Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM JACOB WETTERLING

Jacob Wetterling

    Pada 22 Oktober tahun 1989 yakni bersamaan dengan jam sekitar 9 malam, seorang budak lelaki berusia 11 tahun bernama Jacob Wetterling yang berasal dari St. Joseph, Minnesota telah meminta keizinan daripada ibu bapanya melalui panggilan telefon untuk keluar dari rumah bagi menuju ke sebuah kedai sewa pita video. Waktu itu, ibu bapa Jacob iaitu Jerry dan Patty Wetterling ada berada di rumah rakan mereka sempena majlis makan malam. Pada mulanya, Patty tidak membenarkan Jacob dan adiknya keluar pada waktu malam sebegitu memandangkan keadaan jalan yang berhampiran dengan rumah mereka adalah terlalu sunyi dan gelap. Jacob bagaimanapun keluar juga dari rumah selepas dia berjaya meyakinkan bapanya bahawa tiada apa-apa yang perlu dirisaukan.

    Maka Jacob pun pergi ke kedai sewa video berkenaan bersama adiknya yang bernama Trevor (10 tahun) dengan menaiki basikal. Turut serta bersama mereka adalah Aaron Larson (10 tahun) yang juga merupakan rakan baik Jacob. Namun apa yang berlaku kemudian, mereka bertiga telah ditahan oleh seorang lelaki bertopeng semasa dalam perjalanan pulang semula ke rumah. Jacob, Trevor dan Aaron diarahkan untuk turun dari basikal sebelum disuruh untuk memusingkan badan mereka. Sebaik mendapat tahu umur setiap seorang daripada mereka, lelaki bertopeng yang memegang pistol itu telah menyuruh Trevor untuk melarikan diri ke arah hutan berhampiran tanpa menoleh ke belakang. Ingkar arahan, lelaki bertopeng tersebut mengugut untuk melepaskan das tembakan. Selepas itu, Jacob dan Aaron diberitahu untuk berpusing ke depan. Kali ini, giliran Aaron pula disuruh untuk berlari serta diberikan amaran yang sama seperti yang diterima Trevor. Mengenai Jacob, dia bernasib malang apabila telah menjadi mangsa penculikan lelaki bertopeng terbabit.

Ibu bapa Jacob

    Sementara itu, Trevor dan Aaron yang berada dalam keadaan ketakutan terus memaklumkan insiden tersebut kepada ibu bapa mereka yang seterusnya pergi membuat laporan polis tentang kehilangan Jacob. Bertindak atas laporan itu, pihak polis yang tidak melengahkan masa pantas melancarkan operasi gerakan mencari Jacob dan si penculik. Walaupun operasi pencarian tersebut dilakukan secara besar-besaran, tiada sebarang petunjuk penting yang dapat ditemui untuk mengesan lokasi Jacob. Selama bertahun-tahun kehilangan Jacob, Patty akan duduk di kerusi ruang tamu rumah pada setiap waktu malam untuk menanti kepulangan semula anak lelakinya itu. Penantian satu penyeksaan. Kes Jacob terus menjadi semakin dingin.

    Tahun 2010, Joy Baker iaitu seorang Blogger telah memuatnaik entri pertama pada laman blog miliknya mengenai kisah kehilangan Jacob. Joy yang berusia 22 tahun sewaktu insiden penculikan Jacob berlaku tekad untuk menyelesaikan kes tersebut. Lagipun, dia memang mengikuti perkembangan siasatan kes itu sejak dari dulu lagi. Jadi, dia pun melakukan siasatannya yang tersendiri. Tahun 2004, ada seorang lelaki dikenali sebagai Jared Scheierl telah tampil memberi keterangan tentang dirinya pernah menjadi mangsa penculikan oleh seorang lelaki bertopeng yang bersenjatakan pistol. Menurut Jared, kejadian tersebut berlaku pada sembilan bulan sebelum Jacob diculik. Cerita Jared lagi, dia yang berusia 12 tahun ketika itu telah ditegur oleh si penculik yang berpura-pura bertanyakan tentang arah jalan. Jared seterusnya diheret masuk ke dalam kereta penculik lalu dibawa ke sebuah kawasan terpencil. Di situ Jared diserang secara seksual sebelum dilepaskan semula oleh penculik. Petunjuk paling penting, penculik tersebut ada menyebut ayat,

    “Jangan pandang belakang.”

    Joy meyakini bahawa insiden penculikan Jacob dan penculikan Jared adalah didalangi oleh individu yang sama. Rentetan daripada perkara itu, Joy telah pergi bersemuka dengan Jared bagi mendapatkan butiran cerita yang lebih terperinci. Bermula dari situ, mereka berdua saling bekerjasama dalam melakukan penyiasatan. Hasil siasatan Joy dan Jared mendapati terdapat beberapa kes serangan seksual lelaki bertopeng yang berlaku pada tahun 1980an di sekitar kawasan kejadian penculikan Jacob. Cumanya Joy berasa agak kecewa kerana pihak polis kekal dengan pendirian mereka yang mempercayai kesemua insiden penculikan seperti yang dinyatakan adalah tidak saling berkaitan antara satu sama lain.

Joy dan Jared

    Pihak FBI akhirnya terpaksa akur untuk membuka semula kertas siasatan kes Jacob selepas menerima desakan daripada pelbagai pihak susulan kemunculan Joy dan Jared dalam sebuah rancangan dokumentari televisyen berjudul The Hunt terbitan CNN yang dihoskan oleh John Walsh. Disebabkan itu, bukti DNA dari kes serangan Jared sebelum ini telah diuji semula pada tahun 2015. Keputusan ujian DNA tersebut didapati sepadan dengan seorang lelaki yang dikenali sebagai Danny James Heinrich. Walaupun Danny sudah tidak boleh lagi didakwa atas kesalahan menyerang Jared secara seksual berikutan had statut untuk kes ini sudah pun tamat tempoh, pihak polis tetap berjaya mendapatkan waran penggeledahan. Berdasarkan pemeriksaan yang pihak polis lakukan di rumah Danny, mereka telah menemui bahan pornografi kanak-kanak. Seperkara yang perlu diketahui, Danny sebenarnya pernah ditahan disoal siasat oleh pihak FBI pada bulan Disember 1989 tetapi dibebaskan kerana tiada sebarang bukti untuk mengaitkannya dengan kehilangan Jacob.

    Berbalik dengan cerita penangkapan Danny, dia bersetuju untuk membuat pengakuan tentang pembunuhan Jacob serta menunjukkan lokasi penanaman mayatnya. Harus diingatkan, pengakuan yang dibuat Danny itu adalah hasil rundingan pertuduhan yang telah ditawarkan oleh pihak polis. Perkara ini bermaksud Danny hanya akan didakwa atas kesalahan memiliki bahan pornografi kanak-kanak sahaja. Bulan Disember 2016, mayat Jacob ditemui ditanam di sebuah kawasan berjarak kira-kira 53 kilometer dari rumahnya. Dia telah mati dibunuh Danny pada malam kejadian dengan cara tembakan pistol. Penantian keluarga Jacob selama hampir 27 tahun akhirnya terjawab jua.

Danny James Heinrich

    Dalam satu sidang media, Patty berkata :

    “Ingin saya katakan kepada Jacob, saya benar-benar meminta maaf. Sungguh menyakitkan untuk mengetahui hari terakhir, jam terakhir dan minit terakhir yang dilalui Jacob. Kami semua sayang kamu Jacob, kami akan terus berjuang. Hati kami semua terluka.”

    Patty juga sangat menghargai segala usaha Joy dan Jared yang lakukan hingga dapat menyelesaikan kes yang sukar itu. Tentang Danny, dia yang didapati bersalah memiliki bahan pornografi kanak-kanak telah dijatuhkan hukuman maksimum 20 tahun penjara.

1 ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM JACOB WETTERLING"