KISAH PEMBUNUHAN KEJAM RANEEM OUDEH DAN KHAOLA SALEEM
Khaola (kiri) dan Raneem (kanan) |
Raneem Oudeh merupakan seorang wanita berketurunan Syria
yang dilahirkan pada tahun 1994. Pada tahun 2014, dia yang berusia 20 tahun telah
berpindah ke England susulan konflik peperangan yang melanda Syria. Waktu
tersebut, Raneem adalah wanita berstatus janda yang mempunyai seorang anak
lelaki. Sampai di England, Raneem berhasrat untuk melanjutkan pengajiannya.
Jadi, anak Raneem telah dijaga oleh ibunya iaitu Khaola Saleem yang sudah
bertahun-tahun lamanya menetap di Birmingham.
Raneem kemudian belajar di kolej Solihull yang terletak di
West Midlands. Di situ, dia telah berkenalan dengan seorang lelaki kacak bernama
Janbaz Tarin yang berasal dari negara Afghanistan. Mereka berdua seterusnya menjalinkan
hubungan sebagai pasangan kekasih sebelum masing-masing membuat keputusan untuk
bernikah secara kecil-kecilan pada tahun 2016. Seperkara yang harus diketahui,
status Raneem dan Janbaz sebagai pasangan suami isteri adalah sah daripada sisi
agama saja kerana mereka tidak mendaftarkan pernikahan itu di bawah
undang-undang England. Selepas bernikah, Janbaz dilihat mendominasi perhubungan
kerana sikap mengongkongnya. Dalam erti kata lain, dia bukan suami yang baik kepada
Raneem dengan karakternya yang begitu kasar, panas baran, narsis dan kaki joli.
Raneem pernah dinasihati oleh saudara terdekatnya supaya meminta cerai daripada
Janbaz. Walau bagaimanapun, Raneem enggan berbuat sedemikian atas statusnya
sebelum ini yang juga seorang janda. Dia tidak ingin dilihat sebagai seorang
isteri yang gagal. Paling menakutkan Raneem, dia diugut bunuh oleh Janbaz jika
berhasrat untuk meninggalkan suaminya itu. Malah, Janbaz turut membuat ugutan
untuk membunuh Khaola sekali.
Janbaz Tarin |
Sekitar tahun 2017, Raneem mendapat tahu bahawa Janbaz telah melakukan satu-satu pengkhianatan besar terhadap dirinya. Rupa-rupanya, Janbaz bukanlah lelaki bujang seperti yang diakuinya pada waktu sebelum pernikahan mereka. Janbaz sebenarnya sudah pun mempunyai seorang isteri dan tiga orang anak yang tinggal di Afghanistan. Maka kali ini Raneem pun tekad untuk bercerai pada bulan kelima menjadi isteri Janbaz. Paling menyakitkan hati Raneem, Janbaz langsung tidak memohon maaf mahupun menunjukkan sebarang rasa penyesalan kepadanya. Selepas duduk berasingan, Janbaz yang bekerja sebagai juruwang di sebuah kedai runcit milik keluarganya mula mengintip dan mengekori segala pergerakan Raneem pada hampir setiap hari.
Raneem yang hidup dalam ketakutan telah meminta bantuan perlindungan daripada pihak polis. Begitu juga dengan Khaola yang enggan untuk mendiamkan diri telah cuba mendapatkan perintah perlindungan dari pihak mahkamah bagi menjamin keselamatannya serta Raneem. Pada malam 26 Ogos 2018, Raneem dan Khaola telah pergi makan malam di restoran Rotana Sheesa. Tanpa disedari, pasangan anak beranak tersebut diekori oleh Janbaz. Apabila melihat bekas isterinya itu berborak dengan lelaki lain, Janbaz yang berasa marah terus pergi menampar Raneem dan Khaola. Pertengkaran yang berlaku antara mereka bertiga tersebut berjaya dileraikan buat sementara waktu dengan Janbaz dihalau keluar oleh pekerja restoran berkenaan.
Raneem dan Khaola dikatakan terus pulang ke rumah selepas
serangan daripada Janbaz tersebut. Setibanya di rumah, Raneem telah beberapa
kali menghubungi pihak polis bagi meminta perlindungan kerana berasa bimbang
serangan susulan yang mungkin Janbaz akan lakukan. Walau bagaimanapun, pihak
polis langsung tidak muncul seperti yang diharapkan Raneem. Apa yang berlaku
kemudian benar-benar menyedihkan. Raneem dan Khaola telah ditemui mati di rumah
mereka dengan puluhan kesan tikaman pada tubuh badan mereka. Kedua-dua mereka
tidak lain tidak bukan dibunuh oleh Janbaz. Sewaktu pembunuhan ngeri itu
berlaku, adik lelaki Raneem dan bapa tiri mereka tiada berada di rumah.
Tentang Janbaz, dia berjaya jua ditangkap selepas empat hari menjadi buruan pihak polis. Dia yang didapati bersalah melakukan pertuduhan pembunuhan peringkat pertama telah dijatuhkan dua hukuman penjara seumur hidup. Apa yang pasti, pihak polis yang terbabit telah mendapat kritikan ramai pihak terutamanya daripada keluarga Raneem berikutan kelewatan mereka dalam melakukan tindakan. Jika pihak polis berkenaan bertindak lebih cepat, keadaan sudah tentu menjadi sebaliknya.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM RANEEM OUDEH DAN KHAOLA SALEEM"