripada sistem navigasi kereta Cameron mencatat beberapa rekod kelajuan pada waktu sebelum kejadian pelanggaran berlaku.

    Hinggalah bulan April 2021, Cameron yang didapati bersalah atas kesalahan membunuh tanpa niat dan berlumba secara haram telah dijatuhkan hukuman penjara selama 24 tahun. Waktu sebelumnya, suami mendiang Jessica yang bernama David William Raubenolt telah meminta pihak mahkamah supaya Cameron dihukum dengan tempoh paling maksimum 30 tahun penjara. Menurut kedua-dua orang tua Cameron, semua yang berlaku hanyalah sekadar satu kemalangan yang tidak disengajakan. Lagipun Cameron adalah seorang anak yang sangat baik, tidak bermasalah dan begitu disenangi oleh orang-orang di sekelilingnya. Terdapat laporan media yang melaporkan Chris dan Cheryl sanggup menjual rumah mereka bagi membiayai kos guaman Cameron. Berkenaan dengan John, dia yang sempat mengelak daripada melanggar Jessica dan Lillia hanya dihukum penjara selama 6 tahun.

    Pendapat pembaca, adakah pesalah seperti Cameron perlu diberikan peluang kedua? Mungkin ada benarnya untuk perkara itu. Namun cuba fikirkan bagaimana dengan nasib David di mana dia telah kehilangan isteri dan anak tercinta yang telah pun pergi buat selama-lamanya. 

2 ulasan for "KISAH CAMERON HERRIN : Jejaka Tampan yang Tular di Tiktok"

  1. Peluang kedua la tu 24 tahun penjara
    Bukan dihukum gantung sampai mati
    Keluar penjara 45 tahun..masih boleh jalani kehidupan..
    Pada yang menyokong tu..hentikanlah..tidak kena keluarga sendiri cakap la macam²..nanti terkena menyalak macam anjing gila

    BalasPadam
  2. Dia memandu laju sbb berlumba kan? So mmg dia bersalah la. X kira la parents dia bagi alasan dia anak baik, disenangi semua org ke yg salah tetap salah. Patutnya kena berat lagi hukuman tu

    BalasPadam