BAYI BERSENDIRIAN SELAMA TIGA MALAM DI HUTAN DITEMUI SELAMAT
RUSIA – Satu keajaiban berlaku apabila seorang bayi
perempuan berusia 22 bulan yang dilaporkan hilang pada minggu lepas akhirnya telah
selamat ditemui di dalam hutan yang menjadi tempat serigala dan beruang liar
berkeliaran. Bayi yang bernama Lyuda Kuzina itu dipercayai bersendirian dalam
hutan berkenaan selama tiga malam tanpa sebarang air minuman serta makanan.
Lyuda sebelum ini dilaporkan hilang dari kawasan rumahnya yang
tidak berpagar bertempat di Obninsk, Wilayah Smolensk. Kehilangan tersebut
dilaporkan berpunca daripada ibunya sendiri Antonina yang telah terlepas
pandang akan pergerakan Lyuda sewaktu dia pergi berborak dengan jiran rumah.
Apa yang berlaku kemudian, Lyuda telah tersesat hingga memasuki sebuah kawasan
hutan berjarak sekitar empat kilometer dari rumahnya.
Kredit : east2west news |
Seramai lebih daripada 500 orang anggota telah menyertai operasi pencarian Lyuda. Penemuan Lyuda berjaya dibuat selepas salah satu pasukan pencarian yang sedang berehat terdengar bunyi seorang bayi merengek. Malah, bunyi rengekan itu semakin nyaring apabila nama Lyuda dipangggil. Sebaik Lyuda berjaya ditemui dalam keadaan hidup, semua anggota pasukan pencarian telah menitiskan air mata mereka kerana sukar untuk membayangkan budak sekecil itu yang terpaksa berdepan dengan situasi antara hidup dan mati.
Lyuda yang kelihatan sangat lemah segera dipertemukan dengan ibunya sebelum dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan susulan. Walaupun badannya dipenuhi dengan kesan gigitan serangga, Lyuda bagaimanapun disahkan tidak mengalami sebarang kecederan yang serius. Sementara itu, Antonina memberitahu bahawa anak kesayangannya itu ada berjanji untuk tidak lagi sesekali akan pernah hilang.
Catat Ulasan for "BAYI BERSENDIRIAN SELAMA TIGA MALAM DI HUTAN DITEMUI SELAMAT"