Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM RIE ISSOGAI

    Rie Issogai yang dilahirkan pada 21 Julai tahun 1976 bertempat di Aichi, Jepun merupakan anak kepada Fumiko Isogai, yakni seorang ibu tunggal. Rie digambarkan sebagai wanita yang baik, cekap dan komited terhadap kerjanya. Selain itu, dia juga seorang yang sangat berjimat cermat dalam perbelanjaan hingga dapat menyimpan wang sebanyak $1000 sebulan. Simpanan tersebut adalah sebagai tabungan Rie bagi membeli rumah untuk dijadikan sebagai hadiah kejutan buat ibunya.

    Kisah sebenar bermula pada 24 Ogos 2007. Sekitar pukul 10 malam, Rie yang sudah berusia 31 tahun tersebut sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya dengan berjalan bersendirian. Tanpa dia sedari, gerak gerinya itu telah diperhatikan oleh tiga orang lelaki yang sedang duduk berada di dalam sebuah van. Mereka bertiga dikenali sebagai Kenji Kawagishi (40 tahun), Tsukasa Kanda (36 tahun) dan Yoshitomo Hori (32 tahun). Jadi apa yang berlaku kemudian, Rie telah menjadi mangsa culik ketiga-tiga lelaki tersebut. Penculikan itu berlaku selepas Rie didekati oleh Yoshitomo yang berpura-pura bertanya kepadanya mengenai arah jalan.

    Di dalam van, Rie yang dalam keadaan digari telah diacu dengan pisau supaya dia menyerahkan wang dan kad ATM miliknya. Hanya selepas dibelasah berkali-kali, barulah Rie memberitahu nombor pin kad ATM berkenaan. Sesudah itu, Kenji cuba untuk merogol Rie tetapi sempat dihalang oleh Tsukasa dan Yoshitomo. Sewaktu dalam keadaan kekalutan tersebut, Rie cuba untuk melarikan diri. Walau bagaimanapun, dia dapat ditangkap semula sebelum kepalanya dihentak Tsukasa dengan tukul sebanyak lebih daripada 30 kali. Pada masa yang sama, Kenji dan Yoshitomo telah mencekik leher Rie menggunakan tali. Setelah membuang mayat Rie di dalam sebuah hutan, tiga penjahat itu pun pergi ke mesin wang ATM untuk mengeluarkan wang milik Rie. Mereka bertiga bagaimanapun menjadi berasa begitu kecewa selepas nombor pin yang diberikan Rie sebelumnya adalah palsu. Maka Kenji, Kanda dan Yoshitomo pun membahagikan sesama mereka wang berjumlah $600 yang telah diambil dari tas tangan Rie. Sebelum masing-masing beredar pergi, mereka bertiga mencapai kata sepakat untuk berjumpa semula pada petang hari yang sama bagi melakukan satu lagi rompakan.

    Mengenai Kenji, Tsukasa dan Yoshitomo, mereka bertiga baru saja berkenalan pada waktu seminggu sebelum kejadian pembunuhan Rie. Perkenalan tersebut bermula melalui sebuah laman web selepas Kenji memuat naik mesej iklan untuk mencari rakan sejenayah. Sebenarnya ada individu keempat bernama Yuichiro Hondo yang telah memberi respon kepada mesej Kenji. Seperkara yang harus diketahui, Kenji, Tsukasa, Yoshitomo dan Yuichiro sama-sama dalam keadaan yang begitu terdesak untuk memerlukan wang. Percubaan rompakan pertama yang mereka cuba lakukan adalah di sebuah pusat judi tetapi tidak menjadi seperti yang dirancang. Pada malam 23 Ogos, Kenji dan Yuichiro telah menceroboh sebuah pejabat perpaipan di mana berlakunya satu insiden yang tidak dapat dipastikan hingga menyebabkan Kenji melarikan diri meninggalkan Yuichiro. Rentetan daripada perkara itu, Yuichiro terpaksa menyerah diri kepada pihak polis. Malam berikutnya, Kenji, Tsukasa dan Yoshitomo berkumpul semula bagi merencanakan satu lagi cubaan rompakan dengan menyasarkan kaum wanita sebagai sasaran mereka. Pada waktu inilah, Rie menjadi mangsa keadaan.

    Berbalik dengan cerita selepas kematian Rie, Kenji yang tiba-tiba berasa serba salah akhirnya telah menghubungi pihak polis bagi membuat pengakuan tentang segala-galanya termasuk lokasi pembuangan mayat. Dia berbuat sedemikian bagi mengelakkan hukuman mati. Di Jepun, penjenayah yang menyerah diri kepada pihak polis sebelum dikenalpasti sebagai suspek tidak akan dikenakan hukuman mati. Susulan pengakuan yang dibuat oleh Kenji tersebut, pihak polis akhirnya berjaya untuk menangkap Tsukasa dan Yoshitomo.

    Sebelum perbicaraan kes, ibu Rie telah melancarkan satu petisyen yang mendesak supaya semua pembunuh anaknya itu dijatuhkan hukuman mati. Perkara ini berikutan undang-undang di Jepun yang hanya melaksanakan hukuman mati ke atas seorang penjenayah yang membunuh lebih daripada seorang mangsa. Petisyen ibu Rie membuahkan hasil apabila berjaya mengumpulkan sekitar 300 000 buah tandatangan daripada orang ramai. Sementara itu, Kenji, Tsukasa dan Yoshitomo saling menuding jari antara satu sama lain tentang siapa yang menjadi dalang pembunuhan Rie. Keputusan perbicaraan kes pada bulan Mac 2009 menyaksikan kesemua mereka telah didapati bersalah atas dengan Tsukasa dan Yoshitomo dihukum mati manakala Kenji pula dipenjarakan untuk seumur hidup. Berhubung dengan keputusan rayuan yang dibuat, hukuman Yoshitomo pada asalnya ditukar menjadi hukuman penjara seumur hidup tetapi diubah semula kepada hukuman mati apabila dia didapati bersalah terhadap pembunuhan sepasang suami isteiri yang dibunuhnya pada tahun 1998.

    25 Jun 2015, Tsukasa telah mati dengan cara hukuman gantung.

1 ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM RIE ISSOGAI"