Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

WANITA CULIK BAYI SELEPAS MENGALAMI KEGUGURAN

    BRAZIL – Seorang wanita muda dari Curtiba telah bertindak menculik seorang bayi untuk dibawanya pulang ke rumah. Wanita bernama Talita Meireles yang berusia 23 tahun itu berbuat sedemikian akibat kemurungan selepas mengalami keguguran bayi pada 27 Jun lepas. Talita dikatakan benar-benar terdesak untuk mendapatkan bayi kerana tidak mahu suami dan keluarganya tahu tentang keguguran yang dia alami.

    “Saya sudah kehilangan anak saya. Saya cuma enggan untuk memberitahu perkara itu kepada keluarga saya. Saya tak nak beritahu kepada sesiapa pun. Saya benar-benar tidak tahu apa yang telah berlaku kepada saya. Saya benar-benar terdesak.” Kata Talita kepada seorang anggota polis dalam satu video di mana dia dalam keadaan menangis teresak-esak.

    Ketika ditanya mengenai keberadaan suaminya, Talita mendakwa bahawa dia melakukan penculikan tersebut secara bersendirian. Bahkan Talita sendiri kurang jelas dengan apa yang sedang bermain dalam fikirannya. Dia telah ditangkap oleh seorang kakitangan hospital selepas didapati sedang menggendong bayi tanpa memakai sebarang gelang pesakit. Waktu sebelumnya, Talita berjaya menceroboh masuk wad bersalin semasa waktu pertukaran shif jururawat sebelum dia menemui sepasang uniform jururawat di dalam bilik persalinan baju. Talita yang kemudian memakai uniform tersebut telah mengambil bayi daripada seorang wanita kononnya bagi tujuan pemeriksaan. Sesudah itu, Talita menanggalkan uniform jururawat lalu bergegas untuk keluar dari hospital.

    Selepas penangkapan Talita, bayi yang cuba diculik tersebut telah dikembalikan kepada ibunya. Berkenaan dengan Talita, dia diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. Cuma apa yang tidak dapat dipastikan adalah samada Talita masih dalam tahanan pihak polis setelah sesi soal siasat selesai dijalankan.

Catat Ulasan for "WANITA CULIK BAYI SELEPAS MENGALAMI KEGUGURAN "