KISAH PEMBUNUHAN KEJAM KELUARGA LIN
Pada pagi 18 Julai 2009, seorang wanita bernama Kathy Xie
telah pergi ke rumah abangnya iaitu Norman Lin (45 tahun) yang jaraknya hanya
selang beberapa buah rumah. Setibanya di kawasan rumah Norman, Kathy yang
ditemani suaminya bernama Robert Xie (53 tahun) terus berasa curiga sebaik
mendapati kedai surat akhbar milik abangnya itu tidak dibuka. Apabila Kathy dan
Robert melakukan pemeriksaan dalam rumah Norman, mereka berdua telah dikejutkan
dengan satu penemuan yang benar-benar mengerikan. Norman dan empat lagi anggota
keluarganya ditemui mati dalam keadaan berlumuran dengan darah dipercayai
akibat dibunuh dengan cara hentakan tukul dan cekikan leher. Selain Norman,
turut terkorban adalah isteri Norman iaitu Lily Lin (43 tahun), dua orang anak
lelaki Norman bernama Henry (12 tahun) dan Terry (9 tahun) serta adik Lily yang
dikenali sebagai Irene Lin (39 tahun). Seperkara yang harus diketahui, hanya
ada seorang saja mangsa yang terselamat iaitu Brenda Lin yakni anak perempuan
Norman yang berusia 15 tahun. Dia bernasib baik kerana pada waktu kejadian dia telah
pergi menghadiri sebuah program yang dianjurkan oleh pihak sekolahnya.
Robert dan Kathy |
Susulan penemuan mayat tersebut, Kathy yang ketakutan pun terus menghubungi pihak talian kecemasan. Sementara itu, Robert pula bergegas untuk beredar pergi bagi memaklumkan perkara berkenaan kepada ibu bapa mentuanya. Mengenai Brenda, dia dikatakan mendapat tahu tentang berita buruk yang menimpa keluarganya itu melalui laman Facebook. Tidak dapat digambarkan kesedihan yang telah dilalui oleh Brenda. Selepas pengebumian anggota keluarganya, Brenda tinggal bersama dengan Kathy dan Robert. Perusahaan kedai surat akhbar keluarga Brenda sebelum ini juga telah diambil alih serta diuruskan sepenuhnya oleh kedua-dua ibu bapa saudaranya itu.
Berdasarkan siasatan awal yang dilakukan oleh pihak
mendapati insiden pembunuhan tersebut tidak mempunyai sebarang unsur rompakan.
Perkara ini adalah kerana tiada sebarang tanda pecah masuk rumah mahupun barangan
berharga yang hilang di lokasi kejadian. Selain itu, pembunuh yang dipercayai
melakukan pembunuhan secara bersendirian ini mahir dengan setiap selok belok
dalam rumah keluarga Lin. Dia juga tidak memasuki bilik Brenda sekaligus menandakan
si pembunuh tersebut jelas mengetahui tentang ketiadaan Brenda pada waktu
kejadian.
Brenda |
Menerusi siasatan yang lebih terperinci, pihak polis telah mengesyaki Robert sebagai suspek utama pembunuhan. Dia diyakini sebagai pembunuh selepas pihak polis mengambil kira situasi yang berlaku sewaktu penemuan mayat anggota keluarga Lin pada hari kejadian di mana Robert beredar pergi meninggalkan isterinya bersendirian. Bila difikir secara logik, bagaimana Robert boleh melangkah keluar dari rumah keluarga Lin dalam keadaan tenang tanpa memikirkan soal keselamatan Kathy melainkan dia sendiri adalah pembunuh. Ternyata, tekaan pihak polis adalah tepat susulan kasut Sneakers milik Robert didapati sepadan dengan kesan tapak kasut yang ada dalam rumah keluarga Lin. Lain-lain penemuan bukti penting, terdapat titisan darah yang telah dikesan di bahagian garaj rumah Robert. Hasil ujian makmal mengesahkan DNA darah itu adalah milik empat daripada lima mangsa.
Robert ditangkap pada bulan Mei 2011 dengan dikenakan lima pertuduhan membunuh. Selepas penangkapan tersebut, Brenda telah membuka mulut tentang dirinya yang menjadi mangsa cabul bapa saudaranya itu. Menurut Brenda, Robert mencabulnya sejak sebelum kejadian pembunuhan lagi. Keadaan bertambah menjadi buruk apabila Brenda menetap bersama Robert selepas kematian keluarganya. Tentang apa yang dilakukan Robert semasa hari kejadian, dia dikatakan memberi Kathy ubat penenang sebelum keluar dari rumah. Setelah berjaya menyelinap masuk ke dalam rumah keluarga Lin, Robert telah memutuskan bekalan elektrik terlebih dahulu lalu membunuh seorang demi seorang mangsa. Motifnya tidak lain tidak bukan kerana berasa cemburu dengan status abang iparnya sebagai usahawan yang berjaya. Robert yang juga merupakan bekas doktor berasa sangat malu kerana perniagaan restoran yang diusahakannya tidak menjadi seperti yang diharapkan. Pada masa sama, dia tertarik dengan Brenda. Hanya dengan kematian keluarga Lin, maka Robert akan mendapat dua benda yang diimpikannya. Pertama, perniagaan keluarga Lin. Kedua, Brenda.
Berhubung dengan keputusan perbicaraan pada bulan Januari 2017, Robert yang didapati bersalah telah dijatuhkan lima hukuman penjara seumur hidup tanpa sebarang peluang pembebasan bersyarat. Hingga pada hari ini, Robert kekal dengan pendiriannya yang tidak bersalah. Begitu juga dengan Kathy yang menyokong kenyataan Robert.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM KELUARGA LIN"