KISAH PEMBUNUHAN ANNA BUI : Dendam Bekas Seorang Teman Lelaki
Allen Ivanov |
Pada tahun 2016, Allen Christopher Ivanov merupakan seorang
jurutera perisian berusia 19 tahun yang menuntut di Universiti Washington
Bothell, Amerika Syarikat. Ibu bapa angkat Allen iaitu Dmitry dan Anna Ivanoc adalah
pasangan suami isteri kaya raya yang berasal dari negara Rusia. Allen disayangi
bagai menatang minyak yang penuh oleh ibu bapa angkatnya itu hingga apa saja
kemahuannya akan dituruti.
Di universiti, Allen menjadi kegilaan ramai wanita disebabkan
paras rupanya yang tampan berserta statusnya sebagai anak orang kaya. Namun
semua itu tidak menghalang Allen untuk kekal setia dengan teman wanitanya bernama
Anna Bui yakni gadis seusia yang dikenali sejak dari zaman sekolah menengah
lagi. Seperkara yang harus diketahui, Anna yang turut belajar di Universiti
Washington Bothell adalah teman wanita pertama dalam hidup Allen. Mereka berdua
dilihat sebagai pasangan secocok yang saling mencintai antara satu sama lain.
Malah, Anna begitu bertuah kerana sering dihadiahkan oleh Allen dengan barangan
yang mahal dan mewah. Sedikit tentang perwatakan Anna, dia dikatakan seorang
gadis baik, peramah dan begitu disenangi oleh orang-orang di sekelilingnya.
Allen dan Anna |
Selepas setahun berhubungan, Allen dan Anna akhirnya berpisah. Tidak jelas tentang punca sebenar perpisahan tersebut. Namun apa yang dapat dipastikan, Allen yang memutuskan perhubungan. Anna pada mulanya benar-benar berasa sedih dan kecewa kerana ditinggalkan oleh Allen. Walau bagaimanapun, Anna telah mendapat kekuatan untuk menempuh kembali kehidupannya dalam tempoh masa seminggu selepas perpisahan. Dalam erti kata lain, dia sudah berjaya “move on”. Lain pula ceritanya dengan Allen. Dia yang menyesal dengan tindakannya untuk berpisah dengan Anna telah mengalami kemurungan. Disebabkan sukar untuk menerima kenyataan, maka Allen cuba memujuk Anna supaya kembali bersamanya. Jawapan Anna? Tidak sama sekali kerana dia ingin memberi tumpuan terhadap pelajarannya. Perkara ini telah menyebabkan Allen berasa marah. Apatah lagi Anna boleh “move on” pada masa yang begitu singkat. Daripada rasa sayang, perasaan Allen kepada Anna bertukar menjadi kebencian.
Anna Bui |
Pada 30 Julai 2016, Anna dan Allen pergi ke rumah seorang rakan mereka yang terletak di Mulkiteo, Washington sempena sebuah parti pertemuan semula. Parti tersebut telah dihadiri lebih kurang seramai 20 orang lagi rakan Anna dan Allen yang lain. Semasa berparti, Anna sempat dipujuk Allen agar mereka berdua berhubungan semula. Sekali lagi, pujukan Allen ditolak mentah-mentah oleh Anna. Selepas itu, Allen yang merajuk terus keluar dari rumah berkenaan lalu duduk menunggu di dalam keretanya. Kira-kira hampir dua jam kemudian, Allen melangkah keluar dari kereta sambil memegang senapang jenis Rifle yang dia telah beli pada seminggu sebelumnya. Dia berniat masuk semula ke dalam rumah tersebut untuk membunuh Anna. Sebelum menembak Anna, Allen telah melepaskan tembakan kepada tiga orang rakannya yang ada berada di luar rumah pada waktu itu. Mereka yang ditembak Allen adalah Jake Long (19 tahun), Jordan Ebner (19 tahun) dan Will Kramer (18 tahun). Jake dan Jordan mati serta merta di lokasi kejadian, manakala Will pula mengalami kecederaan parah. Sesudah itu, Anna mati ditembak berkali-kali oleh Allen ketika dia sedang duduk di meja makan dapur.
Semua orang yang melihat insiden terbabit terus lari
bertempiaran keluar dari rumah. Allen kemudian menuju ke arah balkoni di
tingkat atas rumah lalu melepaskan tembakan secara rambang. Mujur sajalah
tembakan Allen tidak mengenai sesiapa. Setelah kehabisan peluru, Allen bergegas
menaiki keretanya untuk melarikan diri. Walau bagaimanapun, dia berjaya ditangkap
oleh pihak polis di jalan raya berjarak 160 kilometer dari lokasi kejadian.
Turut ditemui dalam kereta Allen, senjata api yang digunakannya untuk melakukan
pembunuhan. Seperkara harus diketahui, dia pernah memuatnaik foto senjata api
tersebut di laman akaun Instagram miliknya pada waktu sebelum kejadian. Pihak
polis juga mempercayai bahawa pembunuhan Anna adalah satu pembunuhan terancang
berdasarkan pemeriksaan pada teks mesej yang Allen pernah hantar kepada
rakannya.
Mangsa yang terkorban |
Sewaktu awal penangkapannya, Allen memberitahu kepada pihak polis bahawa semua pembunuhan itu adalah berlaku secara tidak sengaja. Dia juga tidak mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh dan cubaan membunuh yang dikenakan terhadapnya. Hanya pada perbicaraan kes pada bulan Disember 2016, barulah Allen membuat pengakuan bersalah sepenuhnya selepas ditekan pihak pendakwaan untuk menerima hukuman mati. Rentetan daripada perkara itu, Allen pun dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa mempunyai sebarang peluang pembebasan secara bersyarat.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN ANNA BUI : Dendam Bekas Seorang Teman Lelaki"