Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH RIE IKARI DAN EMIKO AKAHORI : Sahabat Demi Kepentingan

Rie Ikari (kiri) dan Emiko Akahari (kanan)

    Rie Ikari dan Emiko Akahori merupakan dua sekawan yang berasal dari wilayah Fukuoka, Jepun. Rie dan Emiko telah mula berkenalan pada bulan April 2016 di sebuah tadika yakni tempat anak mereka belajar. Seperkara yang harus diketahui, Emiko yang berbadan gempal adalah 9 tahun lebih tua daripada Rie. Pada mulanya, Rie dan Emiko hanya sekadar berkawan biasa. Namun lama kelamaan, hubungan mereka berdua telah menjadi semakin rapat hingga Emiko kerap datang berkunjung ke rumah Rie. Sampai satu masa, Rie yang tinggal serba serbi mencukupi bersama suami dan tiga orang anaknya mula berasa begitu kagum dengan karakter Emiko yang dilihatnya sebagai seorang wanita serba boleh.

    Pada satu hari, Rie mendapat satu kejutan besar apabila dia diberitahu oleh Emiko tentang suaminya yang selama ini telah berlaku curang di belakangnya. Sukar Rie untuk mempercayai perkara itu memandangkan suaminya adalah seorang suami dan bapa yang baik. Emiko bagaimanapun meyakinkan Rie bahawa suaminya sudah lagi tidak boleh dipercayai. Sejak saat tersebut, hubungan Rie dengan suaminya mula menjadi berantakan. Tuduhan Rie itu bagaimanapun telah banyak kali dinafikan oleh suaminya. Rie pula lebih memilih untuk mempercayai Emiko. Hingga pada akhirnya, Rie yang juga seorang suri rumah telah menuntut penceraian selepas menerima desakan daripada Emiko untuk berbuat sedemikian. Selain itu, Emiko juga ada menasihati Rie supaya mengupah detektif persendirian bagi melakukan pengintipan terhadap suaminya serta pada masa sama mengupah peguam untuk menguruskan urusan penceraian. Jadi, Rie pun menyerahkan sejumlah wang kepada Emiko untuk melaksanakan kerja-kerja berkenaan.

    Maka bulan Mei 2019, Rie dan suaminya sah bercerai. Hak penjagaan ketiga-tiga orang anak mereka telah diberikan kepada Rie. Sementara itu, Emiko meminta wang daripada Rie secara berterusan. Wang dipinta Emiko tersebut kononnya sebagai bayaran upah kepada peguam dan anggota Yakuza yang akan melindungi mereka. Demi memenuhi permintaan Emiko tersebut, Rie yang sudah kehabisan wang sampai terpaksa menjual rumahnya. Saat ini, Rie telah jatuh miskin hingga mendapat bantuan kewangan setiap bulan daripada agensi kebajikan masyarakat. Walau bagaimanapun, wang bantuan itu diambil oleh Emiko. Diingatkan, serahan wang adalah atas kerelaan Rie sendiri. Tiada sebarang unsur ugutan secara fizikal yang Emiko lakukan. Hidup Rie semakin susah umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bayangkan, dia sanggup mencatu makanan anak-anaknya. Catuan yang dibuat tersebut adalah kerana suruhan Emiko.

Rie dan Shojiro

    Pada bulan Februari 2020, pihak polis telah melakukan pergi memeriksa di rumah Rie selepas menerima aduan berhubung dengan anak-anak Rie yang dipercayai menjadi mangsa penderaan. Hasil pemeriksaan pihak polis, tiada sebarang kecederaan yang ditemui pada badan anak-anak Rie itu. Dua bulan berikutnya, Rie mendapati anak lelaki bongsunya yang berusia lima tahun iaitu Shojiro berada dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di hospital. Berdasarkan laporan forensik, Shojiro yang hanya mempunyai berat badan seberat 10 kilogram langsung tidak diberi makan selama 10 hari berturut-turut. Perkara ini bermaksud punca kematian Shojiro adalah akibat kelaparan. Semuanya adalah ajaran daripada Emiko. Susulan kematian Shojiro, maka Rie dan Emiko pun ditangkap pada bulan Mac 2021 untuk siasatan lanjut.

    Penangkapan Rie dan Emiko telah mendedahkan perkara yang sebenar. Rupa-rupanya selamanya perkenalan mereka berdua, Emiko berkawan dengan Rie hanya untuk dijadikan sebagai mangsanya bagi mendapatkan wang menerusi cara yang mudah. Rie telah terpedaya dengan manipulasi Emiko yang menggunakan teknik “brainwash”. Jadi semua cerita tentang kecurangan suami Rie, peguam dan Yakuza yang keluar daripada mulut Emiko sebelum ini adalah sekadar pembohongan semata-mata.

    Buat masa sekarang, kes masih lagi dalam siasatan di mana Emiko telah menafikan dakwaan yang mengatakan dia adalah punca kepada semua yang sudah berlaku. Bahkan Emiko menyalahkan Rie sendiri sebenarnya yang telah menyebabkan kematian Shojiro. Apa yang memang dapat dipastikan, jumlah keseluruhan wang yang Emiko ambil daripada Rie adalah sebanyak 10 juta yen atau $93 500 dalam nilai mata wang Dollar. Wang tersebut digunakan Emiko bagi menampung gaya hidupnya seperti membeli belah, berjudi dan berfoya-foya. Dua orang lagi anak Rie kini dalam jagaan bekas suaminya.

Catat Ulasan for "KISAH RIE IKARI DAN EMIKO AKAHORI : Sahabat Demi Kepentingan"