KISAH JESSICA CAMILLERI : Penangan Filem Jeeper Creepers
Rita Camilerri |
Pada tahun 2019, Rita Camilleri adalah seorang ibu tunggal
kepada dua orang anak perempuan. Anak pertamanya iaitu Christy membesar dalam
keadaan sihat. Dalam erti kata lain, Christy tidak mempunyai sebarang masalah
samada daripada segi mental atau fizikal. Walau bagaimanapun, lain pula
ceritanya dengan anak kedua Rita bernama Jessica yang mengalami pelbagai jenis
penyakit sejak dari kecil lagi seperti kekurangan daya
intelektual, gangguan spektrum autisme dan penyakit mental bipolar. Selain itu,
Jessica yang juga merupakan seorang narsistik mempunyai masalah kemarahan
membuak secara tidak berkala (intermittent explosive disorder) yang boleh
menyebabkannya bertindak agresif hingga ke tahap membunuh meskipun hanya
berpunca daripada perkara remeh temeh. Disebabkan sikap pemarahnya itu, Jessica
pernah terpaksa diberhentikan daripada alam persekolahan kerana menyerang
rakan-rakan dan juga cikgunya.
Selepas ibu bapanya bercerai, Jessica telah tinggal berdua bersama dengan Rita. Mengenai Christy, dia telah keluar dari rumah setelah mendirikan rumah tangga. Di rumahnya, Jessica mempunyai tabiat untuk menonton filem seram yang sama secara berulang kali. Filem seram yang ditontonnya selama berjam-jam itu bukanlah berunsurkan seram hantu ataupun seram misteri. Namun sebaliknya adalah filem seram pembunuhan ganas berdarah seperti filem Saw, The Texas Chainsaw Massacre serta Jeeper Creepers. Jessica kebiasaannya akan mengulang tayang berkali-kali babak penyeksaan atau pembunuhan ngeri filem-filem tersebut.
Satu lagi perangai Jessica, dia suka menelefon orang sesuka hati dengan membuat panggilan secara rawak. Setiap kali panggilannya dijawab oleh orang lelaki, Jessica akan bercakap dengan nada sopan. Jika perempuan yang menjawab, mereka akan dimarahi dan menerima makian daripada Jessica. Malah Jessica turut mengugut untuk mengerat kepala mereka. Tahun 2018, Jessica telah menelefon sebuah restoran daging di mana kemudiannya dia jatuh hati apabila mendengar suara pemilik restoran berkenaan yang dikenali sebagai Matthew Layfield. Jessica juga akan berasa marah jika Matthew tidak mengangkat panggilan telefonnya. Hinggalah satu ketika, Jessica yang berjaya menjejaki nombor telefon isteri dan kakak ipar Matthew telah memberi ancaman untuk menjadikan mereka sebagai mangsa pembunuhannya. Bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku, Matthew mengambil langkah awal dengan menghubungi Rita supaya menasihati Jessica untuk tidak lagi membuat sebarang gangguan telefon.
Seperkara yang harus diketahui yakni pada tahun 2018,
Jessica pernah ditahan di hospital sakit jiwa selama sembilan hari akibat
masalah penyakit mental yang dialaminya. Biarpun dia diberikan pelbagai jenis
ubat sebagai alternatif rawatan, Jessica telah berhenti daripada pengambilan
semua ubat tersebut pada penghujung tahun yang sama. Keadaan ini sekaligus menyebabkan
emosi Jessica menjadi semakin tidak stabil. Dia paling benci jika Rita
memberikan perhatian terhadap orang lain selain daripada dirinya.
Pada 20 Julai 2019, seorang pakar psikiatri telah pergi ke
rumah Rita untuk memeriksa keadaan Jessica yang semakin agresif. Namun pakar
psikiatri tersebut berlari keluar semula dari rumah selepas Jessica cuba untuk
menyerangnya. Malam hari yang sama, Rita telah membuat percubaan untuk
menghubungi pihak ambulans dengan menyuruh mereka datang ke rumah bagi mengambil
Jessica yang berusia 25 tahun pada waktu tersebut. Belum sempat Rita berbuat
sedemikian, dia telah ditikam lebih daripada 100 kali oleh Jessica pada
bahagian muka dan leher dengan menggunakan pisau dapur. Lagi mengerikan apabila
Jessica mengerat kepala, hidung dan lidah ibunya itu. Bola mata Rita turut
dicungkil keluar. Sesudah itu, Jessica pun keluar dari rumah sambil membawa
kepala Rita sebelum meminta bantuan daripada salah seorang jiran terdekat untuk
menghubungi talian kecemasan.
Setibanya pihak polis di lokasi kejadian, Jessica yang berlumuran dengan darah mendakwa dia melakukan pembunuhan tersebut adalah kerana untuk mempertahankan diri. Jessica yang langsung tidak menunjukkan sebarang tanda penyesalan sempat menyoal pihak polis samada ibunya boleh dihidupkan semula jika kepalanya kembali disambung. Hasil pemeriksaan dalam rumah Jessica, pihak polis telah menemui bahagian tubuh badan Rita yang lain di ruang dapur. Susulan penemuan mayat Rita itu, Jessica pun terus ditahan oleh pihak polis.
Berhubung dengan keputusan perbicaraan kes Jessica pada bulan Mac lepas, dia yang didapati bersalah melakukan pembunuhan tanpa niat telah dijatuhkan hukuman penjara selama 21 tahun dan tujuh bulan. Apa yang pasti, Jessica membunuh Rita secara kejam dan ngeri tersebut adalah akibat pengaruh daripada filem Saw, The Texas Chainsaw Massacre dan Jeeper Creepers yang ditontonnya.
Catat Ulasan for "KISAH JESSICA CAMILLERI : Penangan Filem Jeeper Creepers "