KISAH PAZUZU ALGARAD : Syaitan di Depan Mata
John Alexander Lawson dilahirkan pada tahun 1978 bertempat
di San Franciso, California, Amerika Syarikat. Tidak banyak yang diketahui
tentang zaman kanak-kanak John. Namun selepas ibu bapanya bercerai pada tahun
1990, John telah pergi mengikut ibunya berpindah ke Clemens, North Carolina.
Tahun 1998, ibu John iaitu Cynthia yang berkahwin lain telah keluar dari rumah
untuk tinggal bersama dengan suami barunya itu. Maka, John pun hidup
bersendirian di rumah. Menurut Cynthia, John mengidap sakit mental sejak dari
usia mudanya seperti kemurungan, skizofrenia dan mengalami penyakit agorafobia.
Dia bagaimanapun tidak dapat untuk menjalani rawatan psikiatri secara
berterusan akibat masalah kewangan yang dialami oleh Cynthia.
Pada tahun 2002, John secara rasmi menukar namanya sebagai
Pazuzu Illah Algarad. Seperkara yang harus diketahui, nama Pazuzu tersebut
adalah nama syaitan dalam filem seram The Exorcist. Selepas menukar namanya,
Pazuzu mula mengamalkan ajaran sesat dengan melakukan pemujaan syaitan. Dia
yang menajamkan gigi serta mencacah tatu pada bahagian muka mendakwa mempunyai
kebolehan untuk mengawal cuaca. Rata-rata pengikut Pazuzu merupakan terdiri
daripada golongan gelandangan, penagih dadah dan penganggur. Rumah Pazuzu telah
menjadi sarang para pengikutnya untuk melakukan upacara mencederakan diri,
korban haiwan, meminum darah haiwan, menghisap dadah dan pesta seks liar.
Bayangkan, rumah Pazuzu begitu busuk kerana ruang dalamnya dipenuhi dengan bangkai haiwan dan najis manusia dan haiwan yang dibiarkan begitu saja. Tiada satu tempat dalam rumah Pazuzu pun yang bersih. Apabila tingkap rumah Pazuzu dibuka, ribuan lalat akan berterbangan. Bahagian dinding rumah pula menjadi tempat contengan dan lukisan simbol pentagram. Pazuzu sendiri adalah seorang yang pengotor di mana dia hanya mandi sekali dalam setahun dan langsung tidak pernah memberus giginya.
Pazuzu pernah ditangkap pada tahun 2010 kerana disyaki
bersubahat melakukan pembunuhan terhadap seorang lelaki berusia 30 tahun
bernama Joseph Chandler yang telah mati dibunuh dengan cara tembakan. Walau
bagaimanapun, Pazuzu yang kemudian dibebaskan diletakkan di bawah tempoh
percubaan. Salah seorang pengikut Pazuzu yang didapati bersalah membunuh Joseph
telah dihukum penjara.
Pazuzu ditangkap kali oleh pihak polis buat kali kedua pada bulan Oktober 2014. Penangkapan tersebut dibuat selepas pihak polis menerima maklumat daripada individu tertentu. Turut ditahan kerana disyaki bersubahat adalah dua orang pengikut wanita Pazuzu yang dikenali sebagai Amber Burch dan Krystal Matlock. Hasil pencarian dan pemeriksaan, pihak polis telah menemui dua rangka manusia dalam kubur cetek yang terletak di halaman belakang rumah Pazuzu. Dua mayat yang ditemui itu dikenalpasti sebagai Joshua Frederick Wetzler dan Tommy Dean Welch yakni individu yang hilang sejak dari tahun 2009. Apa yang dapat dipastikan, mereka berdua yang diculik telah mati akibat ditembak pada bahagian kepala sebelum dijadikan sebagai mangsa upacara korban. Joshua dibunuh Pazuzu manakala Tommy dibunuh Amber.
Amber Burch dan Krystal Matlock |
Belum sempat dihukum, Pazuzu telah ditemui mati pada bulan Oktober 2015 dalam penjara akibat bunuh diri dengan cara kelaran mendalam pada bahagian lengan kirinya. Sementara itu, Amber yang didapati bersalah melakukan pembunuhan peringkat kedua dan rompakan bersenjata dijatuhkan hukuman penjara selama 30 tahun. Krystal yang menerima pertuduhan terlibat dengan konspirasi pembunuhan pula dipenjarakan minimum selama tiga tahun. Lima bulan sebelum kematian Pazuzu, rumahnya telah dirobohkan kerana terlalu menjijikkan.
Saksikan sendiri trailer dokumentari tentang Pazuzu yang berjudul The Devil You Know di sini.
Catat Ulasan for "KISAH PAZUZU ALGARAD : Syaitan di Depan Mata "