Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

YOUTUBER KACAK KOREA SELATAN YANG MENAKUTKAN

    Pernah mendengar nama Youtuber “Yakkurt” dari Korea Selatan? Bagi yang tidak mengenali, Yakkurt merupakan seorang ahli farmasi kacak yang sering berkongsi video tentang ilmu perubatan dan tips penjagaan kesihatan kaum wanita sejak dari tahun 2018. Dia mula mendapat perhatian para netizen selepas salah satu video berjudul “Five reasons not to consume arona and gold” telah menjadi tular di laman internet. Bermula saat itu, Yakkurt sering diundang ke stesen radio dan televisyen untuk ditemu ramah hingga dia pada akhirnya menjadi seorang selebriti. Malah, Yakkurt digilai oleh ramai wanita kerana kekacakan wajah dan penampilannya yang serba bergaya. Siaran Youtube Yakkurt juga mempunyai sekitar 240 000 orang jumlah pengikut.

    Kisah sebenar bermula pada 24 April 2020 apabila ada seorang wanita yang hanya dikenali sebagai Cik A telah membuat satu hantaran di dalam sebuah forum internet mengenai hubungannya bersama Yakkurt. Pada hantaran tersebut, Cik A yang mengaku sebagai teman wanita Yakkurt itu mendakwa berkenalan dengan Yakkurt menerusi laman Instagram. Pendedahan paling mengejutkan adalah di mana Cik A mendedahkan tentang penyakit kelamin jenis herpes simpleks 2 yang dialaminya akibat dijangkiti oleh Yakkurt. Cerita Cik A, dia dan Yakkurt telah melakukan hubungan intim tanpa memakai sebarang alat perlindungan yakni kondom. Tidak lama kemudian, Cik A mula mengalami beberapa simptom seperti sakit semasa kencing sekaligus menyebabkan dia bergegas untuk membuat pemeriksaan hospital.

    Reaksi Yakkurt selepas diberitahu oleh Cik A tentang penyakit Herpes tersebut? Dia memohon maaf kepada Cik A kerana telah berahsia mengenai penyakit itu. Paling mengecewakan Cik A, Yakkurt terus bertindak untuk memutuskan hubungan. Alasan Yakkurt, dia tidak bersedia untuk mempunyai teman wanita. Sesudah itu, barulah Cik A menyedari bahawa dia hanya menjadi boneka seks untuk Yakkurt sepanjang tempoh perhubungan mereka berdua. Cik A berasa sangat sedih kerana gara-gara penyakit Herpes yang berpunca daripada Yakkurt, impiannya untuk berkahwin dan memiliki anak hancur berkecai begitu saja. Seperkara yang harus diketahui, Cik A telah memadam hantaran tersebut selepas Yakkurt datang ke rumahnya hanya semata-mata untuk membuat ugutan bunuh diri. Walaupun hantaran Cik A itu dipadamnya semula, rahsia gelap Yakkurt sebagai seorang pengidap penyakit kelamin sudah tersebar luas. Rentetan daripada perkara tersebut, Yakkurt bertindak untuk memadam sementara siaran Youtube dan membuat tetapan privasi pada semua akaun laman media sosial miliknya.

    Selepas berita kontroversi Yakkurt ini tular, terbongkar satu demi satu cerita. Rupa-rupanya, bukan Cik A seorang yang telah menjadi mangsa kepada Yakkurt. Ada beberapa orang wanita yang telah tampil mengaku pernah menjadi teman wanita kepada Yakkurt. Mereka semua mengalami nasib yang sama seperti Cik A iaitu mendapat penyakit kelamin Herpes selepas berhubungan intim dengan Yakkurt. Sementara itu, Yakkurt sendiri akhirnya tampil bagi menjelaskan tentang perkara yang sebenar. Dia menafikan segala tuduhan yang telah dilemparkan kepadanya. Kata Yakkurt, semua wanita terbabit berasa marah kerana dia tidak serius dalam menjalinkan hubungan. Selain itu, dia merancang untuk mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan kembali reputasinya yang telah tercalar. Bahkan Yakkurt turut ada memuatnaik foto ujian makmal yang menunjukkan keputusan penyakit kelaminnya adalah negatif. Walau bagaimanpun, keputusan ujian tersebut telah dipertikaikan ramai pihak kerana ianya dijalankan menerusi ujian air kencing, bukannya ujian darah yang akan memberikan keputusan lebih tepat.

    Sukar untuk diperjelaskan mengapa Yakkurt dilihat sengaja untuk menyebarkan penyakit kelaminnya sedangkan dia sendiri selalu menekankan tentang amalan hubungan seks yang selamat dalam video Youtube. Apapun buat masa sekarang, masih belum ada perkembangan terkini mengenai Yakkurt atau nama ringkasnya yang dikenali sebagai Park.

Catat Ulasan for "YOUTUBER KACAK KOREA SELATAN YANG MENAKUTKAN "